28 November, 2009

Salam Aidiladha

Selamat menyambut aidiladha kepada semua umat Islam di seluruh dunia. Walaupun ini adalah hari raya yang kedua Raya Korban masih belum terlambat untuk mengucapkan itu kepada semua saudara seugamaku. Seramai 2.5 juta umat Islam telah selamat menunaikan ibadah haji di Mekah pada tahun ini. Pada tahun ini kejadian banjir telah melanda Jeddah dan telah mengorbankan 77 jiwa sementara 900 orang terselamat daripada pusaran banjir. Walau bagaimanapun tiada rakyat Malaysia yang terkorban.

Sesungguhnya perjalanan menyambut perayaan ini amatlah besar pengorbanannya bagi yang bermusafir dan yang bekerja diluar dari kampung halaman. Apatah lagi dengan suasana musim tengkujuh ini dan banjir yang melanda di sesetengah negeri membuatkan anak watan berfikir banyak kali untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Perjalananku sendiri dua hari yang lepas mengambil masa 12 jam bermula dari jam 6.30 pagi melalui Gua Musang. Di sesetengah tempat perjalanan terhenti tanpa bergerak hingga hampir 20 minit. Terima Kasih teman (Zani) yang menumpangkan aku untuk pulang berhari raya di kampung. Tanpamu mungkin aku berhari raya sendirian di Pangsapuriku kerana pembatalan rancangan di saat-saat akhir oleh adindaku Akram kerana keadaan kesihatannya sekeluarga.

Walau bagaimanapun itulah yang dinamakan takdir dan rezeki ketentuan dari Allah S.W.T. Alhamdulillah di atas kurniaanMu. Aku reda dan sentiasa bersyukur. Perjalanan itu juga merekodkan tiada kemalangan maut dijumpai walaupun beberapa sisa kemalangan adalah perkara lumrah dalam setiap musim perayaan.

Semoga mereka yang pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing selamat dalam perjalanan pergi dan balik. Cergaskan minda dan terangkan mata dan hati dan sentiasalah berwaspada ketika memandu. Selamat pulang dengan selamat.

Semoga adinda Dwan sekeluarga selamat pulang ke Seremban hari ini. Terima kasih ke Adinda Affan dan Khalilah kerana meminjamkan Broadband ini untuk aku membuat kemaskini. Terima Kasih juga kepada kekanda Zailani kerana bawakan Sup Kasut Lembu buatku dan adinda-adinda semua. Sedap!

23 November, 2009

Puisi - Mantan Kekasihku


mantan kekasihku
kau sudah hilang hak terhadap diri ini
lantaran tegar mu
menyarungkan sayap kejammu
di belantara silaturahim kita
saat aku melihat matamu bukanlah pejam ketika itu
nyata menyakinkan aku
kau bukanlah lena
dalam takdir yang terjadi

mendung itupun menutup kewarasanmu membutakan pandanganmu
lalu mengunci hatimu dalam-dalam
agar terbinalah sempadan egois
sekali kali kau tidak menghindarinya

lalu terdengarlah kau melagukan sendu
di ruangan yang kau sendiri terarah ke dalamnya
tatkala suara angin bernada lembut
semuanya menjadi longlai
dan aku menangisimu di sebalik dinding ini
tanpa sedikitpun kedengaran isakan itu

debu-debu yang berterbangan di ruang yang terkurung
perlahan-lahan jatuh melapisi permukaan
kehidupan yang menjadi naungan kita
lapis demi lapis menebal
akhirnya kekal menjadi kerak yang sebati
kerana lenamu yang bertindak
untuk menafikannya

di akhiran sebuah catan yang tersempurna
kita berdiri melihat artifak itu
dan sama-sama terpaku
melagukan sendu
tetapi ia adalah lagu sendumu
yang kau sendiri ciptakannya
dalam waktu yang amat singkat

Enche's
April 2009

21 November, 2009

Pertemuan Penyair Nusantara Ke-3

Ketika berakhirnya acara penghargaan ASWARA kepada Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan malam tadi di ASWARA saya ingin merasa amat lega sekali kerana minggu ini terasa mat padat sekali dengan jadual mengikuti seminar di luar ITNM. Pulang dari UKM 2 hari yang lepas dan malam tadi ke ASWARA pula mewakilkan ITNM ke majlis itu. Ada seorang teman yang saya kenali di UKM sewaktu seminar SAKM X menyapa dan menanyakan kepada saya sama ada saya akan turut serta ke Pertemuan Penyair Nusantara ke-3 di DBP esok. Saya cuma mengeleng kepala kerana saya tidak didaftarkan untuk majlis itu.

Tapi ternyata ngelengan saya itu tidak selari dengan apa yang tercuit di dalam hati saya yang mahukan saya menjengah ke majlis yang dirasakan sinomim dengan kecenderungan saya menghasilkan puisi-puisi pada contengan kertas mahupun di blog-blog saya.

Dan pagi ini dek kerana tidak lena tidur saya ingin membatalkan rasa bersalah itu dengan persiapan menuju ke DBP. Siber memang banyak membantu saya mendapatkan maklumat mengenai majlis ini. Saya mendaftarkan diri secara individu walaupun selalu tersasul memperkenalkan diri dari Institusi saya.

Intipati dari kunjungan ke majlis itu dan seminar di UKM saya menyedari satu hakikat yang sangat serius melanda Bangsa Melayu di Malaysia ialah sikap sambil lewa mereka terhadap bahasa ibunda mereka sendiri. Di UKM seorang pembentang dari Thailand Tara Shintaro yang fasih berbahasa Melayu menceritakan senario penghakisan bahasa Melayu di Selatan Thailand. Bahasa Melayu baku telah digantikan dengan loghat daerah dan menggunakan bahasa Thai dan tidak lagi ejaan rumi. Maka beliau nampak jika orang-orang siam jika mahu belajar bahasa Melayu dengan betul haruslah datang ke Malaysia. Malang sekali di sini orang-orang kita lebih merasa sempurna dengan berbahasa Inggeris jika berkomunikasi! Jelek sekali keadaan itu.

Dr. Rahmat Haron Hashim pula mengatakan orang-orang Melayu malu untuk berbahasa Melayu di buminya sendiri dengan itu kita sudah melihat beberapa nama bank yang bunyinya Melayu telah menjadi Inggeris seperti AGRO Bank manakala istilah public phone lebih popular berbanding dari pondok telefon, sindrom ini sudah merebak dan dirasakan tidak janggal lagi.

Dalam Ucaptama oleh Prof Dr. Muhammad Haji Salleh hari ini dalam Pertemuan Penyair Nusantara isu sama semalam yang belum dapat diselesaikan sekali lagi dilontarkan dan membuatkan saya benar-benar merasa bahawa bahawa Bahasa Melayu benar-benar kian diancam oleh anak bangsanya sendiri. Memang benar katanya bahawa tidak ada bahasa yang dijajah kecuali bangsa yang dijajah. Walaupun kita telah merdeka tetapi hakikatnya fikiran kita masih lagi dijajah.

Orang asing sanggup belajar bahasa Melayu kerana akan datang berurusan di Malaysia tetapi mereka tiba dan pulang tanpa menggunakan bahasa yang mereka pelajari itu. Alangkah ruginya semua itu! Bukanlah tidak boleh berbahasa Inggeris tetapi harus ada pada tempatnya. Penggunaan seperti so, on the way, at least adalah penggunaan lazim yang bertujuan untuk mencapai standard bahasa rojak yang mungkin tinggi bagi mereka.

Kita disogokkan dengan budaya iklan di televisyen dan sehingga kita menjadi bangsa pengguna dan bukannya bangsa yang mencipta kemajuan. Akhirnya orang Melayu menjadi consum yang konyol dan mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang diiklan. Kegilaan untuk membeli belah membuatkan masyrakat tiada masa untuk membaca, berfikir atau keluar mencari hiburan (menonton teater).

