07 December, 2009

Tulisan Khat Haji Sulaiman Awang




Gambar pejabat Aji dan pohon-pohon kedondong dan rambutan di laman rumah Aji.

Haji Sulaiaman Awang tapi aku memanggilnya Tuan Haji dan kadang-kadang tinggal Aji sahaja. Dia dah macam ayah sahaja. Seorang penulis khat yang tidak asing lagi di Malaysia dan tulisannya sering digunakan dalam rancangan baca Al Quran tidak lama dahulu. Pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum beliau pencen. Memulakan tugas sebagai pelukis. Dia sangat rapat dengan semua orang.

Dia bercerita mengenai kerjaya selepas pencen. Pernah berdoa supaya diberi perkerjaan yang senang dan mudah mendapat duit. Dan dia percaya tuhan mendengar doanya lalu kerana itu dia menjadi penulis khat untuk kebanyakan batu nisan yang terdapat di Kuala Lumpur.

Aji cerita dia mengambil masa 2 minit untuk menyiapkan tulisan pada khas. Tulisan itu hanya ditulis pada sekeping kertas dan akan di pindahkan secara teknologi oleh pembekal batu nisan iaitu seorang taukeh Cina. Tambah Aji lagi kadang-kadang jemarinya hampir kejang kerana terlalu banyak menulis tulisan jawi setiap hari.

Memanglah menyeramkan menulis dengan banyak nama-nama hamba Allah yang telah pergi meninggal dunia tetapi itu akan sentiasa mengingatkan kita kepada kematian katanya kepadaku. Kerja menulis ini bermula dari suka-suka dan ingin menolong tetapi akhirnya sudah menjadi suatu kerja yang menuntutnya duduk berjam-jam setiap hari kerana terlalu banyak tempahan.

Beliau sangat bersyukur dengan rezeki yang diberikan ini kerana menjadikan kerisauannya sebelum pencen terubat. Hari-harinya terisi dengan jadual yang ketat untuk menyiapkan tempahan. Haji Sulaiman Awang menjadikan koridor di tepi rumah teresnya yang terbuka sebagai 'pejabatnya'. Beliau meletakkan bidai buluh untuk menghalang cahaya dan panas matahari. Sebuah kipas dinding akan di pasangnya jika cuaca panas. Bukan tidak mampu untuk membuatkan dinding di situ tetapi Aji lebih suka pandangan yang terbuka.

Di dalam laci meja itu terdapat telefon selari untuk memudahkannya menjawab telefon jika ada Aji tidak mahu masuk ke dalam rumah menjawab panggilan. Rumahnya juga dilengkapi dengan mesin faks bagi memudahkan beliau menerima tempahan nama dan juga menghantar tulisan khat yang siap dibuatnya.

Ketika bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka tulisan-tulisannya pernah menghiasi pingat-pingat DiRaja, buku cenderamata perayaan, kalendar DBP malah wang kertas Malaysia dari RM1.00 hingga RM500.00.

Aji pernah menceritakan salah seorang daripada anaknya berkebolehan untuk menulis jawi dan pernah memenangi peraduan tulisan jawi tetapi tidak mengembangkan bakatnya. Salah seorang lagi anaknya juga (Ahmad Khazim-kawan saya di DBP) mewarisi bakatnya sebagai pelukis dan sekarang bertugas di Utusan Melayu.

Mengakhiri cerita hari itu Aji memberikan saya buah rambutan dan Kedondong untuk di bawa dan di agih-agihkan di pejabat! Enak sekali buah dari laman Aji itu tak puas memakannya.

Ada sebuah papan nota di hadapan meja Aji itu aku terpandang gambar Intan Azura seorang pelakon yang popular juga. Teringat Aji ada cakap kat aku-16 tahun dulu anaknya dari model nak jadi pelakon sekarang sudah menjadi. Kuah nak tumpah ke mana kalau tidak ke nasi Aji pun dulu model juga kan!

No comments: