Lembayung Cinta begitulah judul novel yang aku nanti-nantikan dan akan terbit di bulan Disember ini . Ia akan dilancarkan begitulah aku difahamkan oleh Puan Istikamah dari penerbitan Pelangibooks dua bulan yang lalu. Barangkali waktu ini mereka sedang bertungkus lumus menyiapkan lima novel remaja yang bakal menemui pembaca dalam satu majlis pelancaran tidak lama lagi. Harap-harap semuanya berjalan lancar.
Rakan taulan yang mengetahuinya sudah kerap bertanyakan hal ini dan semakin tidak sabar untuk melihat kelahiran novel sulungku. Yang sering ditanyakan kepadaku adakah ia novel cinta. Itulah anggapan mereka berdasarkan kepada judulnya. Tetapi Lembayung Cinta bukan kisah cinta. Aku tidak mahu menyajikan remaja dengan kisah-kisah cinta. Jika mahukan kisah cinta cari sahaja di pasaran novel-novel cinta.
Perkembangan remaja di awal usia mereka harus didedahkan dengan persekitaran hidup keluarga mereka. Kegetiran yang harus dilalui ibu bapa sewaktu membesarkan mereka harus diberi fokus utama kerana remaja jarang melihat aspek-aspek itu kerana dalam usia begitu mereka lebih terikut dengan kehendak naluri mereka yang inginkan kebebasan dan hiburan sepanjang masa.
Kisah keluarga Mariam bersama anaknya Adam Dan Marsya yang melalui keperitan hidup di sebuah negeri di Pantai Timur pasti memberikan anda pengalaman baru kerana kisah kehidupan ini adakalanya adalah realiti kehidupan masyarakat di sana. InsyaAllah sinopsis akan disiarkan di sini dalam post akan datang jika aku telah menerima contoh kulit daripada penerbit.
Ketika ini aku sedang mencari-cari rentetan peristiwa sebelum dan selepas kejadian di Lembayung Cinta untuk meneruskan novel-novel seterusnya. Terima kasih Dato' Baha, Puan Norzailina Nordin dan rakan-rakan yang tidak dapat ku sebutkan namanya di sini atas pandangan, nasihat serta dorongan yang diberikan supaya meneruskan cita-citaku untuk menjadi penulis. Sayang anda semua...
No comments:
Post a Comment