Di antara perkara yang mungkin tidak dapat dilupakan oleh semua penyair yang hadir pada hari ini ialah cabaran Sasterwan Negara Prof Dr. Muhammad Haji Salleh kepada mereka termasuk diri saya sendiri ialah supaya menulis dengan bahasa yang terbaik dan jangan mudah berpuashati. Kekuatan atau kelebihan penyair ialah mereka boleh memperbaharui bahasa tetapi ini tidak dapat dilakukan oleh novelis. Kerana penyair menggunakan perkataan yang minumum dalam karya mereka.

Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh juga menasihatkan penyair agar dapat mengingati 20-30 kata-kata hikmat agar ial tidak hilang dalam persuratan Melayu. Bangsa yang besar mesti ada sastera yang besar oleh itu beliau menyeru penyair menghasilkan sajak yang panjang cuma dalam satu tema sahaja dan elakkan menceritakan diri sahaja dan harus ada tujuan yang besar. Begitulah besarnya harapan beliau kepada penyair!

20 November, 2009

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu X- UKM

Pada 18 dan 19 November iaitu dua hari yang lepas telah berlangsung Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu ke-X di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam Seminar yang telah berlangsung dengan lancar itu beberapa negara telah menghantar pembentang-pembentang kertas kerja seperti dari Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri. Sebanyak 25 kertas kerja telah dibentangkan berpaksikan pada tajuk Kesusasteraan Melayu Dalam Rentas-Ilmu dan ia dibentangkan dalam aspek bidang yang mengkhusus:
  • Sastera Agama
  • Sastera Sejarah
  • Sastera Kreativiti
  • Sastera Pendidikan
  • Sastera Sains Sosial Sastera Seni Persembahan

ITNM diwakili oleh Puan Siti Rafiah Sulaiman Ketua Jabatan Terjemahan bagi pihak Pengarah Urusan ITNM Encik Mohd Khair Ngadiron (yang sedang menunaikan rukun Islam ke-5) telah membentangkan kertas kerja bertajuk Penterjemahan Karya Sastera Kebangsaan ke Bahasa Asing.

Sangat banyak isu-isu yang disentuh dalam pembentangan ini dan ia sangat baik untuk pembentukan sastera yang lebih kreatif, murni, dinamis dan bermutu untuk pembentukan sahsiah generasi akan datang. Ini kerana sumbangan sastera sebenarnya amat besar kerana selain memacu pembentukan rohaniah yang lebih baik atau jati diri bangsa ia juga lebih jauh akan mendasari corak pandangan dan pemikiran rakyat sesebuah negara supaya lebih kritis terhadap sesuatu perkara dan bukan sekadar menjadi bacaan mengisi waktu yang terluang. Sastera dan kehidupan adalah dua perkara yang saling mempengaruhi.

Sekalung tahniah kepada penganjur Seminar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, DBP dan juga PENA (tidak ketinggalan Dr. Mawar Shafei yang telah berusaha keras saya nampak untuk merealisasikan seminar ini).

Maaflah ya kerana itu blog wwwenche.blogspot.com. ini tidak dikemaskini kerana kesuntukan waktu. 8.30-5.30 perjalanan sesi dan persiapan perjalanan ke Bangi harus dibuat lebih awal dari itu.

15 November, 2009

Kempen Kesedaran KWSP

Begitulah tajuk Buletin Utama TV3 ketika aku sedang menyiapkan Entry Kanvas Kehidupan. Menurut berita itu hanya 23% pencarum yang telah menamakan pewaris yang berhak menuntut wang caruman pencarum sekiranya berlaku kematian. Keadaan akan menjadi rumit jika pencarum meninggal dunia dan ada tuntutan dari waris pencarum. Mereka terpaksa membawa pelbagai dokumen bagi menyokong tuntutan mereka dan mungkin akan masa yang panjang untuk selesai.

Aku sendirian terkulat-kulat di hadapan TV dan cuba mengingatkan sama ada aku telah menamakan pewarisku di KWSP ataupun belum. Untuk anda yang belum menamakan pewaris bolehlah memuatturunkan borang ini di laman sesawang KWSP http://www.kwsp.gov.my/ melengkapkannya serta menghantarkan ke pejabat KWSP yang terdekat.

Selamat berangkat dan menunaikan fardu haji kepada Pengarah Urusan ITNM En. Mohd Khair Ngadiron semoga dikurniakan haji mabrur.

Kanvas Kehidupan-Sudah Jatuh di Timpa Tangga

Pagi itu aku menerima panggilan telefon dari kawan yang jarang menelefonku. Memang suspen menerima panggilan telefon di pagi hari. Aku hanya membuat penggilan telefon di pagi hari jika ada hal-hal yang benar-benar mustahak kerana waktu awal pagi selalunya mereka yang bekerja akan sibuk dengan persediaan untuk pergi kerja, memulakan pekerjaan atau mengambil sarapan pagi.

Seperti yang aku duga panggilan itu memang panggilan yang mencemaskan aku. Bee memberitahuku sahabat kami - Madi terlibat dalam kemalangan. Aku menggigil mengenangkan berita mendung di awal pagi itu. Lalu aku terus-terusan menyoal Bee bagaimana keadaan Madi selepas itu dan di mana ianya terjadi tetapi Bee kata diapun cuma dapat penggilan telefon dari Kasman kawan serumah Madi. Diapun tidak tahu lebih lanjut apa yang sedang berlaku pada Madi. Sebelum memutuskan talian Bee berpesan kepadaku jika aku ingin menziarahi Madi jangan lupa memberitahunya kerana dia ingin bersamaku.

Aku mengiyakan sahaja permintaan Bee. Apabila petang menjelma berkali-kali aku cuba menghubungi Bee tapi dia tidak mengangkat telefonnya. Barangkali Bee sibuk dan menyambung tugasnya mengajar pula di waktu malam. Itulah Bee yang aku kenali pasti rutin itu masih belum berubah selagi dia masih bekerja di situ.

Setelah berputus asa gagal menghubungi Bee akupun meneruskan hajatku untuk menziarahi Madi. walaupun jam sudah menunjukkan tepat 7.30 malam. Sudah lewat benar untuk aku terus menunggu Bee. Hujan renyai-renyai sejak petang tadi di luar pejabatku yang terletak di Wangsa Maju, Seksyen 10.

Aku terus memandu menuju ke sebuah hospital yang terletak di Taman Melawati kerana menurut Bee Madi dimasukkan ke situ selepas kemalangan. Tiba di hospital itu aku bingung sebentar kerana aku harus mengetahui nama Madi yang sebenarnya sebelum bertanya pengawai perubatan di situ. Aduh aku cuma tahu nama samarannya sahaja. Terpaksalah aku menelefon Zam bekas teman serumahnya untuk mengetahui nama sebenar Madi. Aku juga melalui nasib yang sama seperti Bee apabila Zam bertanyakan soalan yang sama aku tanyakan pada Bee pagi tadi.

Selepas mendapat nama sebenar Madi akupun terus ke tingkat 2 Hospital berkenaan. Wajah pegawai itu seperti kurang pasti sahaja apabila aku menyebut pesakit bernama Madi dimasukkan ke situ. Di tingkat 2 aku dapati memang tiada pesakit bernama Madi di situ! Pegawai di Tingkat 2 kelihatan sibuk mencari maklumat senarai pesakit yang dimasukkan ke situ sejak dari pagi.

Setelah diselidiki Madi memang dirawat di situ awal pagi tetapi selesai menerima rawatan Madi tidak dimasukkan ke situ. Dan mereka tidak pasti Madi dibawa ke mana selepas itu. Tinggallah aku dalam kebingungan di saat itu. Hendak aku menelefon Madi aku bimbang Madi dalam kesakitan dan akan menyusahkannya. Tetapi aku tiada pilihan lain selain menelefonnya sendiri.

Bersambung...

13 November, 2009

Dari Komuniti Alumni ESQ- Api dari Neraka ke Dunia

Sebagai Renungan: Diriwayatkan bahawa Rasululallah pernah menceritakan betapa asalnya kejadian api di dunia ini. Setelah nabi adam dihantar ke dunia kerana kesalahanya memakan buah larangan maka Allah swt telah memerintahkan Jibril as supaya mengambil api dari neraka untuk dihantar ke dunia untuk kegunaan Nabi Adam as. Maka jibril as pun diperintahkan untuk meminta api tersebut daripada malaikat penjaga api neraka iaitu Zabaniah.

