Di pintu sebuah tandas sebuah pasaraya. Yang gah. Dan yang datang ke sinipun aku percaya mempunyai perasaan yang gah kecuali aku yang datang cuma untuk menemani ibu yang sangat gemar membeli belah di tempat-tempat yang aneh begini.
Sementara menunggu ibu. Aku berdiri di tepi meja penjaga pintu tandas. Aku lihat banyak sekali wang syiling di mejanya. Ada yang siap bersusun seringgit, seringgit untuk memudahkan dia mengembalikan wang baki kepada pengguna tandas. Penjaga perempuan itu sedang memotong-motong tisu tandas kepada bahagian-bahagian kecil dan melipat-lipatkannya lalu menyusunnya di atas meja.
Tisu itu bukan untuk dijual. Aku tahu sebab aku sangat biasa menggunakan tandas itu. Siapa yang telah bayar untuk masuk ke tandas dia boleh mengambilnya. Tujuan perempuan itu melakukan demikian untuk mengelakkan pembaziran penggunaan tisu jika ia dibiarkan di dalam tandas itu. Wah alangkah buruknya sikap pengguna tandas di Malaysia sehingga urusan tisu yang sekecil itu pun harus di kawal oleh penjaga tandas.
Aku bertanya sendirian adakah ini suatu perniagaan yang menguntungkan. Belumpun aku mendapatkan jawapannya tumpuan aku dicuri pengguna yang pantas keluar masuk ke dalam tandas itu. Berbagai gelagat walaupun sudah diletakkan label kadar yang harus dibayar masih ada yang bertanya dan ada yang terus membayarnya.
Aku tertarik kepada episod pertama seorang wanita Afrika – mengenalinya menerusi persis pakaian tradisinya berleher besar dan bertudung besar tetapi pakaiannya sangat glamour. Wanita itu terus masuk tanpa membayar dahulu lalu perempuan itu terus menyapanya. Wanita itu berundur dan ke meja dan bereaksi tidak sengaja. Dia melihat label harga penggunaan tandas yang disediakan dalam dwibahasa itu dan membuka beg tangannya. Agak lama dia membelek-belek mencari wang. Akhirnya dia mengeluarkan wang kertas RM50.00 aku sedikit terkejut. Takkanlah dia tiada wang kecil atau sengaja mahu menguji penjaga tandas itu.
Penjaga tandas itu lantas menanyakan kepadaku kalau-kalau aku ada wang kecil untuk ditukarkan. Ketika itu aku sudah berbelah bahagi antara mahu membayarkan sahaja untuk wanita itu dan menukarkan sahaja wang kecil. Mana satu yang harus aku lakukan. Tiba-tiba penjaga tandas itu seperti dapat membaca fikiranku lalu berkata "jangan layan dia tu kalau ada wang tukar beri sahaja tukar." Aku terus dapat menangkap apa maksudnya lalu aku keluarkan wang tukaran. Selesai satu episod.
Episod kedua pula berlaku. Seorang pemuda berusia 30an berjalan membabi buta masuk ke dalam tandas walaupun di sapa oleh penjaga. Perempuan penjaga itu sekali lagi memandang aku seolah-olah ingin memberitahu bahwa dalam banyak-banyak orang memang ada orang yang seperti itu. Aku sendiri merasa malu kerana perempuan penjaga tandas itu adalah orang Indonesia. Ia tak secara langsung menggambarkan sikap biadap orang Malaysia! Aduh malu sekali.
Setelah beberapa minit lelaki itu keluar dari tandas dan di sapa oleh perempuan itu untuk membayarnya. Bukan mahal Cuma 30sen sahaja. Tetapi lelaki itu penuh dengan ego memandang kepada perempuan penjaga tandas dan mengatakan dia tidak mengguna tandas itu.
"Sekali masuk 30 sen walaupun cuma bercermin muka sahaja." Kata perempuan penjaga tandas itu.
Namun tidak dipedulikan oleh lelaki itu. Aku malu sungguh malu sekali melihat adegan-adegan itu. Barangkali jika aku menjadi penjaga tandas itu tentu aku berjaya menulis sebuah novel tentangnya.
No comments:
Post a Comment