23 February, 2009

Khabar Yang Tidak Bahagia Namun Masih Ada Harapan

Tidak ada perkara yang paling membimbangkan kita kecuali kemerosotan kesihatan! Kita semakin lama semakin dimamah usia dan kesihatan kita semakin akan berkurangan. Aku amat menitik beratkan soal kesihatan kerana itu semenjak usia 20an lagi aku sudah mengambil suppliment kerana itu aku sudah mengenali produk-produk seperti Amway, Shaklee, Cosway dan lain-lain, sedangkan diusia begitu ramai orang berkata tidak perlu.

Waktu itu pengambilan vitamin diikuti dengan aktiviti riadah yang lain bersama rakan-rakan memang membina hidupku yang sihat ketika itu. Tetapi lama kelamaan aktiviti riadah menjadi semakin suram kerana rakan seusia sibuk kurang berminat dan hilang dari persekitaran. Sehinggalah sekarang aku masih mengamalkan suppliment itu (walaupun kadang-kadang terlupa) dan aktiviti riadah sudah dilupakan ketika azam memang ada.

Minggu lepas tahap kesihatan menjadi lain macam apabila aku rasa kepalaku seperti terbenam di dalam tilam dan bantal. Bimbang kelewatan ke pejabat aku gagahi juga ke bilik air dan mandi. Selepas itu kepalaku terasa berpusing dan aku mengambil keputusan untuk baring sekejap. Rupanya baring dalam jaga itu sampai ke tengah hari sehinggalah aku berjaya 'merangkak' ke klinik.

Doktor melihat rekod penyakit yang sama dan merasa hairan dengan perulangan keadaan demikian terhadap diriku lalu mengesyorkan aku menjalani ujian darah. Aku bersetuju. Dalam keadaan lupa memberitahu doktor kali terakhir aku membuat ujian darah 3 tahun lalu tetapi sebenarnya setelah dihitung ia mungkin sudah 4-5 tahun.

Tadi entah bagaimana aku dengan perasaan sangat mengelabah telah membuat kunjungan ulangan ke klinik berkenaan untuk mendapatkan keputusan ujian tersebut. Ujian terpaksa dihantar ke makmal lain dan mengambil masa beberapa hari kerana di klinik berkenaan memang tiada peralatan demikian dan itu amalan biasa bagi sesebuah klinik.

Doktor yang manis di Bukit Antarabangsa itu merenung catatan yang diperolehi. Dari riak wajahnya aku memang sudah menjangkakan ia keputusan yang tidak menggembirakan. Lambat benar dia ingin berkomunikasi denganku. Lalu dia membacakan satu persatu diagnosis yang tercatat pada dua keping laporan.

Kesimpulan dari semua itu: kandungan paras gula dalam darahku berada pada paras border line dan kandungan kolestral dalam darah juga tinggi (aku agak kerana kegemaran dan kekerapanku mengambil sup ekor setiap minggu). Aku diberi LIPITOR untuk tempoh 3 bulan selain menasihati aku menukar corak pemakanan dan kurang mengambil makanan bergula dan berkarbohidrat. Aduh. Hari ini baru aku merasakan diri aku benar-benar dah tua setelah aku menidakkannya sebelum ni.

Walau bagaimanapun aku masih mempunyai harapan untuk pulih dan mesti mengubah pola pemakanan selain bantuan ubat-ubatan mulai dari hari ini. Yang hairannya kedua-dua keputusan yang tidak menggembirakan itu tiada kaitan dengan rasa kepalaku ingin terbenam ke dalam tilam itu kata doktor!

Kawan-kawanku amalkan cari hidup yang sihat. Jalanilah ujian darah untuk memeriksa tahap kesihatan anda. Jangan menyesal sebelum terlambat.

2 comments:

rokiah said...

che lah..inilah kehidupan yang perlu dilalui..tabahkan hati dan ikutlah nasihat doktor ya. Kuatkan semangat.

Enche's said...

Terima kasih Kak Rocs. I follow!