02 November, 2009

Katalog Frankfurt 2009



Inilah katalog Frankfurt yang diusahakan oleh Insitut Terjemahan Negara Malaysia Berhad yang telah dibawa ke Pesta Buku Frankfurt 2009. Di dalamnya terdapat maklumat mengenai buku-buku yang bertemakan Malaysiana dan Sastera dari penerbit-penerbit tempatan berbahasa Inggeris.

Secara keseluruhannya pembikinan dan pengumpulan bahan-bahan ini mengambil hampir 10 bulan. ITNM menawarkan kepada semua penerbit di Malaysia untuk memasukkan buku terbitan mereka ke dalam katalog yang bakal diterbitkan dan membantu mempromosikan buku-buku ini ketika di Jerman.

Bermula pada tahun ini ITNM telah diberi kepercayaan oleh Majlis Buku Kebangsaan sewaktu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL) untuk mengendalikan bilik 'Rights Trade Centre' oleh yang demikian ketika PBAKL berlangsung sebuah katalog telah diterbitkan dan ia merupakan fasa pertama pengumpulan bahan katalog untuk Katalog Frankfurt.

Katalog yang sangat unit ini terbahagi kepada 6 segmen. Segmen 1 : mengandungi poskad yang memaparkan visual ilham dari buku-buku yang terkandung dalam katalog ini. Segmen 2 : mengandungi maklumat mengenai organisasi terlibat dan penaja serta pelan. Segmen 3 : Buku Kanak-kanak (4 siri). Segmen 4 : Buku undang-undang (13 Judul). Segmen 5 : Buku Umum (29 Judul) dan segmen 6 : Buku Sastera (55 Judul).

Jika pada tahun 2008 Buku Lat The Kampong Boy telah diperkenalkan sebagai tarikan utama dan mendapat perhatian pihak luar negara kini tibalah masa Hikayat Hang Tuah atau The Epic of Hang Tuah diperkenalkan pula kepada khalayak antarabangsa. The Epic of Hang Tuah telah melalui proses yang sangat teliti untuk menerbitkannya sesuai dengan nilai yang ada pada hikayat itu. Fizikal buku ini sangat mengkagumkan kerana ia dihasilkan dengan rupa klasik dan tidak keterlaluan untuk mengatakan buku ini sangat istimewa untuk dimiliki dan ditempatkan di seluruh perpustakaan.

Nantikan dalam ruangan Jom baca buku mengenai buku The Epic of Hang Tuah ini.

No comments: