20 November, 2009

Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu X- UKM

Pada 18 dan 19 November iaitu dua hari yang lepas telah berlangsung Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu ke-X di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dalam Seminar yang telah berlangsung dengan lancar itu beberapa negara telah menghantar pembentang-pembentang kertas kerja seperti dari Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri. Sebanyak 25 kertas kerja telah dibentangkan berpaksikan pada tajuk Kesusasteraan Melayu Dalam Rentas-Ilmu dan ia dibentangkan dalam aspek bidang yang mengkhusus:
  • Sastera Agama
  • Sastera Sejarah
  • Sastera Kreativiti
  • Sastera Pendidikan
  • Sastera Sains Sosial Sastera Seni Persembahan

ITNM diwakili oleh Puan Siti Rafiah Sulaiman Ketua Jabatan Terjemahan bagi pihak Pengarah Urusan ITNM Encik Mohd Khair Ngadiron (yang sedang menunaikan rukun Islam ke-5) telah membentangkan kertas kerja bertajuk Penterjemahan Karya Sastera Kebangsaan ke Bahasa Asing.

Sangat banyak isu-isu yang disentuh dalam pembentangan ini dan ia sangat baik untuk pembentukan sastera yang lebih kreatif, murni, dinamis dan bermutu untuk pembentukan sahsiah generasi akan datang. Ini kerana sumbangan sastera sebenarnya amat besar kerana selain memacu pembentukan rohaniah yang lebih baik atau jati diri bangsa ia juga lebih jauh akan mendasari corak pandangan dan pemikiran rakyat sesebuah negara supaya lebih kritis terhadap sesuatu perkara dan bukan sekadar menjadi bacaan mengisi waktu yang terluang. Sastera dan kehidupan adalah dua perkara yang saling mempengaruhi.

Sekalung tahniah kepada penganjur Seminar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, DBP dan juga PENA (tidak ketinggalan Dr. Mawar Shafei yang telah berusaha keras saya nampak untuk merealisasikan seminar ini).

Maaflah ya kerana itu blog wwwenche.blogspot.com. ini tidak dikemaskini kerana kesuntukan waktu. 8.30-5.30 perjalanan sesi dan persiapan perjalanan ke Bangi harus dibuat lebih awal dari itu.