Apa kena mengena gambar ni yang kau nak post kat blog kau Cik Kiah oi..Memang tak ada kena mengena dengan aku okey. Ini adalah hasil kerja tangan aku yang aku lukis awal tahun ini-setelah menyimpan anugerah yang diberikan itu selama lebih 10 tahun! Ramai kawan-kawan yang tak tahu sebenarnya aku ni suka melukis sewaktu dahulu. Masa sekolah banyak masuk pertandingan melukis poster dan yang menang pun banyak juga. Memang seronok kalau menang, puas rasanya. Berbaloi. Mulut pun nak senyum je sebab puas. Dek kerana minat itu aku pun melanjutkan ke bidang grafik Di UiTM Shah Alam.
Bila dah tamat belajar dan terlibat dalam bidang ini lama-lama mula rasa bosan dan mual. Seni adalah sesuatu yang abstrak. Jika sudah mematuhi peraturannya ia sudah benar. Tetapi yang tidak benar apabila sukar untuk menemukan kehendak dan cita rasa manusia yang kompleks!
Manusia dengan seribu keanehan kadang-kadang mencari sesuatu yang dia sendiri tidak tahu. Seolah-olah berada di bumi asing. Malah tidak juga menemui apa yang dia mahu setelah berulang-ulang kali ia berhadapan dengan akhiran kepada pencariannya. Atas nama kesempurnaan itulah dijadikan asas kepada pencariannya sedangkan yang Maha Sempurna itu hanyalah Allah. Jika sekalipun apa yang ditemui itu sudah ada-adakah ia sempurna pada pandangan mata berjuta-juta manusia yang lain? Dan adakah kesempurnaan itu jawapan kepada segala-galanya.
Manusia memang aneh kerana nafsunya dan bertambah aneh dengan segala jurang yang datang dan membezakan dirinya dengan yang lain. Tetapi manusia sebenarnya khalifah yang sementara dipinjamkan nafasnya ke dunia ini. Selepas itu manusia akan beku dan kaku sebelum dibangkitkan semula untuk dihitung amalannya.
Potret ini jadi hadiah harijadi Cik Kiah kepada seorang sahabat, teman dan dunia. Jika Diizinkan Allah Cik Kiah nak mengembalikan keseronokan menghasilkan lanskap dan alam semulajadi menggunakan catan air dalam waktu-waktu terdekat.