22 April, 2011

PBAKL 2011 – Sesi Autograf Bersama Penulis Pelangi Novel!


Salam Sejahtera dan Selamat Pagi semoga anda beroleh kesihatan yang baik-baik sahaja. Hari ini telah bermula secara rasmi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 (PBAKL 2011). Diharapkan lebih ramai pengunjung akan datang sepanjang 10 hari pesta ini berlangsung dari 22 Mei hingga 1 Mei 2011. PBAKL 2010 telah dicatatkan sebagai pesta buku paling besar setakat ini dengan penyertaan 150 kerana mendapat 855 penyertaan sehingga mendapat pengiktirafan "Malaysia Book of Records" sebagai Pesta Buku Antarabangsa terbesar di Malaysia, dan jumlah pengunjung ke pesta buku tersebut juga telah mencapai angka 1.5 juta orang.


Tahun ini merupakan kali yang ke-30 ia dianjurkan dan diiktiraf sebagai pesta buku terbesar di Negara ini dan antara yang terunggul di rantau ASEAN. Jadi bagi anda yang tidak mempunyai perancangan ke mana-mana kunjungilah PBAKL 2011 ini pasti anda akan menemui bahan bacaan yang sesuai untuk dimiliki. Jadilah masyarakat yang gemar membaca kerana kita tidak akan berubah tanpa ilmu dan salah satu pintu untuk mendapatkan ilmu ialah dengan membaca.


Dapatkan Novel Lembayung Cinta dan temui saya di Gerai Pelangibooks A13 - A22 Dewan Tun Razak, Hall 3 PWTC pada 24 April 2011 jam 2.00 hingga 4.00 petang untuk sesi autograf!


"Buku: Dunia Tanpa Sempadan" ("Books: World Without Borders").

20 April, 2011

PBAKL 2011 - Novel Lembayung Cinta



Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL 2011) akan berlangsung dari 22 April hingga 1 Mei 2011. Dapatkan buku-buku kegemaran anda sepanjang pesta ini berlangsung. Peminat-peminat novel remaja bolehlah dapatkan novel Lembayung Cinta di Gerai Pelangibooks A13 - A22 Dewan Tun Razak, Hall 3 PWTC setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam. untuk lokasi pelan tekan di sini. Lembayung Cinta memenangi Hadiah Penghargaan Peraduan Mengarang Novel Remaja MBBY-Pelangi.


Judul: Lembayung Cinta

Pengarang: Enchelah

Penerbit: Pelangi Novel Sdn. Bhd

Jumlah muka surat: 280

Nombor ISBN: 978-967-5671-21-0

Harga: RM15.90



Selamat Membeli belah dan Selamat Membaca!

10 April, 2011

Kanvas kehidupan –MakCik Sudah Pergi Buat Selamanya…


Lama betul aku tidak menulis entri baru. Aku semakin jauh dengan blog yang amat menghantui hidupku suatu waktu dahulu. Kali ini aku terpaksa melawan kemalasan itu semata-mata kerana suatu entri yang aku rasa patut aku tulis dan kongsi dengan semua orang.


Ianya ada kaitan dengan kaitan entri aku yang lepas. Aku mencari-cari entri lepas yang pernah aku tulis. 30 mac 2010. Anda boleh membacanya di sini. Sudah setahun lebih aku menulisnya. Beberapa minggu lepas dalam kesibukan bertugas kerana pementasan teater, aku ditugaskan untuk mengedarkan tiket teater kepada tetamu jemputan. Ketika itu aku menerima satu SMS khidmat pesanan ringkas dari abang ku yang berbunyi.


"Mek Nasir SB royat kata Mak Cik Haji Yahaya – Batu Dua meninggal dua hari lepas."


SMS itu memberitahu aku bahawa Mak Cik Haji Yahaya – penyewa rumah kepada keluarga kami dahulu telah kembali ke rahmatullah. Di saat saat itu aku benar-benar sibuk. Sepatutnya aku buat tak kisah sahaja kepada SMS yang aku terima kerana aku tidak menunggu sebarang pesanan ringkas yang penting. Tetapi entah kenapa ketika itu aku terasa seperti disuruh untuk melihat kandungan pesanan ringkas itu.


Aku menjadi tak keruan. Mujurlah aku tidak keseorangan bertugas. Aku mencari ruang untuk melepaskan rasa sebak di dada. MakCik telah pergi buat selama-lama rupanya. Patutlah MakCik rasa hendak sangat jumpa aku tahun lepas rupanya Makcik hendak lihat aku buat kali yang terakhir. Fikiran aku melayang sejenak mengingati saat aku berjumpa dengan MakCik yang sudah uzur ketika itu. Tetapi Makcik cuma tidak boleh berjalan – MakCik hanya boleh mengensot sahaja.


Peristiwa berjumpa dengan MakCik itu telah sampai ke pengetahuan bonda dan selepas itu bonda juga turut berjumpa dengan MakCik. Bonda minta abang kakak dan adik-adikku yang kenal MakCik turut jumpa Makcik dan ada di antara mereka yang berkesempatan menemuinya. Dan itu adalah merupakan pertemuan kami adik beradik yang terakhir dengan MakCik.


Beberapa hari kemudian aku menelefon Kak Ya untuk bertanyakan pasal ini. Kak Ya memberitahuku MakCik meninggal kerana sakit tua. Yalah usia MakCik sudahpun lanjut. Kata Kak Ya nasib baik kami tergerak hati untuk berjumpa dengannya kalau tak sudah tentu ia akan menjadi hajat yang tidak kesampaian. Kak Ya masih mengulangi kisah yang lalu katanya apabila bonda hendak ke kedai bonda sering meninggalkan aku kepada MakCik. Sebab itu MakCik ingat-ingat sangat kepada aku.


Oleh itu nasihatku kepada teman-teman jika ada seseorang yang rindukan anda dan ingin bertemu janganlah ditangguhkan hasrat itu kerana ia mungkin akan menjadi kenangan terakhir anda dangannya. Buat MakCik aku doakan semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Amin.

20 March, 2011

Air mataku tertumpah menonton - Lat The Kampung Boy The Musical (LTKBTM)


Harap maaf adegan ini tiada dalam teater tersebut.

Menonton persembahan Lat The Kampung Boy The Musical (LTKBTM) berbeza menonton persembahan teater yang lain bagi saya kerana ia adalah sebuah biografi seorang pelukis yang bernama Mohamad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat di zaman kecilnya sehingga dia berjaya mencipta nama. Walaupun sebelum ini pernah dipentaskan teater Tun Mahathir kerana tiada kesempatan menontonnya tiadalah saya dapat memberi komen perbedaan ataupun persamaan kedua teater tersebut.

Saya begitu teruja untuk melihat bagaimanalah persembahan LTKBTM setelah mengetahui ketika persetujuan mengenai LTKBTM dibuat tiada skrip lagi dihasilkan. Hans terpaksa berulang alik ke rumah Datuk Lat dan meluangkan beberapa jam untuk mengetahui kisah hidup beliau. Khabarnya anaknya Junaidah juga telah membantu untuk menjadikan persembahan LTKBTM ini satu realiti

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada team produksi LTKBTM kerana ia tidak mengecewakan peminat-peminat Lat dan mereka yang ingin mengetahui kisah hidup di sebalik kejayaan Datuk Lat sebagai pelukis kartun.

Sukar untuk saya menipu diri sendiri apabila betul-betul menghayati jalan ceritanya airmata saya tertumpah sebanyak empat kali sepanjang teater itu. Entah ada teman yang perasan ataupun tidak saya sudah tak kisah kerana saya agak mereka juga sebak jika tidak menangis.

Kali pertama ketika Lat mendapat cek bayaran kartun pertamanya dia memeluk bapanya. Kasih sayang seorang anak kepada bapanya hingga menyebabkan Lat memeluk bapanya, ianya sangat menyentuh hati kecil saya. Saya juga sedih kerana teringatkan yang saya telah kehilangan bapa. Ada peristiwa yang sama yang bermain di fikiran saya kerana bakat melukis dalam diri saya tidak sempat dikongsi dengan arwah abah.

Kedua ketika Lat bekerja di Kuala Lumpur di NST dia menerima berita kematian bapanya. Waktu di dalam bilik menerima panggilan telefon dari ibunya. juga mengingatkan saya kepada kehilangan arwah bapa saya tetapi ketika itu saya di dalam tingkatan lima.

Ketiga waktu gurunya Mrs. Hew datang untuk berjumpa dengan isterinya Faezah dan ketika itulah isteri Lat mengadu kepada Mrs Hew tentang kesibukan Lat sehingga mereka mendapat kurang masa untuk bersama Lat - Faezah ditenangkannya. Sungguh menyayat hati dan nyanyian Sandra Sodhy dan Atilia sangat mengesankan.

Keempat ketika Faezah melahirkan anak di hospital Lat tiada di sisinya. Pertengkaran itu sangat memberikan tekanan kepada saya. Aduh kenapa aku pula yang tension. Haha. Over, over. Sesuatu juga yang aku nak share dengan semua Atilia tu macam mirip-mirip Zinitulniza pula (kawan sepejabatku).

Ketika pulang dari menonton persembahan tersebut aku berfikir tentang sesuatu - Barangkali juga teater ini mungkin lebih menarik kalau adegan sewaktu kanak-kanak Lat di tonjolkan kerana kehidupan begitu sudah sukar lagi ditemui oleh anak-anak zaman kini.

01 March, 2011

Lat Kampong Boy Sebuah Muzikal



LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal adalah sebuah produksi terbitan bersama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan Tall Order Production (TOP), dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Teater ini diangkat daripada novel grafik Kampung Boy tulisan Datuk Mohd Nor Khalid (Lat), yang dikembangkan penceritaannya berdasarkan suka duka kehidupan beliau sejak kanak-kanak bermula tahun 1958 hinggalah kepada 1988 – era kemuncak pencapaian kerjayanya sebagai kartunis (rujuk Sinopsis).

Pementasan teater ini dinaungi Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Tun Razak yang melihat novel grafik The Kampung Boy karya Datuk Lat sebagai hasil kreatif yang sangat ideal dalam menggarap aspirasi “Gagasan 1Malaysia” dalam penceritaan serta persembahan wataknya, tanpa mengira beza bahasa, bangsa dan agama. Berikut adalah kronologi peristiwa yang membawa kepada penerbitan LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal:

Ogos 2009
Idea asal menerbitkan teater ini tercetus daripada pihak pengurusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) sekitar Disember 2008. Hal ini adalah berdasarkan kepada pertimbangan yang mengambil kira kejayaan novel grafik The Kampung Boy hasil tulisan Datuk Lat yang telah diterjemahkan kepada 13 bahasa utama dunia (antaranya Jepun, Korea, Itali, Sepanyol, Jerman dan Arab), selain dipasarkan di lebih 10 negara, sekali gus meletakkan beliau sebagai ikon terjemahan negara.

November 2009
Wakil pengurusan ITNM mengunjungi Datuk Lat di Ipoh bagi menyampaikan hasrat tersebut, dan sekali gus juga mendapatkan pandangan beliau mengenainya. Bersikap terbuka, tetapi berhati-hati, Datuk Lat bagaimanapun mengenakan syarat bahawa pementasan itu nanti perlu membawa konsep 1Malaysia yang bersifat muhibbah, sama seperti cara beliau mencorakkan gabungan karakter pelbagai bangsa pada setiap hasil karyanya. Dan syarat itu juga katanya, tidak terhad kepada hanya pelakon di pentas, tetapi termasuk juga keseluruhan tenaga kerja produksi.

Januari 2010
Istana Budaya mengumumkan LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal sebagai satu antara pementasan yang akan mengisi kalendar Istana Budaya bagi 2010, dan mencadangkan kepada ITNM untuk bekerjasama dengan Tall Order Production (TOP), susulan reputasi cemerlang syarikat tersebut mementaskan Cuci The Musical selama dua musim berturut-turut.

Julai 2010
Kata sepakat untuk bertindak sebagai penerbit bersama LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal dicapai antara ITNM serta TOP, sebelum persefahaman seterusnya dicapai untuk menjalin kerjasama dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) – menerusi Istana Budaya. Sejak itu, bermulalah pelbagai kerja asas serta kajian awal, termasuklah beberapa siri pertemuan dengan Datuk Lat bagi tujuan penyelidikan bahan untuk penyediaan skrip.

Disember 2010
Teater ini mulanya dijadualkan pementasannya pada pertengahan Disember 2010, tetapi kemudiannya ditunda kepada Mac 2011. Selain mencari peluang untuk membuat persiapan lebih rapi, penundaan ini juga membawa hikmah istimewa apabila tarikh itu selari dengan ulang tahun ke-60 kelahiran Datuk Lat.

Selain menjadi ikon terjemahan negara, rasional menerbitkan teater ini juga adalah sebagai satu usaha untuk memberi nilai tambah kepada hayat buku. Adaptasi dan transformasi novel grafik The Kampung Boy kepada medium teater adalah kaedah yang dapat menghidupkan jualan buku ini secara berterusan kepada masyarakat pembaca Malaysia. Konsep ini adalah satu kebiasaan di Barat, dan sangat membantu sesebuah karya untuk kekal lama di pasaran. Karya Shakespeare contohnya, diadaptasi ke pelbagai medium berbeza – komik, drama, teater dan filem. Begitu juga Harry Porter yang sangat berjaya di seluruh dunia, baik dalam bentuk buku, mahupun filem. Hasil kaedah ini, penceritaan mampu terus hidup, sekali gus membantu pasaran bagi semua medium adaptasi.

Selain itu, memindahkan visual tampak daripada buku tersebut kepada realiti lakonan hidup di pentas juga secara tidak langsung dapat menghidupkan semula pelbagai elemen yang hampir pupus kesan evolusi moden kehidupan hari ini. Permainan kampung seperti menarik upih pinang contohnya pasti tidak akan dikenali generasi akan datang jika tiada usaha dibuat untuk sekurang-kurangnya memperkenalkan ia kepada mereka menerusi medium lain, dan teater adalah satu antara kaedah terbaik melakukannya. Teater tidak sekadar menghibur, tetapi tanpa sedar, ia juga hakikatnya mendidik penonton.

Teater ini akan dipentaskan di Istana Budaya, bermula 16 Mac hingga 3 April 2011. Skrip LAT Kampung Boy Sebuah Muzikal dihasilkan oleh Harith Iskander yang akan juga bertindak sebagai Pengarah Bersama dengan Hans Isaac. Berikut adalah senarai tenaga utama produksi:

◦Penerbit Eksekutif : Mohd Khair Ngadiron & Hans Isaac
◦Penerbit : Hans Isaac
◦Pengarah : Hans Isaac & Harith Iskander
◦Penulis Skrip : Harith Iskander & Kuah Jenhan (Penulis Bersama)
◦Penasihat Pementasan : Mamat Khalid
◦Pengarah Muzik : Michael Veerapen
◦Koreografer : Taufik Ibrahim (Pat)
◦Pereka Kostum : Devorsine Dominique

Teater ini akan dilakonkan oleh Sandra Sodhy sebagai Mrs. Hew, Omar Abdullah (Pak Samad), Jalil Hamid (ayah Lat), Atilia (isteri Lat, Faezah), Douglas Lim (kawan Lat, Frankie) dan Pushpa Narayan (Ms. Thambi). Tiket untuk pementasan ini berharga dari RM40 hingga RM300. Untuk pertanyaan serta tempahan, orang ramai diminta menghubungi Ticket2u.biz di talian 03-4147 8600.

Sila Klik di sini untuk perkembangan di FB

26 February, 2011

Kanvas Kehidupan - Memalukan orang di hadapan khalayak!

Rambut sama hitam hati lain-lain. Kita mempunyai ramai kawan di sekeliling kita dalam kehidupan sehari-hari. Tiada manusia yang tiada mempunyai kawan. Anehlah jika ada manusia mengatakan mereka tiada kawan. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena pada sikap dan tingkah laku seseorang apabila mereka mengatakan mereka tiada kawan.

Setiap orang yang kita anggap kawan akan kita letakkan mereka dalam kelas-kelas yang tertentu berdasarkan keakraban kita dengan mereka. Misalnya kawan sekadar kenal, kalau kawan itu tidak menghubungi kita dalam tempoh tertentu kita tidak akan berkecil hati, dia tetap menjadi kawan kerana statusnya tidak terlalu penting buat diri kita, kalau buat kenduri tidak jemput kita pun kita tidak terasa.

Ada kawan karib yang kalau dia tidak menghubungi kita dalam seminggu kita pasti akan tertanya-tanya apa yang telah berlaku kepada dirinya malah bukan setakat itu kita juga akan tertanya apa yang telah aku buat kepada dirinya sehingga dia tidak lagi menghubungi diriku lagi. Yang jenis ini kalau buat kenduri tak jemput pasti akan dapat maki hamun. Tak percaya? Cubalah!

Saya ingin membawa kisah kawan yang diceritakan oleh seorang sahabat kepada saya beberapa hari yang lalu. Cerita seorang sahabat itu kepada saya dia dijemput oleh kawan lamanya di suatu jamuan hari raya. Kerana menghormati persahabatan sahabat saya telah menerima jemputan tersebut dan menghadirinya. Dia hadir sendirian.

Satu kumpulan teman sepejabat kepada tuan rumah telah hadir dalam majlis itu. Sahabat saya diperkenalkan kepada kumpulan tersebut. Yang paling tidak sedap katanya dia memperkenalkan dengan cara diaibkan. Rupanya tuan rumah tersebut pernah berurusan dengan syarikat sahabat saya itu kerana tugasan rasmi tetapi urusan tersebut tidak berlaku di antara tuan rumah dengan sahabat saya itu. Urusannya seratus peratus tidak berkaitan antara dua sahabat tersebut. Nak dijadikan cerita urusan pekerjaan itu tergendala kerana sahabat saya sendiri tidak mengetahui puncanya.

Sahabat saya bercerita lagi. Beginilah dia diperkenalkan hari itu.

"Kenalkan kepada anda semua ini Encik Anu yang bekerja dengan Syarikat sekian-sekian. Ingat tak kita pernah hantar kerja kepada syarikatnya tapi kerja tu tak siap-siap. Inilah orang dari syarikat itu." Kata tuan rumah kepada sahabat saya.

Sahabat saya berisytifar di dalam hati. Katanya itukah tujuannya menjemputnya di majlis itu. Itu hal rasmi berkaitan dengan kerja dan kerja itu tiada kaitan dengan dirinya. Sahabat saya hadirkan diri atas kapisiti persahabatan bukan atas urusan kerja. Dia tidak menyangka begitu sekali begitu layanan sahabat yang hadir terkontang kanting di hadapan khalayak.

Saya memujuk kepada sahabat saya itu dengan mengatakan kepadanya. Allah sekali-kali tidak akan mengampunkan dosa kepada orang yang memalukan orang lain di hadapan khalayak. Saya kebetulan beberapa hari sebelum itu pernah melihat rancangan yang di kendalikan oleh Ustaz Dato Dr. Fadzilah Kamsah di astro-begitulah kata-katanya di dalam rancangan itu. Sahabat itu memandang saya dengan pandangan yang sangat dalam.

15 February, 2011

Lembayung Cinta untuk Iqwal Hafiz

Aku, Iqwal dan Lembayung Cinta

12 Februari 2011. Hari bertemu Iqwal Hafiz di Laman Santai. Itu adalah rentetan dari perbualan di FB setelah lama tidak menjengahnya di FB. Jam 6.45 petang saya sampai di Laman Santai. Hujan baru reda dan Jalan Tun Razak di sebelah mengalami kesesakan teruk. Sewaktu berjalan ke lokasi itu peserta yang mengambil bahagian sedang membuat raptai sebelum menjelang persembahan pada jam 8.30malam. Saya nampak kelibat Iqwal berbaju hitam berada di tempat raptai penuh itu. Mulanya saya tidak mahu mengganggu dia kerana saya lihat wajah Iqwal yang tidak tenteram.

Apabila mereka menyedari kehadiran saya, saya tidak dapat mengelak lagi lalu mampir dan bersalaman dengan Iqwal, tak sangka dia masih mengingati saya yang hadir dalam setiap majlisnya yang saya sempat. Masih ramah seperti kali pertama menyapanya dahulu. Setelah berbual dengannya nyata telah saya Iqwal sedang runsing kerana penari pengiringnya belum tiba kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Kasihan Iqwal!

Bakatnya memang besar sehingga pencapaiannya yang paling membanggakan ialah mengharumkan negara dalam pertandingan WCOPA 2008. Beliau berjaya menggondol empat emas melalui kategori peserta berusia bawah 24 tahun. Iqwal menang dalam irama kontemporari melalui lagu Naluri Lelaki, Rock (You Give Love A Bad Name), Terbuka (Corazon Esperado) dan Pop (Just One). Beliau juga mendapat satu pingat perak persembahan lagu Mentera Semerah Padi selain menerima 'Anugerah Artis Antarabangsa Terbaik' menerusi pertandingan Best New Talent Hollywood 2008.

Kali pertama saya melihat dia menyanyi secara langsung ialah di Istana Budaya dalam Konsert Orkestra Tradisional Februari 2010. Nyanyiannya lagu Corazon Espinado oleh Santana dalam Konsert Orkestra Tradisional membuatkan saya ingin mengenalinya dengan lebih dekat. Dari situ saya dijemput untuk menyaksikan lakonan teater pertamanya yang berjudul Antara di Istana Budaya. Dan pelancaran Album Iqwal 1 Malaysia Iqwal yang disempurnakan oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim. Dalam Majlis yang sama Iqwal telah dianugerahkan Malaysia Book of Records bagi album perbagai bahasa beliau.

Dalam kesibukan petang itu Mama Myn (ibunya yang ramah itu) sempat memberitahu saya Iqwal akan membuat persembahan di Laos pada 29 Mac hingga 4 April atas undangan pihak istana di sana. Wow beruntung Iqwal mendapat perhatian dari Negara jiran. Sementara itu bagi peminat tempatan Iqwal akan membuat persembahan pada Malam Anugerah Seri Angkasa yang di anjurkan oleh 4 stesen TV tempatan pada 19 Februari ini. Album Iqwal yang di rakamkan di US baru-baru ini juga akan dilancarkan berkemungkinan di Istana Budaya. Iqwal yang mendapat Anugerah Perdana Rakan Muda buat masa sekarang sibuk memenuhi aktiviti yang dianjurkan oleh pihak berkenaan.

Saya tidak mahu mengganggu konsentrasi Iqwal lalu menyerahkan Lembayung Cinta yang saya janjikan untuk dihadiahkan kepadanya dengan ucapan "Semoga Kerjaya Mu Terus Cemerlang." Lembayung Cinta saya rasakan sesuai mereka dalam dunia remaja seperti Iqwal. Syabas Iqwal- maju terus maju. Malam itu setelah berehat sebentar di pejabat teman di IB saya datang kembali untuk mendengar dendangan iqwal dan saya terpukau dengan lagunya "Jeritan Batinku" L



07 February, 2011

Bertemu Mentorku - Terima Kasih Kak Norz




Pada 26 Januari 2011. Hampir dua tahun sejak pertemuan pertama pada tahun 2008 di rakamkan melalui entry ini akhirnya kali ini di tempat yang sama aku bertemu lagi dengan Kak Norz tapi pada kali ini aku menghadiahkannya buku hasil bakar semangatnya kepadaku. Novel itu menjadi saksi bahawa aku sangat bersungguh-sungguh apabila menyatakan sesuatu. Pasti aku tidak akan menoleh kebelakang lagi selepas ini. Pintu sudah terbuka luas buatku. Sekali lagi terima kasih Kak Norz yang tidak kedekut untuk berkongsi rahsia dan kejayaan.

25 January, 2011

Malam Tadi Dia Berlagu lagi.

Siapa dia? Pagi-pagi buta ketika aku mula melenakan mata dia menggangguku lagi untuk kali yang kedua. Kali ini tepat jam 1.02 pagi. Panggilan sesat bentak hatiku. Aku malas nak melayannya. Pasti budak gila yang menjerit-jerit di telefon tempoh hari yang mencari Nadhirah.

Nadhirah itu mungkin teman wanitanya yang telah lari darinya. Kalau Nadhirah lari aku tak hairan jika begini sikapnya. Tapi lelaki ini cukup tekun dan tidak berputus asa. Cinta bangat barangkali. Tapi dia silap orang sudah aku jelaskan aku bukan Nadhirah mengapa dia marah-marah kepadaku.

Sebentar kemudian aku menerima pesanan ringkas yang berbunyi

"Sial kow nad.. kow off phone ye.."

24 January, 2011

Kejutan SMS

"Aq nak kOrang smpy cnie sblum 4.15. klu x siap kOrang...aq iqbal.."

Begitulah mesej yang aku terima dari seseorang yang aku tidak kenali pada jam 4.07 minit petang 23 Januari 2011. Namun kerana sibuk bersembang dengan seorang teman di sebuah cafe aku tidak menyedari mesej itu sampai di telefon bimbitku sehinggalah aku menerima panggilan dari nombor yang sama.

Dia meminta untuk berbicara dengan Nadhirah! Siapa itu Nadhirah? Lawyer? Tuan Doktor? Majisteret? Aku tak pedulik. Kata hati kecilku. Aku senyum menjawabnya walaupun aku menyedari dia tidak dapat melihat tetapi aku yakin dia dapat merasakan senyuman itu. Aku jawab aku tidak mengenali siapa yang dia cari.

Lalu dari nada suara yang sopan tadi ia bertukar menjadi ganas. Lelaki itu menjerit sekuat hati di dalam telefon bimbitku ingin bercakap dengan Nadhirah! Bingit sekali bunyinya. Aku dengan tegas dan masih bersopan mengatakan aku tidak kenal siapa Nadhirah. Dia menuduh aku berpura-pura dan mengugut mengatakan dia tahu aku memang menyembunyikan di mana Nadhirah berada. Lalu bagaimana aku hendak melayani pertanyaan kasar dan bodoh yang merengut damaiku di petang minggu itu. Lalu aku cakap lagi

"Maaf ya saya memang tak kenal Nadhirah!" dan terus memutuskan talian. Teman di hadapanku tercengang melihat reaksi itu. Aduh.

22 January, 2011

Kanvas Kehidupan- Tips Bagaimana Mahu Melupakan Seseorang!

Sungguh simpati mendengar kisahnya. Bertimpa-timpa malang yang dia hadapi. Mula-mula pemergian dua pak ciknya yang di kasihi diikuti dengan pemergian ayahanda tercinta pula. Tidak habis di situ dia mengalami putus cinta ditinggalkan sang kekasih. Tidak dapat aku bayangkan keretakan dan kekecewaan hati seorang teman.

Usianya masih muda. Itulah parahnya jika mahu bercinta diusia yang masih muda. Sebaiknya elakkan diri dari terjerumus dengan cinta ketika masih belajar. Mungkin senang bercakap dari terjebak sendiri dalam realiti. Namun semuanya ketentuan Allah. Kita bisa merancang dan Allah yang menentukan.

Sehebat mana dan sekuat mana diri ini yang kita rasakan jika Allah hendak memberikan ujian ia akan datang begitu sahaja. Saya sudah melihat kekuasaan Allah yang memberikan ujian kepada mereka yang bermulut lancing- senang berkata dan akhirnya apa yang dikatakannya itu berlaku pula terhadap dirinya sendiri. Tetapi saya orang yang bukan mudah untuk melompat dan bertepuk tangan melihat pembalasan Allah itu. Bimbang atas keseronokan itu Allah membalikkan kepada kita pula.

Berbalik pada kisah teman yang malang tadi. Dia menerima semua ketentuan dan takdir yang menimpa ke atas dirinya. Aku yakin dia seorang yang tabah kerana dia tidak melahirkan penderitaannya itu di wajahnya. Aku begitu kagum dengan kekentalan hatinya.

Akhirnya dia bersuara lagi dengan nada yang sangat kecewa.

"Bukan setakat itu sahaja bang. Pembelajaran saya juga merosot dan akhirnya saya ambil keputusan untuk berhenti belajar di IPTA dan itu telah membuatkan ibu saya marah kepada saya." Jelas sabahat itu.

"Sekarang dari pengalaman hidup abang boleh tak beritahu saya bagaimana saya dapat melupakan semua penderitaan saya ini terutama terhadap teman wanita saya." Pinta sahabat itu.

Aduh. Beratnya permintaan itu. Tetapi atas dasar sahabat itu terpaksa juga membantunya walau aku bukan pakar kaunseling. Kataku kepadanya soal untuk melupakan seseorang itu dari kehidupan kita amat mudah dilakukan jika hati kita benar-benar bersedia untuk melupakannya. Hati mestilah ikhlas untuk melupakannya dan jangan mulut berkata ya tetapi hati tidak- ianya tak akan menjadi.

Apa yang perlu kita lakukan ialah pertama pujuk hati kita menerima ketentuan yang terjadi dengan reda. Kedua mempunyai azam melupakan diikuti perbuatan atau pelaksanaanya. Kebanyakkan orang gagal di tahap ketiga iaitu pelaksanaannya. Anda perlu kuat untuk melaksanakannya. Melupakan seseorang bererti melupakan kelibat dan kenangannya yang ada di dalam fikirannya. Anda harus mengosongkan fikiran dan mengelakkan anda berfikir mengenainya. Oleh itu jika ada sebarang pemberian yang boleh menghalakan pemikiran kita terhadapnya haruslah dibuang atau disimpan.

Kaedah ini memang amat sukar kerana anda cuba mengosongkan ingatan itu terhadapnya. Tetapi amat mudah jika anda mengisinya dengan sesuatu yang baru seperti menggantikannya dengan hobi baharu atau berkenalan dengan kawan baru tetapi bukan untuk bercinta. Jika anda berjaya melakukannya bermakna anda sedang menuju kejayaan melupakan seseorang.

Memang tidak seratus peratus anda dapat melupakannya kerana ianya bukan seperti satu kemalangan dia mana anda hilang daya ingatan tetapi di sini apa yang ingin saya jelaskan kekuatan minda memainkan peranan yang sangat penting iaitu sepanjang masa sentiasa fokus.

Saya juga mengajarkannya supaya selalu berdoa menggunakan ayat-ayat al Quran. Sentiasa sepanjang masa terutama di waktu awal pagi dan menjelang petang. Jika kita tidak melupakan pencipta maka pencipta tidak akan melupakan kita. Bayangkanlah betapa hebatnya Pencipta kita yangmenciptakan berbillion-billion kejadian tetapi mampu mendengar dan memerhatikan setiap dari kejadiannya itu dan sangat suka pula kepada orang yang berdoa kepadaNya.

Beberapa bulan kemudian saya menemui lagi sahabat saya itu dan kali ini nadanya sangat berlainan. Dia kelihatan sangat gembira dengan kehidupannya kini. Lebih bersemangat. Malah katanya kedukaannya dahulu bagaikan telah terubat kini. Saya gembira melihat dia gembira.

21 January, 2011

Puisi - Sebuah Taman Teman Yang Pudar



Sebuah taman teman
Kutinggalkan buat beberapa ketika
Kerana kehidupanku
Penuh warna warni
Bebunga anika warna
Pernah tumbuh di sini
Dan haruman seribu aroma

Terdetik hati ketika melangkah pergi
Berkata apakah mungkin
Aku bisa ke mari lagi di sini
Dengan panorama yang sama
Dan keindahan yang serupa
Di taman yang sama tapi waktu yang berbeza
Kerana pepatah pernah bersabda
Sekali air bah pantainya turut berubah


Hari ini aku kembali lagi ke sini
dengan langkah yang sepi
Kerana di perjalanan tadi kulihat
Warna-warna ceria dari taman ini
Sudah berpindah wilayah
Kuntum-kuntum bunga indah sudah menyegar
Di taman lain bersama kupu-kupu cinta
Yang tidak pernah hadir di taman dulu
Kucari seri dan indah dahulu
Kuselongkar segala penjuru yang ada
Kalau-kalau masih berbaki
Haruman dan kuntum-kuntum yang tersisa
Namun yang kutemui kuntum-kuntum dan
Tangkai-tangkai bunga yang sudah kering
Dan tiada lagi harumannya


Taman menjadi sepi sepeninggalanku
Segalanya umpama padang jarak
Tanah kering, kerikil dan tunggul mati
Berteman rerumput layu dan lusuh
Berpagar belukar maut yang kusut
Bebunga kering satu warnanya
Sebuah lanskap monokrom


Pupuk bayu tidak lagi bertiup di sini
Aku mencari indah itu di dalam sendu
Kerana rindu pada kekelopakmu
Berbagai bilangan, bentuk dan rupa
Warna warni coraknya sejuta
Dan harumannya berbagai rahsia


Masihkah ada
semua yang dahulu
Kerana pasti
pengunjung itu hanya aku
yang setia memuji pada kerinduan


Bukankah sering aku bisikkan
Kata-kata keramat rinduku padamu
lalu iapun menjadi baja
buat kau bunga-bunga untuk terus segar dan mekar di sini
Dan bukankah kerap aku persoalkan
Akan terus suburkah kau akan segala khazanahnya
ketika aku kembali lagi ke sini


Aku termangu bagaikan kaku
Ketika perjalanan jauh ke taman ini
Di taman teman yang telah layu
Yang kubina jauh dari gangguan sesiapa
Rupanya sudah pudar bukan lagi malar
mencalarkan doa dan harapan masa silamku


Aku memandang dari kejauhan
Sempadan yang memisahkan taman ini
Sungguh rimbun pepohon yang tumbuh di sana
Memucuk dedaun yang segar melebar
Dan bunga mencorak dan warna menggila
Menjerat kaku seluruh badanku
Memukau mata yang terkesima
Sedang hati menjerit meronta
ketika tangan tidak lagi bisa menggapai
Keindahan yang berpindah
Dari sini ke taman seberang

Lalu pada segumpal hati
yang masih berdenyut
aku belaikan kata-kata
agar tidak menderhaka
pada Pencipta


Enchelah
Ukay Perdana
4 Disember 2010
4.35 am