Jibril: wahai Zabaniah, aku diperintah untuk mengambil sedikit api neraka untuk dihantar ke dunia bagi kegunaan adam as.

Zabaniah: sebanyak mana sedikit itu ?

Jibril: sebesar kurma...

Zabaniah: kalau sebesar buah kurma api neraka itu engkau bawa nescaya akan cairlah tujuh lapis langit dan tujuh lapis bumi akibat kepanasanya.

Jibril: kalau begitu berilah aku sebesar separuh dari buah kurma...

Zabaniah: kalau sebesar separuh buah kurma api neraka ini engkau letakan di dunia nescaya tidak akan turun walaupun setitik hujan dari langit dan tidak ada suatu pun tumbuhan akan tumbuh di bumi nanti..

Memandangkan keadaan yang rumit ini maka Jibril a.s. pun menghadap Allah untuk mendapatkan saiz yang perlu dihantar ke dunia. Allah swt pun memerintahkan supaya Jibril mengambil sebesar ZARAH sahaja dari api neraka untuk dibawa ke dunia. Maka Jibril as pun mengambil api neraka sebesar zarah dari Zabaniah tetapi oleh kerana kepanasan yang keterlaluan api neraka sebesar zarah itu terpaksa disejukan dengan mencelupnya sebanyak 70 kali ke dalam sungai di syurga dan sabanyak 70 buah sungai. = 70 x 70

Selepas itu Jibril as pun membawa api itu turun ke dunia dan diletakan di atas sebuah bukit yang tinggi, tetapi sejurus setelah diletakan tiba-tiba bukit itu terus meleleh cair maka cepat-cepat jibril mengambil semula api tersebut dan dihantar semula ke neraka.

Hanya sisa-sisanya sajalah yang terdapat di dunia ini seperti api yang sering kita gunakan untuk berbagai keperluan dan juga api yang terdapat di gunung berapi dan lain lain lagi.

PENGAJARAN: Bayangkanlah kepanasan api neraka yang sebesar zarah yang terpaksa disejukan dalam 70 buah sungai dengan sebanyak 70 celup setiap sungai dan hanya sisanya saja itupun manusia tidak dapat bertahan akan kepanasanya bagaimana dengan api di neraka itu sendiri. SEBESAR ZARAH SAHAJA.

11 November, 2009

Jom Baca Buku - Gadis Oren

Gadis Oren
Appelsinpiken
Gadis Oren merupakan sebuah novel terjemahan Applesinpiken. Sebuah lagi buah tangan penulis yang telah menulis novel falsafah Sophie’s World dan telah diterjemahkan oleh ITNM berjudul Dunia Sophie Ianya mengenai kisah Georg Roed yang telah kematian ayahnya sebelas tahun yang lalu. Dia mengimbau kembali kenangan lama bersama ayahnya di rumah keluarganya di Hemleveien, Oslo. Sepucuk surat yang ditujukan kepadanya dijumpai di bawah pelapik kereta sorong lama. Namun surat itu lebih banyak menceritakan tentang seorang gadis cantik yang penuh misteri, si Gadis Oren.

Gadis Oren
Appelsinpiken
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Pengarang: Jostein Gaarder
Tahun Terbitan: 2009
No ISBN: 978-983-068-399-7
Jumlah Halaman: 178 Muka Surat
Harga: RM20.00/25.00

Anda boleh mendapatkan buku ini di ITNM atau MPH Midvalley atau Alamanda Putrajaya. Atau jika ada sebarang soalan mengenainya telefon 03-41497210.

10 November, 2009

Kanvas Kehidupan - Dia Nak Kahwin Rakan Internet 2

Barangkali dia masih ingat nasihatku supaya jangan terpedaya dengan pujuk rayu lelaki luar negara yang baru dikenali itu jika mengajaknya berkahwin di luar negara. Tetapi temanku itu bukan calang-calang orang. Dia berjawatan tinggi ke tempat kerjanya. Masakan dia bisa terpedaya. Aku sekadar mengingatkannya kerana cinta itu buta. Kerana cinta manusia boleh bertindak di luar kebiasaan.

Sudah lebih seminggu aku meninggalkan episod pertama drama ini. Hari itu aku tergerak untuk mengetahui sambungan ceritanya. Lalu aku menelefonnya. Diapun seperti sudah mengetahui tujuan aku menelefonnya tidak sabar-sabar lagi ingin bercerita. Aku membiarkan sahaja keinginannya itu.

Katanya lelaki itu sudah tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pagi itu tetapi dia di tahan di sana kerana kesalahan membawa wang tunai pada jumlah yang dibenarkan. Aku mengeleng kepala masakan bodoh sangat seorang yang dikatakan senior yang bekerja di syarikat minyak luar negara tidak mengetahui atau sekurang-kurangnya menyelidiki peraturan yang perlu dilalui untuk keluar masuk negara. Peraturan seperti itu selalu dipampang di lapangan terbang di mana-mana di seluruh negara.

Sudah banyak kes tangkapan dibuat dalam perkara ini dan ia selalu di siarkan di media dalam dan luar negara. Takkan itu tidak dijadikan pandauan oleh sesiapa yang membacanya. Aku pula yang membebel kepada dia yang tiba-tiba terhenti mendengar bebelanku. Diapun bersetuju denganku.

Lantas aku bertanya kepadanya apakah plot cerita yang diaturkan lelaki luar negara itu kepadanya. Temanku terus menyambung, katanya pihak berkuasa di sini mahukan wang sogokan sebanyak RM12,000.00 dan dia mahu temanku menghantarkan wang itu ke sana agar dengan adanya wang itu dia dapat dibebaskan. Lalu tanyaku lagi untuk mengetahui tindakan selanjutnya.

"I cakap kat dia You settlekan sendiri masalah You tanpa melibatkan I then kalau sudah selesai baru telefon I." Balas temanku dan dia memutuskan talian telefon. Mahu sahaja aku memberikan tepukan gemuruh atas tindakan bijaknya itu. Memang itu jawapan dan tindakan yang paling bijak dan kemuncak kepada kisah cinta siber ini.

Dengan jawapan itu sudah jelas teka teki yang bermain di fikiran temanku tentang keikhlasan lelaki itu. Ia adalah drama cinta yang stereotype penipuan lelaki luar negara di alam siber memperdayakan wanita. Kisah ini tiba-tiba melintasi sendiri di hadapan kita dan nyata ia bukan dongeng wartawan, akhbar atau majalah. Ia adalah kisah benar.
Aku meletakkan telefon sambil membayangkan lelaki itu tentu sudah menaiki pesawat untuk kembali ke negara asalnya dengan pelaburan tambang yang tidak berbaloi atau entahkan dia sudah kembali ke rumah tumpangnya di Damansara atau di Cyberjaya atau mungkin juga di Bukit Antarabangsa dari KLIA!

08 November, 2009

Pelancaran buku Musibah Gempa Padang


Menteri Wilayah Persekutuan, Y.B. Senator Dato' Raja Nong Chik bin Dato' Raja Zainal Abidin ketika melancarkan Antologi Buku Musibah Gempa Padang

7 November 2009 (Sabtu) bertempat di Masjid Abdul Rahman 'Auf, KM 5.5 Jalan Puchong Kuala Lumpur sebuah Antologi Puisi Penyair Nusantara Musibah Penyair Nusantara telah dilancarkan dengan sempurnanya oleh Menteri Wilayah Persekutuan Y.B. Senator Dato' Raja Nong Chik bin Dato' Raja Zainal Abidin.

Buat pertama kalinya dalam sejarah persuratan sebuah antologi puisi dari penyair nusantara dibukukan. Puisi-puisi ini dikumpulkan dua minggu setelah penyelenggaranya membuat pengumuman di laman Facebooknya mengenai usaha ingin melaksanakan usaha amal melalui antologi puisi dan mendermakan jualan buku ini kepada mangsa gempa di Padang, Indonesia. Antologi ini dijual dengan harga RM20.00 senaskhah.

Usaha ini mendapat kerjasama dari pihak Masjid Abdul Rahman 'Auf. Hadir sama memeriahkan majlis ini dengan bacaan puisi ialah Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Sekalung tahniah kepada penyelenggara antologi Dato' Dr. Haji Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) yang berusaha keras merealisasikan usaha murni ini. Semoga diberkati Allah. Amin

07 November, 2009

Puisi-Di Hamparan yang Musnah

(Khas buat saudara-saudaraku yang ditimpa musibah Padang Indonesia)



di tanah yang subur itu
mengalir kehidupan lunak
amannya melata namun sementara
di dakapan masa rapuh yang tersimpuh
manusia terjebak dengan rasa selesa
lalu waspada yang tersimpanpun menghilang

di rambang kenikmatan yang singkat usianya
ketika ia melimpah di mana-mana
tiba-tiba menjelma nyata sebuah mimpi ngeri

memadam rasa sempurna diri manusia yang bergelar khalifah
kala september tiga puluh kosong sembilan

gegar goncang itu
meranapkan ceria menumbangkan alpa
meratakan darjat memadamkan sengketa
memanggil duka melumpuhkan suara
memusnahkan jurang dan menghancurkan cinta
air mata kini lesu untuk mengalir

jemari tidak lagi bisa membelai ratusan kekasih yang pergi
jemari juga tidak bisa lagi melambai kesementaraan yang berlalu
dadapun menyarat luka ketika hati dimamah duka

pada sinarmu mentari kebesaranNya menjelma
dan dilangit yang kudus kalimahNya bersuara
menuntut sujud keampunanNya
yang sekali sekala menyapa
saudaraku kamu dicintaiNya
kerana itu inilah bahagianmu yang sementara

di hamparan yang musnah
adalah kecewa, adalah tangis,
adalah runtuhan adalah kemusnahan,
adalah perpisahan, adalah kematian,
adalah sesal, adalah persoalan,
adalah keajaiban, adalah kebuntuan
adalah keinsafan adalah harapan
adalah ketentuan adalah ujian
dan adalah cintaNya kepada kamu
serta kita yang menyedarinya

Enche
7 November 2009


Gambar dipinjam dari laman blog ruanghati.com

04 November, 2009

Jom Baca Buku - The Epic of Hang Tuah

The Epic of Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah

This work which was authored between 1641 and 1739 is the only Malay epic which represents the Malay race itself in its aspirations, ability and attitudes towards life during a decisively significant period of time. Hang Tuah epitomized the uniqueness of the Malay race as a cultured and civilized people by demonstrating the self-esteem, courage, astuteness and fine manners of the Malay people, which gained respect and acknowledgement from foreign peoples and governments who were among the early sources of contact with the Malay civilization before the Portuguese invasion of Malacca. The author ends his work on a spirited and enduring note which has left an indelible mark in Malay minds until today: “The Malays will never vanish from this world.”

The Epic of Hang Tuah
Hikayat Hang Tuah

Translator: Muhammad Haji Salleh
Publisher: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Year of Publication: 2009
ISBN:978-983-068-330-0
No of Pages: 662 pages
Prices: RM250.00

New Release! The Epic of Hang Tuah, for the first time ever from the Malay great works series Hikayat Hang Tuah has been translated into English. To be in the market soon.

Kanvas Kehidupan - Nak Kahwin Rakan Internet

Lama tak jumpa dia. Hari itu aku dah tak mahu menunggu lama lagi. Aku mesti jumpa dia. Mungkin banyak cerita menarik darinya.

Seperti biasa lokasi perjumpaan petang itu tidak jauh dari pejabatnya. Dan petang itu dia tiba lewat sedikit kerana menyelesaikan tugas yang muncul tiba-tiba. Aku mengelak soalan mengenai kerjayanya kerana dia selalu kelihatan bosan untuk menjawabnya.

Lalu aku mengaju soalan yang dia selalu tertawa sambil menjawabnya. Iaitu mengenai mengenai jodoh. Sudahkah dia menemui teman istimewa? Memang benar dia memulakan dengan senyuman dan kemudian menceritakan dia sudah menemui teman istimewanya. Dia akan berkahwin tidak lama lagi, berhenti kerja, balik ke kampung halamannya dan memulakan kerjaya baru.

