10 November, 2009

Kanvas Kehidupan - Dia Nak Kahwin Rakan Internet 2

Barangkali dia masih ingat nasihatku supaya jangan terpedaya dengan pujuk rayu lelaki luar negara yang baru dikenali itu jika mengajaknya berkahwin di luar negara. Tetapi temanku itu bukan calang-calang orang. Dia berjawatan tinggi ke tempat kerjanya. Masakan dia bisa terpedaya. Aku sekadar mengingatkannya kerana cinta itu buta. Kerana cinta manusia boleh bertindak di luar kebiasaan.

Sudah lebih seminggu aku meninggalkan episod pertama drama ini. Hari itu aku tergerak untuk mengetahui sambungan ceritanya. Lalu aku menelefonnya. Diapun seperti sudah mengetahui tujuan aku menelefonnya tidak sabar-sabar lagi ingin bercerita. Aku membiarkan sahaja keinginannya itu.

Katanya lelaki itu sudah tiba di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) pagi itu tetapi dia di tahan di sana kerana kesalahan membawa wang tunai pada jumlah yang dibenarkan. Aku mengeleng kepala masakan bodoh sangat seorang yang dikatakan senior yang bekerja di syarikat minyak luar negara tidak mengetahui atau sekurang-kurangnya menyelidiki peraturan yang perlu dilalui untuk keluar masuk negara. Peraturan seperti itu selalu dipampang di lapangan terbang di mana-mana di seluruh negara.

Sudah banyak kes tangkapan dibuat dalam perkara ini dan ia selalu di siarkan di media dalam dan luar negara. Takkan itu tidak dijadikan pandauan oleh sesiapa yang membacanya. Aku pula yang membebel kepada dia yang tiba-tiba terhenti mendengar bebelanku. Diapun bersetuju denganku.

Lantas aku bertanya kepadanya apakah plot cerita yang diaturkan lelaki luar negara itu kepadanya. Temanku terus menyambung, katanya pihak berkuasa di sini mahukan wang sogokan sebanyak RM12,000.00 dan dia mahu temanku menghantarkan wang itu ke sana agar dengan adanya wang itu dia dapat dibebaskan. Lalu tanyaku lagi untuk mengetahui tindakan selanjutnya.

"I cakap kat dia You settlekan sendiri masalah You tanpa melibatkan I then kalau sudah selesai baru telefon I." Balas temanku dan dia memutuskan talian telefon. Mahu sahaja aku memberikan tepukan gemuruh atas tindakan bijaknya itu. Memang itu jawapan dan tindakan yang paling bijak dan kemuncak kepada kisah cinta siber ini.

Dengan jawapan itu sudah jelas teka teki yang bermain di fikiran temanku tentang keikhlasan lelaki itu. Ia adalah drama cinta yang stereotype penipuan lelaki luar negara di alam siber memperdayakan wanita. Kisah ini tiba-tiba melintasi sendiri di hadapan kita dan nyata ia bukan dongeng wartawan, akhbar atau majalah. Ia adalah kisah benar.
Aku meletakkan telefon sambil membayangkan lelaki itu tentu sudah menaiki pesawat untuk kembali ke negara asalnya dengan pelaburan tambang yang tidak berbaloi atau entahkan dia sudah kembali ke rumah tumpangnya di Damansara atau di Cyberjaya atau mungkin juga di Bukit Antarabangsa dari KLIA!