21 December, 2009

Sahabat atau kawan?

Anda ingin mempunyai sahabat atau kawan? Sahabat sifatnya lebih dari seorang kawan. Anda memberi sedikit jiwa anda kepadanya. Anda memberi rahsia anda kepadanya manakala kawan adalah mereka yang kebetulan setiap masa berada di sekitar anda dan anda mengenalinya. Jika anda mempunyai masalah, anda akan mencari sahabat untuk menceritakannya bukannya kawan. Kerana itu kehilangan sahabat lebih dirasai dari kehilangan seorang kawan.

Mengenali hati budi seseorang sebenarnya membenarkan anda menjadi seorang yang lebih matang dalam membentuk sikap dan tindakan. Tetapi untuk mengenali hati budi kita memerlukan masa dan sensitiviti. Jika anda beranggapan bahawa A adalah sahabat anda seharusnya anda mencari masa dan keinginan untuk menyelami hati budinya.

Ramai orang mengaku mempunyai sahabat tetapi sejauh mana mereka cuba menyelami sikap sahabat mereka. Kadang-kadang kita lihat ada orang yang sudah lama kenal tetapi masih berselisih pendapat. Perselisihan mungkin kerana perbezaan dan percanggahan pendapat, atau mungkin juga kerana prinsip. Mengapa?

Kegagalan memahami sikap sahabat sering membawa kepada perselisihan faham yang besar namun ia tidak sehebat kegagalan memahami sikap kawan yang akibatnya lebih parah.

Adalah lebih baik menghadkan bilangan kawan sehingga anda dapat membaca hati budinya dan ia bertukar menjadi sahabat daripada menambahkan bilangannya tanpa ada apa-apa kualiti dari penambahannya dan ia tidak membezakan anda mempunyai ramai kawan atau tiada kawan!

Seseorang kawan atau sahabat yang telah berjaya diselami hati budinya akan membolehkan anda meneka apakah tindakan yang akan dibuat dan jika ini berlaku anda sebenarnya telah berjaya melalui liku-liku sebuah persahabatan.

No comments: