01 December, 2010

Bicara pada dinding kaku bisu dan beku



dini hari sebagaimana biasa kubangkit
rutin lima purnama dahulu mahu diulangi
namun aneh sekali hari ini
apabila ceria tidak lagi menyapaku
untuk apa aku ke dapur menyediakan sarapanmu
jika kau tiada lagi untuk menikmatinya
melalui mulutmu yang tiada pernah jemu mengeluarkan kata

untuk apa aku seawal ini bangkit
jika hanya untuk mencari bayang-bayangmu
di ruang yang sering kau terbaring
ketika aku ke pejabat

aku terhidu kebekuan di sini
ruang ini rupanya bagaikan hampagas
persis kanvas putih
miskin warna
miskin jiwa
miskin rasa

dan aku bagaikan sedar
betapa sunyinya dirimu
ketika itu, kala aku tiada di sisi
kau mengintai kata-kata untuk berbalas
namun yang ada sebagai teman
hanyalah dinding batu yang kaku, bisu
setia membiaskan semula kata-katamu
kata-kata lara tentang hidupmu..


bonda
pada dinding batu yang kaku-bisu itu
hari ini - aku bisikan
bahawa aku amat rindu padamu
datanglah lagi kepadaku dan lupakan semalam
jika ada warna-warna hitam yang kau lihat padanya
kerana aku sentiasa membuka ruang itu
untukmu bondaku

wahai malam pekat- jangan memandang sinis aku
redakan egoismu dan rentangkanlah kedamaian
jalarkan rasa di dada ini
pada sebuah jiwa yang sering dibalut sepi di sana
bawakanlah getar rindu ini
agar nota sarat rindu terurai
satu demi satu di lapis hatimu bonda


enchelah
1 Disember 2010
Ukay Perdana

1 comment:

Sueozana said...

Salam..

Tersentuh bila baca puisi ni..
smoga bonda JA dirahmati Allah..