Hari besar atau hari raya jika anda berkunjung ke rumah orang-orang Kelantan dan orang Terengganu anda akan dihidangkan dengan juadah tersebut. Bagi orang Kelantan Nasi Dagang dan orang Terengganu Nasi Minyak. Entah mengapa kali ini aku nak cerita pasal nasi pulak mungkin peristiwa raya dan berkawan dengan orang Terengganu yang terkandas pulang berhari raya.
Rakan itu beriya-iya nak makan nasi minyak. Macam tak sah hari raya tak makan nasi minyak. Lalu aku teringat dalam perjalanan pulang dahulu dari KB ke KL aku dan rakan-rakan sempat singgah di gerai makan di negeri Terengganu. Kaget juga kerana hidangan sarapan pagi mereka jual nasi minyak tetapi di Kelantan dengan nasi dagang selain nasi kerabu dan nasi berlauk.
Sebenarnya nasi dagang juga popular di Terengganu tetapi nasi dagang Terengganu berbeza dengan nasi dagang Kelantan dari segi penggunaan beras. Nasi dagang Kelantan menggunakan beras perang manakala nasi dagang Terengganu menggunakan campuran beras pulut dan beras biasa dengan sukatan 1 (beras pulut)dan 2 (beras biasa) manakala lauknya tidak berbeza. Di Kuala Lumpur warga Kelantan atau Thailand yang berniaga nasi dagang kini sudah tidak menggunakan beras perang lagi mungkin kerana harganya mahal dan susah untuk mendapatkan bekalan manakala nasi dagang cara Terengganu lebih mudah di sediakan.
Budaya orang-orang Kelantan dan orang-orang Siam di selatan Thai hampir sama cara mereka makan dan bercakap. Kerana itu ramai yang terkeliru mengatakan bahawa ramai orang Kelantan berniaga sarapan pagi padahal mereka adalah orang Selatan Thai.
Beras perang agak keras berbanding beras biasa. Oleh yang demikian masa yang agak lama diperlukan untuk memasaknya. Ia perlu direndam semalaman supaya lembut dan memendekkan waktu memasaknya dan kadang kala teknik menyiram air kukusan kepada beras itu ketika mengukusnya digunakan bagi mempercepatkan ia kembang.
Orang Kelantan juga suka makan nasi minyak dan menjadi makanan pilihan sebagai juadah hari raya tetapi pada hemat saya ia tidak segah nasi dagang. Begitulah cerita nasi dagang dan nasi minyak budaya dua negeri berjiran yang sedikit berbeza.