Aku hilang kata-kata seketika. Sepantas itu aku akan kehilangan kawan. Lalu keinginan untuk mengetahui bagaimana ianya terjadi dengan begitu pantas seperti dia menemui seorang hartawan! Lalu dia menceritakan perkenalan dengan pemuda ilusi di alam siber.

Kisah seorang pemuda dari luar negara yang sangat sabar menunggu itu dibongkarkan olehnya satu persatu. Sangat baik jalan ceritanya. Pemuda itu sanggup meninggalkan pekerjaan dan berhijrah ke Malaysia. Menukar agamanya dan sekaligus hidup bersama memulakan yang segala-galanya baru di sini.
Apa yang membuatkan aku terbeliak mata apabila dia menceritakan perihal lelaki itu yang sudah menghitung-hitung berapa banyak wang yang harus dibawanya ke sini untuk majlis perkahwinan, membeli rumah mewah di sini dan memulakan perniagaan baru. Lalu teman itu termangu-mangu memikirkan dan bertanyakan pendapatku perniagaan apa yang sesuai.

Apa yang lebih memeranjatkan cerita teman itu ialah pelan asal lelaki luar negara itu ialah pada penghujung tahun ia akan datang ke Malaysia membawa cerita barunya itu kini diubah ke minggu hadapan kerana ia dapat membereskan masalahnya lebih awal dari yang dirancangkan.

Episod pertama itu tamat kerana masa yang bergerak terlalu pantas dan malam datang tanpa diundang. Aku tidak sabar menunggu episod kedua drama siber yang terhenti tanpa iklan itu.

02 November, 2009

Katalog Frankfurt 2009



Inilah katalog Frankfurt yang diusahakan oleh Insitut Terjemahan Negara Malaysia Berhad yang telah dibawa ke Pesta Buku Frankfurt 2009. Di dalamnya terdapat maklumat mengenai buku-buku yang bertemakan Malaysiana dan Sastera dari penerbit-penerbit tempatan berbahasa Inggeris.

Secara keseluruhannya pembikinan dan pengumpulan bahan-bahan ini mengambil hampir 10 bulan. ITNM menawarkan kepada semua penerbit di Malaysia untuk memasukkan buku terbitan mereka ke dalam katalog yang bakal diterbitkan dan membantu mempromosikan buku-buku ini ketika di Jerman.

Bermula pada tahun ini ITNM telah diberi kepercayaan oleh Majlis Buku Kebangsaan sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL) untuk mengendalikan bilik 'Rights Trade Centre' oleh yang demikian ketika PBAKL berlangsung sebuah katalog telah diterbitkan dan ia merupakan fasa pertama pengumpulan bahan katalog untuk Katalog Frankfurt.

Katalog yang sangat unit ini terbahagi kepada 6 segmen. Segmen 1 : mengandungi poskad yang memaparkan visual ilham dari buku-buku yang terkandung dalam katalog ini. Segmen 2 : mengandungi maklumat mengenai organisasi terlibat dan penaja serta pelan. Segmen 3 : Buku Kanak-kanak (4 siri). Segmen 4 : Buku undang-undang (13 Judul). Segmen 5 : Buku Umum (29 Judul) dan segmen 6 : Buku Sastera (55 Judul).

Jika pada tahun 2008 Buku Lat The Kampong Boy telah diperkenalkan sebagai tarikan utama dan mendapat perhatian pihak luar negara kini tibalah masa Hikayat Hang Tuah atau The Epic of Hang Tuah diperkenalkan pula kepada khalayak antarabangsa. The Epic of Hang Tuah telah melalui proses yang sangat teliti untuk menerbitkannya sesuai dengan nilai yang ada pada hikayat itu. Fizikal buku ini sangat mengkagumkan kerana ia dihasilkan dengan rupa klasik dan tidak keterlaluan untuk mengatakan buku ini sangat istimewa untuk dimiliki dan ditempatkan di seluruh perpustakaan.

Nantikan dalam ruangan Jom baca buku mengenai buku The Epic of Hang Tuah ini.