15 November, 2009

Kanvas Kehidupan-Sudah Jatuh di Timpa Tangga

Pagi itu aku menerima panggilan telefon dari kawan yang jarang menelefonku. Memang suspen menerima panggilan telefon di pagi hari. Aku hanya membuat penggilan telefon di pagi hari jika ada hal-hal yang benar-benar mustahak kerana waktu awal pagi selalunya mereka yang bekerja akan sibuk dengan persediaan untuk pergi kerja, memulakan pekerjaan atau mengambil sarapan pagi.

Seperti yang aku duga panggilan itu memang panggilan yang mencemaskan aku. Bee memberitahuku sahabat kami - Madi terlibat dalam kemalangan. Aku menggigil mengenangkan berita mendung di awal pagi itu. Lalu aku terus-terusan menyoal Bee bagaimana keadaan Madi selepas itu dan di mana ianya terjadi tetapi Bee kata diapun cuma dapat penggilan telefon dari Kasman kawan serumah Madi. Diapun tidak tahu lebih lanjut apa yang sedang berlaku pada Madi. Sebelum memutuskan talian Bee berpesan kepadaku jika aku ingin menziarahi Madi jangan lupa memberitahunya kerana dia ingin bersamaku.

Aku mengiyakan sahaja permintaan Bee. Apabila petang menjelma berkali-kali aku cuba menghubungi Bee tapi dia tidak mengangkat telefonnya. Barangkali Bee sibuk dan menyambung tugasnya mengajar pula di waktu malam. Itulah Bee yang aku kenali pasti rutin itu masih belum berubah selagi dia masih bekerja di situ.

Setelah berputus asa gagal menghubungi Bee akupun meneruskan hajatku untuk menziarahi Madi. walaupun jam sudah menunjukkan tepat 7.30 malam. Sudah lewat benar untuk aku terus menunggu Bee. Hujan renyai-renyai sejak petang tadi di luar pejabatku yang terletak di Wangsa Maju, Seksyen 10.

Aku terus memandu menuju ke sebuah hospital yang terletak di Taman Melawati kerana menurut Bee Madi dimasukkan ke situ selepas kemalangan. Tiba di hospital itu aku bingung sebentar kerana aku harus mengetahui nama Madi yang sebenarnya sebelum bertanya pengawai perubatan di situ. Aduh aku cuma tahu nama samarannya sahaja. Terpaksalah aku menelefon Zam bekas teman serumahnya untuk mengetahui nama sebenar Madi. Aku juga melalui nasib yang sama seperti Bee apabila Zam bertanyakan soalan yang sama aku tanyakan pada Bee pagi tadi.

Selepas mendapat nama sebenar Madi akupun terus ke tingkat 2 Hospital berkenaan. Wajah pegawai itu seperti kurang pasti sahaja apabila aku menyebut pesakit bernama Madi dimasukkan ke situ. Di tingkat 2 aku dapati memang tiada pesakit bernama Madi di situ! Pegawai di Tingkat 2 kelihatan sibuk mencari maklumat senarai pesakit yang dimasukkan ke situ sejak dari pagi.

Setelah diselidiki Madi memang dirawat di situ awal pagi tetapi selesai menerima rawatan Madi tidak dimasukkan ke situ. Dan mereka tidak pasti Madi dibawa ke mana selepas itu. Tinggallah aku dalam kebingungan di saat itu. Hendak aku menelefon Madi aku bimbang Madi dalam kesakitan dan akan menyusahkannya. Tetapi aku tiada pilihan lain selain menelefonnya sendiri.

Bersambung...

No comments: