28 February, 2009

Kanvas Kehidupan - Alangkah sukarnya hidup.

Sukarnya hidup jika penyakit itu benar-benar menjadi milikku. Itulah yang aku rasakan setelah melalui hidup selama seminggu ini dengan mengelakkan makanan yang mengandungi kolestral dan gula. Aku terpaksa menghadapi keduanya sekaligus.

Mungkin blog ini menjadi tempat yang sesuai aku berkongsi selain dengan rakan-rakan di sekelilingku setiap hari. Sebaik mendapat keputusan kolestral dan gula yang agak tinggi di dalam darahku aku seperti tidak keruan.

Walaupun doktor telah memberi tips secara kasar apa yang perlu aku elakkan dan apa yang perlu aku ambil setiap hari tetapi realiti apabila berhadapan dengan saat makan memang membuatkan aku bingung dan seperti tiada tempat untuk bertanya.

Rakan-rakan yang telah mengalami keadaan demikian dan juga internet menjadi rujukan utama selain buku-buku ubat-ubatan dari herba yang aku jumpa. Hari pertama aku cuba mengelakkan dari menyentuh nasi dan aku mencari hidangan berasakan sup sahaja sehingga aku menggigil kerana kelaparan. Minuman bergula juga aku telah elakkan selain buah-buahan manis dan masam. Begitu juga makanan yang berminyak dan digoreng.

Lama-lama aku sudah merasakan semua nikmat makanku seperti sudah ditarik balik. Siapa yang menyiksa aku sebenarnya? Tiada orang lain dan bukan juga tuhan. Kesilapan memahami teknik atau tatacara itulah sebenarnya yang menyiksakan. Aku teringat kembali kata doktor bukan langsung tidak mengambil tetapi mengurangkan pengambilannya.

Jika aku minum minuman manis 3 kali sehari sebelum ini aku perlu mengambilnya sekali sehari sahaja. Begitu juga dengan nasi jika 2 kali sehari kurangkan kepada sekali sehari sahaja dan kurangkan kuantitinya di samping menambahkan sayur-sayuran dan buah-buahan yang kaya serat seperti jagung. Oat juga dipercayai makanan terbaik dalam usaha mengurangkan kolestral dan gula.

Di masa yang sama rakan-rakan seperti memberikan sokongan moral dengan memberi pelbagai uncang herba minuman yang dipercayai dapat membantu mengurangkan kandungan gula dan kolestral di dalam darah temasuklah sejenis buah herba dari hutan yang sangat pahit rasanya untuk diminum. Anda akan dapat melihat gambarnya seperti di bawah. (Maaf tak tahu namanya kata rakan yang memberi.)

Semalam juga aku mendapat emel dari Farhana. Seperti tahu-tahu sahaja Nana dengan keadaan ku. Ianya sangat berguna sekali. Sdr. Yihada telah menyiarkan di dalam blognya dan tekan di sini untuk membacanya. Saya akan menyiarkan emel itu di post yang lain insyaAllah.

26 February, 2009

Kongsi Emel - Kata-kata adalah doa

Kata-Kata Negatif dan Kata-Kata Positif
(Setiap kata-kata itu adalah DOA)

Sebaiknya kita semua mulai mengendalikan kata-kata yang keluar dari mulut kita dengan kata-kata yang Positif dan Baik.

Setelah mendengarkan info tentang pengaruh Kata-kata Negatif terhadap Air yang ditulis dalam buku "The Hidden Messages in Water" karya Masaru Emoto dan pada halaman 31 buku tersebut disebutkan tentang banyaknya orang yang melakukan percubaan, saya pun tertarik untuk melakukannya sbb:

1. Tempatkan Nasi sisa yang sudah didiamkan semalaman kedalam 2 botol dengan jumlah yang sama, kemudian ditutup rapat.
2. Setiap botol di labelkan yang berisi kata-kata.
3. Botol A : "Kamu Pintar, Cerdas, Cantik, Baik, Rajin, Sabar, Aku Sayang Padamu, Aku Senang Sekali Melihatmu, Aku Ingin Selalu di dekatmu, I LOVE YOU, Terima Kasih.
4. Botol B : "Kamu Bodoh, Jelek, Jahat, Malas, Pemarah, Aku Benci Melihatmu, Aku gila tidak mau dekat dekat kamu"
5. 2 Botol ini saya letakkan terpisah dan pada tempat yang sering dilihat, saya pesan pada isteri, anak, dan pembantu untuk membaca label pada botol tersebut setiap kali melihat botol-botol tersebut.
6. Dan inilah yang terjadi pada nasi tersebut setelah 1 minggu kemudian :






Nasi dalam botol yang di bacakan kata-kata Negatif ternyata cepat sekali berubah menjadi busuk dan berwarna hitam dengan bau yang tidak sedap. Sedangkan Nasi dalam botol yang di bacakan kata-kata Positif masih berwarna putih kekuningan dan baunya harum seperti ragi.

Nah Silahkan teman-teman mencubanya sendiri. Kalau di buku di katakan ada yang mencuba dengan tiga botol dimana botol ketiga tidak di beri label apa2 alias diabaikan / tidak diperdulikan, dan ternyat beras dalam botol yang diabaikan membusuk jauh lebih cepat dibandingkan botol yang dipapar kata " Kamu Bodoh".

Bayangkan apa yang akan terjadi dengan anak-anak kita, pasangan hidup kita, rakan-rakan kerja kita, dan orang -orang disekeliling kita, bahkan binatang dan tumbuhan disekeliling kita pun akan merasakan efek yang ditimbulkan dari getaran-getaran yang berasal dari pikiran, dan ucapan yang kita lontarkan setiap saat kepada mereka.

Maka sebaiknya selalulah sadar dan bijaksana dalam memillih kata-kata yang akan keluar dari mulut kita, demikian juga kendalikanlah pikiran-pikiran yang timbul dalam batin kita.

Semoga tulisan ini bermanfaat untuk kita semua.

Terima Kasih adindaku Affan

Jemputan untuk ke - Mengapa Sulit Jatuh Cinta?

Puisi yang saya hasilkan kira-kira 8 tahun yang lalu Cinta Itu Buta rupa-rupanya menarik minat pengunjung dari seberang (Indonesia) Hitman System iaitu penyedia konsultasi yang mengakui menjadi satu-satunya organisasi pertama menyediakan program khidmat nasihat dalam soal percintaan. Ia ditubuhkan semenjak Februari 2006.

Blogger telah membaca puisi tersebut dan mempelawa saya mengunjungi artikel Mengapa Sulit Jatuh Cinta? yang mendapat respon 113 respon yang saya kira sungguh hangat blog ini. Setiap artikel mendapat respon yang sungguh menggalakkan. Saya gembira dapat berkenalan dengan blogger ini.

Jika anda kelapangan sila berkunjung dan selami cinta di 'Lain padang lain belalang'.

25 February, 2009

Selamat Menunaikan Umrah

Selamat menunaikan umrah buat En Mohd Khair didoakan selamat berangkat dan selamat juga kembali dan ibadah yang diterimaNya.Amin

Senyum-Untuk Hiburan Anda.

Sekadar meminjam visual yang dihantar kepada saya tidak lama dahulu. Melihatnya cukup mencuit hati dan menghiburkan. Apa komen anda?

24 February, 2009

Upin dan Ipin di GSC Pavillion




Gambar paling atas kiri: Pengarah Urusan ITNM En. Khair dan Pengarah Geng Mohd Nizam, gambar sebelah empunya suara Upin & Ipin. Gambar bawah kiri: Liyana staf Unit Terjemahan ITNM (Juga suaranya ada potensi untuk filem animasi-auw jangan marah Liyana) dan gambar kanan: Pengurus Kanan Jabatan Korporat ITNM En. Razin dan Penaja- Terima Kasih.

Sabtu yang lepas (21 Februari 2009) Pawagam GSC Pavillion jam 3.00 petang dipenuhi dengan lebih dari 70 orang kerabat staf ITNM. Rasanya itulah saat yang paling menyeronokkan kerana dah lama tak tengok wayang dalam kumpulan yang besar dan kumpulan itu teramatlah besarnya. Dah macam ITNM buat hari keluarga kat situ pula.

Maskot Upin dan Ipin tak berhenti-henti diajak orang untuk bergambar. Macam manalah rupa tuan punya badan agaknya kerana keadaan di situ memang sesak dengan orang. Bagi yang datang hari itu memang bertuah kerana anda bukan sahaja dapat melihat maskot Upin dan Ipin tetapi jua tenaga yang menyumbangkan suara untuk watak-watak animasi di dalam cerita itu turut muncul untuk beramah mesra dengan peminat.

Yang terlebih istimewa apabila saya diperkenalkan dengan tenaga produksi Les Copaque dan pengarah untuk filem animasi tersebut- Mohd Nizam.

Syabas untuk anak tempatan yang memberi ilusi baru kepada filem animasi yang sebelum ini kurang bermaya dan dihasilkan dengan berhati-hati. Geng dilihat mampu untuk bertahan lebih lama di pawagam dengan keunikan ceritanya. Ia adalah wajah yang boleh mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Cuma saya agak kasihan dengan setengah kanak-kanak di dalam pawagam yang tidak boleh lekang dari ibubapa mereka ketika babak-babak seram di dalam gua dan hutan itu. Jika diselitkan dengan banyak unsur-unsur lucu pada babak itu ia mungkin akan meredakan rasa takut kanak-kanak yang menontonnya. Dan pasti akan mengajak mereka menontonnya beberapa kali lagi.
Cerita ini pastinya akan bersambung kerana kesudahannya memungkinkan tanggapan saya. Dan saya pasti akan menunggu sambungan filem itu nanti.

Salam Takziah - Puan Siti Rafiah Sulaiman

Takziah kepada Puan Siti Rafiah Sulaiman di atas kembalinya bonda tercinta ke rahmatullah Semalam. Semoga rohnya di tempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al fatihah.

23 February, 2009

Puisi - Kota kita kaku kata-kata

kata itu
kaku
tanpa kota

kota itu juga
kaku
tanpa kata-kata

kitalah
kata-kata

kota itu juga
kaku
tanpa kita

kita bisa
kaku
tanpa kata-kata

dan kita perlu kota
apa kita kata

serta kita perlu kota
untuk kita

kota kita juga perlu
kata-kata dari kita
tanpa kata dari kita
kota jadi kaku

kota kita kaku
tanpa kita
dari itu katalah untuk kota

jika kita tidak kota
apa kita kata
kota kita
pasti akan kaku

Enche
Februari 2009

Khabar Yang Tidak Bahagia Namun Masih Ada Harapan

Tidak ada perkara yang paling membimbangkan kita kecuali kemerosotan kesihatan! Kita semakin lama semakin dimamah usia dan kesihatan kita semakin akan berkurangan. Aku amat menitik beratkan soal kesihatan kerana itu semenjak usia 20an lagi aku sudah mengambil suppliment kerana itu aku sudah mengenali produk-produk seperti Amway, Shaklee, Cosway dan lain-lain, sedangkan diusia begitu ramai orang berkata tidak perlu.

Waktu itu pengambilan vitamin diikuti dengan aktiviti riadah yang lain bersama rakan-rakan memang membina hidupku yang sihat ketika itu. Tetapi lama kelamaan aktiviti riadah menjadi semakin suram kerana rakan seusia sibuk kurang berminat dan hilang dari persekitaran. Sehinggalah sekarang aku masih mengamalkan suppliment itu (walaupun kadang-kadang terlupa) dan aktiviti riadah sudah dilupakan ketika azam memang ada.

Minggu lepas tahap kesihatan menjadi lain macam apabila aku rasa kepalaku seperti terbenam di dalam tilam dan bantal. Bimbang kelewatan ke pejabat aku gagahi juga ke bilik air dan mandi. Selepas itu kepalaku terasa berpusing dan aku mengambil keputusan untuk baring sekejap. Rupanya baring dalam jaga itu sampai ke tengah hari sehinggalah aku berjaya 'merangkak' ke klinik.

Doktor melihat rekod penyakit yang sama dan merasa hairan dengan perulangan keadaan demikian terhadap diriku lalu mengesyorkan aku menjalani ujian darah. Aku bersetuju. Dalam keadaan lupa memberitahu doktor kali terakhir aku membuat ujian darah 3 tahun lalu tetapi sebenarnya setelah dihitung ia mungkin sudah 4-5 tahun.

Tadi entah bagaimana aku dengan perasaan sangat mengelabah telah membuat kunjungan ulangan ke klinik berkenaan untuk mendapatkan keputusan ujian tersebut. Ujian terpaksa dihantar ke makmal lain dan mengambil masa beberapa hari kerana di klinik berkenaan memang tiada peralatan demikian dan itu amalan biasa bagi sesebuah klinik.

Doktor yang manis di Bukit Antarabangsa itu merenung catatan yang diperolehi. Dari riak wajahnya aku memang sudah menjangkakan ia keputusan yang tidak menggembirakan. Lambat benar dia ingin berkomunikasi denganku. Lalu dia membacakan satu persatu diagnosis yang tercatat pada dua keping laporan.

Kesimpulan dari semua itu: kandungan paras gula dalam darahku berada pada paras border line dan kandungan kolestral dalam darah juga tinggi (aku agak kerana kegemaran dan kekerapanku mengambil sup ekor setiap minggu). Aku diberi LIPITOR untuk tempoh 3 bulan selain menasihati aku menukar corak pemakanan dan kurang mengambil makanan bergula dan berkarbohidrat. Aduh. Hari ini baru aku merasakan diri aku benar-benar dah tua setelah aku menidakkannya sebelum ni.

Walau bagaimanapun aku masih mempunyai harapan untuk pulih dan mesti mengubah pola pemakanan selain bantuan ubat-ubatan mulai dari hari ini. Yang hairannya kedua-dua keputusan yang tidak menggembirakan itu tiada kaitan dengan rasa kepalaku ingin terbenam ke dalam tilam itu kata doktor!

Kawan-kawanku amalkan cari hidup yang sihat. Jalanilah ujian darah untuk memeriksa tahap kesihatan anda. Jangan menyesal sebelum terlambat.

22 February, 2009

Puisi - Cinta Itu Buta

di kala orang berkata cinta itu buta
aku senyum dan mengangguk
tanda setuju cinta itu memang buta
dalam diam cinta yang buta itu datang bertandang
tanpa sedar aku membuka ruang
untuk cinta yang buta
bertamu di sini
sinis yang dulu aku punya
kini terpercik ke muka sendiri
dan menjadi sinis orang lain pula
sesungguhnya cinta itu buta
dan cinta akan datang seberapa banyak yang dia mahu
selagi hati kita masih muda
dan selagi kita masih hidup

Enche
Desa setapak
9.35 malam
7 Nov 2001

21 February, 2009

Ayah Lah Nak tengok Upin dan Ipin

Ziyad

Assalamualaikum,

Apa khabar Yad dan adik-adik. Hari ni Ayah Lah Nak gi tengok wayang ceritaUpin dan Ipin. Dah lama ayah Lah tak tengok wayang kartun ni. Dulu Ayah Lah memang suka tengok cerita kartun. Sampai Ayah Lah boleh lukis cerita bergambar untuk buku yang macam Yad suka baca.

Cerita yang Ayah Lah nak tengok ni cerita yang Yad ajak Ayah Lah tengok VCD dan Yad pasang 2 minggu lepas. Ayah Lah sebenarnya tak tau pun Upin dan Ipin tu wujud kat Malaysia ni. Mula-mula Ayah lah dengar nama Upin dan Ipin bila kawan Ayah lah kat pejabat buat isyarat mesej telefon bimbit. Nama dia Kak Gee. Ayah Lah ingat bunyi suara adik-adik dia rupanya suara budak-budak kartun tu. Lepas tu baru Ayah Lah tengok Upin dan Ipin kat VCD Yad.

Seminggu lepas tu Boss besar Ayah Lah pula ajak kita orang ramai-ramai tengok kat pawagam. Kata dia ada orang nak belanja. Baik dia kan Yad. Moga Allah murahkan rezeki dia. Okey lah tengok ramai-ramai mesti best. Kalau Yad ada mesti Yad suka. Ayah Lah nak jemput pun Yad jauh.

Masa tengok VCD tu Ayah Lah dah terlopong dah sebab tengok cerita buatan orang kita. Bukan sebab sebelum ni takde. Tapi kali ini dia buat betul-betul halus. Ayah Lah perhati setiap benda dalam cerita tu betul-betul yang kita ada kat luar. Ayah Lah tengok hiasan dalam rumah Melayu memang betul-betul Melayu. Ada ayat Al Quran, ada tikar, warna dan anyaman serta corak dia betul-betul dia rujuk pada yang betul punya. Itu baru sikit Ayah tengok sebab Ayah Lah sibuk nak jaga Yad turun naik tangga.

Bila kawan-kawan Ayah Lah cakap cerita wayang dia lagi best lagi Ayah Lah rasa nak tengok. Kawan Ayah Lah cakap dia buat cerita ni dia betul-betul rujuk pada persekitaran. Siap ambil gambar dan lukis balik. Tu yang nampak macam betul. Dan kata dia orang lagi yang bikin filem ni orang-orang muda. Mungkin lagi muda dari Ayah Lah kot! Respek lah Yad kan!


Yad duduk umah saja biar Ayah Lah yang pergi tengok, nanti balik Ayah Lah cerita dengan Yad. Best ke tak best. Okey Kirim salam ngan Abah dan Umi. Yad jangan nakal-nakal.


19 February, 2009

Emel Teman Sepejabat Gua

Assalamualaikum,

Saudara/saudari,



Sukacita dimaklumkan bahawa ITNM telah menerima kehadiran ahli keluarga baru iaitu Damia Batrisyia pada pukul 9.10 pagi tadi, puteri sulong kepada Sdr. Abd Khalil Zalmi & Pn. Rina Afrilia. Puan Rina kita selamat menjalani pembedahan di Kelana Jaya Medical Centre.
Bagi yang ingin menemui keluarga bahagia tersebut, bolehlah ke sana di tingkat 3, Katil 325.

Mari kita sama-sama doakan kebahagian mereka agar berpanjangan buat selama-lamanya… Amin…..

Ucapan Tahniah untuk En. Khalil (senyum tu kawal-kawal sikit k….)

Begitulah bunyi emel dari Sdr. Rohaizah teman sepejabat gua (Ketua Unit Sumber Manusia ITNM). Gua pun nak ucapkan tahniah pada Khalil. Lama dia tunggu Damia Afilia tu. Tapi Kenapa nama Damia? Sebab Damia tu nama watak utama dalam novel gua! Suratan atau kebetulan? Gambar baby lum ada. Nanti kalau ada kita bubuh sini ye!

18 February, 2009

Senyum - Akulah Jurugambar Yang Gagal

Menatap gambar ini membuatkan aku akan sentiasa tersenyum. Masakan tidak ia mengingatkan aku kepada peristiwa di suatu majlis pelancaran buku. Seperti biasa saat pengacara majlis dan VIP berbicara tiada siapa yang ambil peduli. Hadirin seperti tenang termasuk jurugambar dan pemberita.

Anda seolah-olah tidak mengetahui orang di sebelah anda itu adalah wartawan ataupun jurugambar sehingga saat perasmian atau pelancaran mereka secara tiba-tiba akan memenuhi ruang hadapan untuk merakamkan aksi VIP dan perasmian tersebut. Jika anda bukan betul-betul dalam bidang kewartawanan anda akan gagal merakamkan saat-saat yang dinantikan itu.

Begitu jugalah dengan aku yang leka sehingga diumumkan saat iaitu aku sudah terlewat kerana ruang hadapan sudah dipenuhi dengan jurugambar. Yang sudah biasa akan mengangkat setinggi-tinggi kamera di kejauhan untuk merakamkannya.

Lalu aku pun mencuba juga cara demikian. Tapi ia sungguh melucukan apabila bukan subjek yang dikehendaki dirakamkan tetapi gambar kepala jurugambar yang aku rakamkan. Dan yang lebih lucu ialah uban sang jurugambar itu dapat dirakamkan dengan jelas!

Selamat bertugas dan Tahniah

Sdr. Ahmad Khalid

Dalam Perhimpunan bulanan Februari lepas diumumkan kemasukan 3 staf baru ITNM iaitu: Sdr.Siti Humairah Ahmad Jais- Pejabat Pengarah Urusan, Sdr.Adlin Syarina Mohd Hesyam- Unit Penerbitan, Sdr.Ahmad Khalid-Unit Penerbitan.

Dalam majlis yang sama juga diumumkan pelantikan Sdr. Sakri Abdullah sebagai Ketua Unit Jualan dan Pemasaran. Kepada yang baru selamat menjadi keluarga ITNM dan ucapan tahniah untuk yang dinaikkan pangkat.

Semoga dengan ini kapal kita dapat meluncur laju dan tenang dalam lautan yang semakin bergelora dengan jurumudik dan anak-anak kapal yang baru !

17 February, 2009

Buku Politik Baru dan Sejarahnya.

Buku Politik Baru menduduki tempat ke-4 dalam carta buku paling popular tempatan di MPH Mid Valley?

Ia mungkin fakta yang benar apabila kenyataannya cuma tinggal 20 naskah sahaja dan perlu di cetak ulang bagi memenuhi permintaan dan pasaran. Cetakan pertama 4,000 naskhah laris dijual dan sehingga kini 1,000 naskhah lagi telah ditempah. Dan menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur April nanti ia akan di cetak ulang lagi!

Politik Baru mencipta sejarahnya sendiri dalam sejarah penerbitan di ITNM apabila:
  • Merupakan buku paling singkat diterjemahkan.
  • Buku dwi bahasa yang mempunyai 2 muka (bahasa Melayu dan bahasa Inggeris)
  • Dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.
  • 200 naskhah habis dijual pada hari pelancarannya.
  • Jumlah mereka yang hadir pada hari pelancaran melebihi dari senarai jemputan.

Jadi kepada anda yang belum memilikinya berfikirlah sekali lagi sebelum ianya menjadi sejarah kepada anda kerana tidak dapat memilikinya!

16 February, 2009

Petua- Menyimpan Ikan Segar

Petua ini diberikan oleh seorang teman di tempat kerja lama dahulu. Agar ikan yang disimpan di tempat beku kekal segar. Caranya siang dahulu ikan dan masukkan ke dalam plastik yang berisi air yang telah di masak dan ikat barulah disimpan di tempat beku. Apabila hendak menggunakannya ambil dan cairkan aisnya.

Kanvas Kehidupan - Kecurian

Tiada apa yang boleh membangkitkan kemarahan kita jika hati kita disakiti tanpa sebab yang jelas. Tapi bagi perompak, pencuri atau penyamun mereka peduli apa dengan perasaan orang lain. Jika itu yang menjadi pertimbangannya, sudah tentu mereka tidak akan memilih 'bidang' itu sebagai sumber pencarian.

Suatu malam kerana ingin memenuhi permintaan teman yang sudah lama tak jumpa. Aku bersetuju untuk menemuinya di Medan Selera sebuah pasar raya. Kami makan malam bersama di situ. Tidak lama berada di situ kerana rimas dengan suasana bising aku bercadang dia datang sahaja ke rumah untuk menyambung cerita.

Rupanya kunjungan yang sebentar di pasar raya di tempat letak kereta itu telah memberi peluang kepada mereka yang memang mencari mangsa di situ. Keputusan aku untuk meletak kereta di tempat yang agak jauh dan terlindung dari pintu keluar telah memberi peluang kepada mereka untuk membuat operasi dengan selesa. Apatah lagi dengan cara aku meletakkan kereta secara mengundur iaitu belakang kereta bertemu kereta belakang maka pencuri mendapat posisi yang sangat terlindung untuk mengopak kunci bonet keretaku.

Menyesalpun ada tetapi sudah suratan takdir jadi tidak guna untuk disesali. Lagipun cuma sebuah beg yang berisi pakaian untuk bersukan yang sentiasa berada di dalam bonet itu yang di ambil oleh penceroboh itu. Itupun cukup bagi mereka.

Aku ceritakan kepada teman-teman lain agar berhati-hati meletakkan kenderaan di pasar raya berkenaan sebaliknya mereka tidak hairan kerana kata mereka di situ memang kecurian kereta sering berlaku.

Akupun termenung seketika mengingatkan apa lagi barang berharga yang ada di dalam beg yang dicuri itu; ada baju, ada seluar sukan, ada tuala..oh ada seluar dalamku juga. Mesti pencuri itu menyumpah aku.

15 February, 2009

Puisi -Tuhan Ampuni Daku



ya Tuhan ampunilah daku
yang sentiasa berjanji mulus pada hati
kala pagi fajar mengintai
dan mengengkari
kala fajar membenam diri

ya Tuhan ampunilah daku
kerana mengingatiMu dalam duka
dan Kau hilang dalam tawa
kala diri terasa sempurna

Tuhan
aku satu kejadian yang alpa
berbuku bilangan dosa
dari ciptaan yang sempurna
oleh Pencipta sejagat raya
Pentadbir alam semesta

dari Nabi Adam hingga Nabi Muhammad
Kaulah pengampun kepada dosa
yang daku warnakan setiap hari
pada kanvas yang tidak bertepi ini
kurniakanlah hidayahMu
dan satu keajaiban
agar aku sentiasa ingat
pada ketakutan atas siksaanMu
yang maha dahsyat itu
menanti

Enche
januari 2009

Kanvas Kehidupan- Hari Memperingati Kekasih (Valentine's Day)

Hari sudah larut pagi biasanya saya telah tidur waktu begini. Tetapi kita tidak dapat lari dari keadaan di mana mata tidak boleh lelap seperti ada sesuatu yang tidak beres pada hari itu. Begitulah dengan saya. Tadi saya membuat panggilan kepada kawan lama di Sarawak Jef dan dia bertanyakan adakah saya telah membaca postnya pada hari ini. Saya sebenarnya tidak sempat pun untuk membaca blog kawan- kawan hari ini, apatah lagi mengemaskini blog sendiri.
Jika saya mempunyai waktu sudah tentu perkara pertama yang saya lakukan mengemaskini blog enche's.

Saya agak ada sesuatu yang istimewa mengapa Jef beria-ria menyuruh saya membacanya dan dalam kepayahan saya menguatkan juga semangat untuk membacanya di pagi- dalam keadaan semua orang sedang lena. Membaca tulisannya lalu mengingatkan saya kisah kami sama-sama belajar di ITM Shah Alam. Tetapi kenangan saya berbeza dengan Jef. Biarlah kelemahan diri ini dapat kita kongsi bersama agar dapat sama kita tidak mengulanginya.

Seperti cerita Jef apabila bila 14 Februari pelajar-pelajar yang dilamun cinta akan mengirimkan bunga mawar kepada cinta hati masing-masing. ITNM mempunyai ramai pelajar-pelajar yang majoritinya orang Melayu- Islam. Biasalah sewaktu muda kita cetek dengan pengalaman dan pengetahuan. Seperti kata Imam di dalam khutbah Jumaat semalam orang Islam tidak wajar terlibat dengan Budaya Songsang.

Budaya Songsang telah menjalar di dalam masyarakat kita seperti penagihan dadah, menyambut Hari Valentine, budaya gay dan lesbian, merempit, skin head, punk, bersekedudukan dan lain-lain lagi.

Sebenarnya apa yang dikatakan Tuan Imam itu telah wujud berpuluh tahun dahulu lagi dan ia nampaknya seperti berterusan jika kita sendiri tidak mahu menghentikannya. Kembali kepada cerita saya. Keghairahan menyambut hari kekasih itu menyebabkan perniagaan bunga ros dan perkhidmatan penghantarannya amat menggalakkan di kalangan pelajar-pelajar waktu itu.

Pelajar-pelajar yang bermodal akan berniaga dengan menjadi pembekal bunga ros. Mereka juga menyediakan khidmat menghantarnya sekali. Agen-agen diperlukan untuk menjadi penghantar di asrama-asrama lelaki dan perempuan. Antaranya termasuklah saya dan teman saya yang ingin membantu apabila diminta oleh seorang teman yang lain. Bukan apa saya seronok melihat reaksi orang mendapat bunga. Macam-macam gelagat. Ada yang menjerit. Ada yang terpinga-pinga. Ada yang gembira dan bersalaman dengan penghantarnya.

Teman saya bercerita kepada saya dia telah masuk ke dalam bilik di mana di dalamnya ada siswanya yang alim dan lantang. Bila sahaja dia masuk ke dalam bilik itu siswa itu dengan berang menjerit kepadanya dengan berkata perbuatan itu adalah satu dosa kerana ia adalah amalan orang kafir. Dia dengan keras menghalau teman saya keluar dari bilik itu dan jika tidak berbuat demikian dia akan memijak bunga-bunga yang di bawanya. Kerana ketakutan teman saya terus mengangkut bunga-bunga yang dibawanya keluar dari bilik.

Apa yang saya ingin katakan di sini ialah sikap siswa alim yang tidak bijak dalam berdakwah ketika itu. Alangkah baik jika dia dapat menerangkan secara lembut kepada teman saya mengenai kesilapannya bukanlah dengan cara menengking atau menghalaunya.

Dakwah yang berkesan ialah dakwah yang disampaikan dengan cara yang sangat diplomasi dan berhemah bukan cara yang paling buruk kerana ia akan melambangkan ketidakelokan ajaran yang ingin dibawakannya. Cara itu akan menjadi penghalang kepada pendengarnya dan dakwahnya tidak akan berkesan. Dia pasti akan diingati dengan kenangan yang buruk juga dan akan melihat pendakwah dengan pandangan yang negatif.

Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita atas kelemahan dan kekurangan diri kita. Amin

12 February, 2009

Kongsi emel - Pastikan Ia Disebarkan

Mohon maaf kerana menyiarkan emel ini dalam keadaan asal- bahasa rojak dan singkatan-singkatan yang mungkin sukar di baca tetapi saya percaya anda akan dapat memahaminya juga, Saya rasa dalam hal ini isinya lebih penting untuk dikongsi. Terima Kasih Abang Mat kerana menghantar emel ini.

PASTIKAN IA DISEBARKAN

My sis in-law penah kena mcm kes ke-2 tu. Rumah dia tiba2 takder air. Masa tu 10.30pm. Tp dia ingat mmg bekalan air terputus, so dia biar jer. Lgpun dah mlm...esok pg dia tanya neighbour, neighbour dia kata rumah dia ada air. So, dia pi check kat meter, rupanya ada org tutup. Dia bgtau my brother & my brother suh dia simpan air dlm rumah, just in case...belikan tong besar isi air.

So, klu mlm2 ada kes camtu lagi...jgn keluar pi bukak paip kat meter. Betul pun..tak smpi sebulan jadi lagi. Kul 10pm dia pegi bilik air, ada air pastu kul 11.30 pegi...air takder. Next day nak pi keje tgk lagi kat meter tu...ada org tutup lagi. Cara terbaru yg digunakan pencuri untuk memerangkap mangsanye .

Kes pertama, dengan mendatangi rumah dan mengatakan ada surat utk orang yg beralamat dirumah tersebut.Kawan- kawan nye yg lain akan bersembunyi bg mengelakkan tuan rumah dpt melihatnye. Kes ini telah berlaku berhampiran dgn rumah saya. Rumahnye di datangi oleh lelaki yg tidak dikenali dengan mengatakan ada surat untuk Azhar.Tuan rumah (perempuan) tersebut hanya bercakap dengan lelaki ini melalui pintu rumahnye. Setelah hampir setengah jam berde bat dengan lelaki tersebut, tuan rumah ini memanggil jiran dibelakang rumahnye.. Jirannye (Lelaki berbadan agak besar) bersemuka dengan lelaki tersebut melalui pintu pagar hadapan dan terperanjat apabila melihat disebalik tembok tersebut ada 2 org lelaki lagi. Setelah melihat jiran tuan rumah itu, lelaki tersebut berlalu pergi.

Kes ke-2 dimana punca bekalan air utama diluar rumah dimatikan . Pencuri menggunakan cara ini utk memerangkap mangsanye apabila tuan rumah tersebut ingin membuka semula paip air itu..

Kes ke-3, dengan menggunakan Tangisan bayi .Peluang pencuri adalah apabila tuan rumah tersebut cuba mencari punca tangisan bayi tersebut. Kesemua kes tersebut berlaku sekitar jam 11.30 mlm dan ke atas. Jangan cuba keluar dari rumah sekiranye anda seorang berada dirumah.

Tolong sebarkan perkara ini untuk keselamatan kite semua.

Jom Baca Buku- Palestin/Israel

Sesuai dengan kehangatan isu pencabulan Israel ke atas Palestin di Tebing Barat Gaza dan mengakibatkan kesengsaraan rakyat Palestin maka saya tampilkan buku ini untuk tatapan anda. Jangan lupa untuk menelefon 41497210 untuk membuat tempahan atau ke MPH di Putrajaya atau di Mid Valley.

PALESTIN/ISRAEL
Keamanan atau Apartied
Palestine/Israel: Peace or Apartied



Pemilihan Sharon. Intifada kedua. Pengeboman berani mati. Penempatan Isreal di Tebing Barat. Desakan Bush supaya rakyat Palestin memilih tampuk pimpinan baru. Buku ini memaparkan hubungan Palestin-Israel sejak gagalnya Perjanjian Oslo dan menegaskan bahawa keamanan tanpa keadilan adalah suatu perkara yang mustahil. Israel mungkin tidak menyedari hakikat ini tetapi suatu hari nanti, ia terpaksa menerimanya sebagaimana de Klerk terpaksa menerima satu dasarwarsa lalu di Afrika Selatan yang mengamalkan dasar Apartied.

PALESTIN/ISRAEL
Keamanan atau Apartied

Palestine/Israel: Peace or Apartied

Penulis :Marwan Bishara
ISBN:978 983 068 222 6
Tahun terbit : 2007
Halaman: 199 Muka Surat
Harga: RM35.00

11 February, 2009

Kanvas Kehidupan - Cinta Monyet

Pernah anda melihat monyet bercinta? Barangkali sukar kerana haiwan sukar dilihat ekspresinya. Tetapi jika ditanya pernah mengalami cinta monyet? Mungkin semua orang pernah melaluinya. Cinta monyet dilabelkan kepada anak-anak yang terlalu muda yang dilamun perasaan cinta. Ah, anda sendiri pernah melaluinya bukan?

Tidak ada yang luar biasa yang saya ingin paparkan di sini sekadar coretan yang saya korek dari teman. Saya memujuknya untuk bercerita tentang cinta pertamanya. Iaitu perasaan cinta yang pertamanya. Saya namakan dia sebagai X sahaja. Kata X perasaan cinta itu sangat suci. Dan manusia memang dilahirkan dengan perasaan cinta. Tanpa cinta tidak akan ada kehidupan yang berterusan. Kita semua dilahirkan kerana cinta orang tua kita. Kita hidup di dunia ini pun kerana cinta Allah kepada kita.

Saya memujuknya lagi untuk bercerita. Sebab kita memang seronok untuk mendengar cerita orang. Tetapi saya sudah memberitahunya awal-awal untuk berkongsi dengan pengunjung di blog enche. Akhirnya dia berkata "ok lah benda lama dan dah lepas." Cinta pertamanya bermula di usianya 13 tahun. Sewaktu di bangku sekolah dengan rakan sekelas.

Sebelum berkenalan di sekolah katanya dia pernah berjumpa dengan teman lelaki yang dia ingin saya kenalinya sebagai Saiful (bukan nama sebenar). Orangnya memang hensem meletup. "Perfect" dan pintar pula. Saiful ini anak guru besar tetapi di sekolah lain.

Waktu persekolah di tingkatan satu itu ialah pada waktu petang. Jadi X akan hadir awal untuk berjumpa dengan Saiful walaupun dia akan bersama di dalam kelas hari itu tetapi berjumpa dan berbual sementara menunggu waktu persekolahan bermula amat bermakna bagi dirinya.

Saya bertanya lagi apa yang paling seronok bila berjumpa. Kata X menatap wajahnya yang sangat sempurna dan menjadi kegilaan ramai rakan-rakan wanitanya yang lain. Katanya dia bernasib baik kerana Saiful suka dan jatuh cinta padanya.

"Pernah dating dengannya diluar waktu persekolahan?" saya bertanya. dia mengeleng kerana katanya takut dengan ibu bapanya. Begitulah orang dulu-dulu yang takut dan taat dengan ibu bapa. Saya bertanya lagi apa yang paling dia tidak boleh lupa dengan Saiful. Dia termenung mengingatkannya semula.

"Oh, ada." Waktu pulang dari sekolah dia bergurau dengan Saiful sehingga teman lelakinya marah lalu mencubitnya di lengan dan kesan dari cubitan itulah yang dilihat X hari-hari dan dia sentiasa senyum bila melihat kesan cubitan itu sehinggalah kesannya hilang dua tiga hari selepas itu.

"Di mana Saiful sekarang? Dia mengeleng-ngeleng kepala sambil memandang kepada saya. Katanya cinta kepada saiful cuma sekejap sahaja kerana Saiful bertukar sekolah. Berhari-hari dia menangis mengingatkan Saiful yang telah 'pergi' darinya. Saiful ada meghantar surat kepadanya dan sekeping gambar foto dirinya tetapi di telah memulangkan semula kepada Saiful kerana marah dengan tindakan Saiful bertukar sekolah.

Saya bertanya lagi kenapa Saiful bertukar sekolah. Saiful takut dengan seorang guru yang garang di sekolah itu!

Jika anda terimbas kisah cinta monyet anda silalah kirimkan dan kita kongsi di sini. Ia akan membuatkan jiwa anda segar semula.

10 February, 2009

Makluman

Persidangan Kebangsaan Penerbitan Ilmiah
PWTC Kuala Lumpur. 18 - 19 April 2009
Panggilan untuk Kertas Kerja
"Pengantarabangsaan Penerbitan Ilmiah Malaysia"

09 February, 2009

Kain Dari Langit dan Program Gerak Usahawan Nasional 2009




Seronok jika dapat melihat respon dari anda! Saya sudah agak anda tentu akan tertanya-tanya apa akan jadi dengan kain dari langit. Cerita itu memang tidak habis di situ sahaja. Saya tidak dapat menulis panjang ketika itu kerana berada di Hotel Seri Pacific ketika itu sejak 2 hari lepas menemankan kawan yang datang dari Australia untuk program Gerak Usahawan nasional 2009 anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di PWTC. (6-8 Februari 2009)

Kepada Ahmad Norly dan Puan Ramlah selamat kembali ke tanah air. Seorang kenalan lama dan seorang kenalan baru yang berjaya membuka perniagaan di Australia dalam perniagaan Restoran(Makan2) dan pembekalan Daging Halal (Mecca Meats and Smallgoods). Hari itu juga teman lama dari Jakarta Zamry yang bekerja dengan syarikat pengiklanan di sana kembali ke tanah air untuk sama-sama berjumpa.

Seronok sekali dapat melawat gerai-gerai pameran di situ dan mengetahui ramainya rakyat Malaysia di luar negara yang berjaya menjalankan perniagaan di negara orang. Mereka kembali ke tanah air untuk berkongsi pengalaman dengan kita di sini dan mendedahkan peluang-peluang yang ada, memberi bimbingan dan sebagainya. Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang.

Cerita yang tergantung itu akan saya sambung jika mendapat syarikat penajaan. (Hehee... tunggu saja waktu yang saya lapang kerana saya juga terpaksa membahagikan masa untuk sebuah novel yang akan menemui anda tidak lama lagi.)

Puisi - Di Bawah Runtuhan itu

(Khas buat saudara-saudaraku di Palestin)




di bawah runtuhan itu
ada suara tangisan
si anak kecil yang kesakitan
dihempap batu angkara bebola api

di bawah runtuhan itu
ada jasad yang telah kaku
tetapi darahnya masih mengalir
ia pergi dalam syahid

di bawah runtuhan itu
ada kehidupan yang telah musnah
dan cerita yang berkecai
membuah harapan yang sangat jauh untuk dicapai

di bawah runtuhan itu
ada kehidupan baru
yang bermula dengan airmata dan dendam
menuntut kedaulatan dan darah yang tumpah

kaulah permulaannya
syaitan berwajah manusia
menyatakan penyesalan
pada angkara yang terpaksa dilakukan
atas nama apa sekalipun
nyawa yang tidak berdosa

di bawah runtuhan dinding itu
ada suara simpati dari seluruh alam
yang seagama denganmu
tidak mampu hadir dalam jasad
tapi hadir dalam doa

di bawah runtuhan itu
kau telah memusnahkan segalanya

menyuburkan dendam kerana dendam
mematikan yang hidup kerana kematian yang lalu
yang mati itu tidak pernah akan mati
dan tidak akan pergi dengan kematian itu
tekad itu terus tinggal di situ
membesar bersama anak kecil
kau akan lihat padahnya nanti
saat mentari hampir muncul dari barat

Enche
Februari 2009

08 February, 2009

Kak Rocs Mahu Cerita Seram?

Barang kali ada orang yang jemu dengan cerita-cerita serius saya di sini. Entahlah kerana sememangnya cara penulisan itu selalunya banyak dipengaruhi oleh emosi dan persekitaran penulisnya. Ada yang minta saya menulis mengenai cerita seram! Bagaimana saya bisa menulisnya jika saya sendiri tidak mengalaminya sendiri.

Saya akan cuba untuk mengingati peristiwa-peristiwa seram sepanjang hidup yang pernah saya lalui. Barangkali saya ini tidak mudah takut dengan keadaan kerana itu saya jarang untuk takut atau merasa seram.

Mungkin pengalaman sewaktu kecil ini boleh saya kongsi dengan anda khasnya Kak Rocs. Kejadian ini berlaku pada tahun 1970an dahulu. Saya tinggal di sebuah kawasan perumahan di Pantai Timur. Dahulu tidak semua rumah yang mampu memiliki peti telivisyen. Waktu itu TV siarannya hanya hitam dan putih sahaja dan salurannya hanya dua sahaja. TV 1 dan TV2 kalau tidak silap saya.

Bagi keluarga yang tidak mempunyai TV mereka akan bertandang ke rumah jiran yang mempunyainya dan akan penuh sesaklah rumah itu untuk menonton TV. Kesian juga kepada tuan rumah bila dikenang-kenangkan kembali.

Rancangan keluarga yang digemari ketika itu ialah tayangan cerita Melayu dan kalau tidak silap saya siarannya pada malam jumaat selepas waktu maghrib. Tayangan itu selalunya dihentikan untuk siaran Berita Utama jam 8.00 malam diikuti siaran Peristiwa yang dinamakan Dunia Sana Sini.

Lebih kurang satu jam penonton terpaksa berehat dan kanak-kanak seperti saya akan keluar
bermain atau bersantai di halaman rumah. Kawasan perumahan kami adalah hutan ketika itu. Suatu malam ketika menanti tayangan cerita di sambung kembali saya dan kawan-kawan telah bermain-main di tepi jalan. Entah bagaimana ketika bermain-main itu hanya saya yang dapat melihat bayangan sesuatu yang terbang ke udara dari tempat kami bermain. Dan sambil terbang itu sesuatu itu telah meninggalkan kain dan saya dapat menangkap kain sepanjang 2 meter jatuh ke bumi.

Apabila saya menjerit mengatakan kain itu datangnya dari udara dan terbang kepada saya semua kawan-kawan sepermainan telah lari lintang pukang mendapatkan ibubapa masing-masing dan saya terus mengheret kain itu separuh jalan tetapi apabila melihat kawan-kawan takut dengan kain itu saya meninggalkannya dan lari ke arah mereka.

Berita sampai ke pengetahuan orang-orang tua di situ dan salah seorang dari mereka menyuruh saya untuk mengambil kain tersebut dan saya dengan selamba telah pergi mendapatkannya. Maka keributan sekali lagi terjadi bila nampak saya dan kain dari langit itu!

07 February, 2009

Senyum - Gila

Gila, hilang akal, mereng, tiga suku itulah gelaran yang diberikan kepada orang yang sudah tidak siuman. Kita harus bersyukur kerana Allah masih memberikan kita kewarasan akal untuk berfikir. Bagaimanapun kita sebenarnya tidak tahu apa yang orang gila nampak dalam dunianya sehingga mereka boleh berbicara sendirian atau melakukan sesuatu yang aneh-aneh.

Orang gila pun pandai mengenakan kita. Seperti suatu cerita orang gila di hospital pesakit jiwa yang sedang memancing di dalam baldi lalu seorang pelawat tersenyum lalu menyoal "Hai banyak ke dapat Ikan?". Lalu dia berkata kembali "Gila ke. dalam baldi mana ada ikan!"

Apa yang ingin saya ceritakan ialah cerita orang gila yang masuk ke dalam sebuah salun rambut. Saya mengalami sendiri peristiwa itu. Saya melihat seorang gila masuk ke dalam salun, meluru ke tempat gunting yang disimpan. Kami yang berada di dalam salun panik tetapi tuan kedai menenangkan kami dan tidak bertindak menghalau orang gila tersebut sebaliknya membiarkan sahaja tindakannya.

Tuan kedai:
Kita tengok je apa dia nak buat
Saya : Selalu ke dia masuk ke sini?
Dia mengangguk
Saya: Dia buat apa selalunya?
Tuan kedai: Dia cuma nak potong sendiri rambutnya.

Selepas itu tuan kedai itu berkata kepada orang gila yang baru memotong rambutnya sendiri.
Tuan kedai: Okay dah cantik dah boleh keluar sekarang.

Orang gila itu melibas-libas tangan membuang rambut yang melekat di baju dan berjalan keluar.
Kami yang ada di dalam salun itu menarik nafas lega dan senyum sesama sendiri.
Tuan kedai: Orang gila pun tau nak cantik!

05 February, 2009

Kongsi Emel - Mandi

Mandi

KAJIAN terbaru berkaitan dengan mandi mendapati ia bukan saja bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran, tetapi menjauhkan stress serta berperanan penting meningkatkan sistem kekebalan tubuh.. Penyelidikan yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine menunjukkan penderita diabetes yang menghabiskan masa selama setengah jam berendam dalam airsuam dapat menurunkan tingkat gula darah sekitar 13 peratus. Kajian di Jepun pula menunjukkan 10 minit berendam dalam air panas dapat memperbaiki kesihatan jantung terutamanya untuk lelaki.

Berikut beberapa manfaat mandi kepada individu yang mengamalkannya.

Mengeluarkan racun: Mandi air panas sekitar 32 hingga 35 darjah Celsius membuka ruang yang dapat membantu mengeluarkan toksin. Mandi air panas membantu menurunkan tingkat gula darah, menyembuhkan sakit otot dan membantu menjaga usus besar supaya bekerja dengan baik. Waktu yang dianjurkan ialah selama 10 hingga 20 minit. Mandi air sejuk sangat baik untuk meredakan ketegangan. Ia dapat menyempitkan darah dan meningkatkan tingkat gula darah. Suhu yangdianjurkan ialah sekitar 12 hingga 18 darjah Celsius.

Jangkitan kulit: Penyakit kulit tertentu seperti ruam atau gatal-gatal boleh di atasi dengan menambahkan soda penaik (sodium bicarbonate) ke dalam air mandian. Ia bertindak sebagai antiseptik. Isikan air ke bekas mandian dan tambahkan soda penaik dan aduk sehingga rata. Digalakkan untuk berendam selama 10 hingga 20 minit.

Selesema dan sakit kepala : Merendam kaki dalam air panas membantu menyembuhkan selsema, sakit kepala dan menyegarkan kembali kaki yanglelah. Masukkan air panas secukupnya dalam bekas sehingga menenggelamkan pergelangan kaki kemudian tambahkan beberapa titis minyak seperti lavender, peppermint atau lemon. Selepas basuh dengan air sejuk. Lakukannyaselama 10 hingga 20 minit.

Insomnia : Merendamkan kaki dalam air dingin sangat baik kepada anda. Yang mempunyai masalah imsonia atau memiliki masalah tidur. Masukkan kaki sehingga ia merasa dingin. Perubatan ini berguna bagi kaki lelah, pendarahan hidung, selsema dan sembelit.


Terima Kasih Zolkepli Musa

Itulah khasiat mandi yang kita tidak tahu selain membersihkan badan ia juga merupakan cara rawatan kepada penyakit yang kita alami.

04 February, 2009

Jom Baca Buku- Penjenamaan Merentasi Sempadan


Penjenamaan Merentasi Sempadan
Branding Across Border

Buku ini adalah jilid ketiga daripada trilogi karya Jim Gregory mengenai pembinaan jenama korporat yang menjadi topikhangat masa kini. Ia melontarkan pemikiran dan pengalaman menarik penulis sambil menjelaskan langkah yang perlu diambil dalam usaha membina dan menguruskan jenama global. Buku ini turut mengetengahkan beberapa panduan berguna dan kelemahan yang perlu diatasi apabila membawa sesuatu jenama merentasi sempadan negara. Turut dibincangkan secara terperinci adalah kewujudan internet serta perkara berkaitan e-pelanggan.

Judul :
Penjenamaan Merentasi Sempadan
Branding Across Border
Karya Terjemahan : Institut Terjemahan Negara Malaysia
Penulis: James R Gregory
ISBN: 978 983 068 195 5
Tahun Terbit: 2007
Jumlah Halaman: 243 Muka Surat
Harga: RM40.00

Sila dapatkan naskhah dengan menghubungi talian ITNM 03-41497210 atau kunjungi MPH Alamanda ataupun di Mid Valley.

03 February, 2009

Senyum - Salah kereta

Janji temu di hadapan pejabat untuk makan tengah hari. Mat telah berjanji dengan Mon untuk menjemput dengan keretanya di hadapan pejabat Mon. Mat Tiba tepat pada waktunya dan menanti dengan penuh sabar. Kelihatan Mon keluar tergesa-gesa dari pejabat berjalan menuju ke sebuah kereta di hadapannya. Mat merasa hairan dan pelik. Belum sampai seminit kelihatan Mon keluar dari kereta itu tersengih-sengih dan masuk ke dalam kereta Mat.

Mat: kenapa kau tersengih ni?
Mon: Salah kereta da... orang tu tengah tunggu boss dia, cepat-cepat aku keluar dan minta maaf!
Mat: Apa orang itu cakap?
Mon: Dia kata tak pe. Dia pun tak kenal boss yang dia tunggu tu.

Renung Sejenak

Nabi s.a.w. bersabda, Maksudnya:

"Allah berfirman: Setiap amal anak Adam adalah untuk Adam itu sendiri melainkan puasa. Sesungguhnya puasa itu bagiKu dan Aku membalas puasanya itu" (Sahih Bukhari).

02 February, 2009

Pandu Cermat Jiwa Yang Lain-lain Turut Selamat!

2 Februari 2009


Setiap masa akan ada saja kemalangan berlaku jika kita tidak berhati-hati atau melanggar peraturan. Peraturan dibuat untuk mewujudkan keselamatan kepada semua. Peraturan dibuat berdasarkan kajian atau pengalaman kejadian sebelumnya.

Malang sekali jika ada di antara kita merasa peraturan hanya untuk orang lain. Peraturan perlu dipatuhi jika ada orang yang mengawasinya. Atau peraturan adalah untuk orang-orang yang tidak cekap sahaja!

Saya tidak ingin mengatakan kereta yang terlibat ini (di dalam gambar) bersalah atau tidak mengikut peraturan kerana sayapun tidak pasti bagaimana kejadian ini bermula. Ketika melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) semalam lebih kurang jam 3.34 petang saya dan rakan telah merempuhi kesesakan jalan raya yang baharu sahaja bermula. Kami mendengar siren bomba dan semua kereta yang bergerak perlahan memberikan laluan.

Telahan kami benar mengatakan bomba menuju misi menyelamatkan kemalangan ngeri di hadapan kami. Dan ada di antara kami tidak mahu memandang langsung ke arah tempat kejadian kerana membayangkan kemalangan itu sangat dahsyat.

Saya yang memang bersedia dengan kamera telefon terus merakamkan gambar yang sangat eksklusif ini untuk anda. Berbagai andaian boleh kita buat melalui gambar ini. tetapi yang pasti senantiasa 'berhati-hatilah di jalanraya- pandu cermat jiwa selamat'.

Jika pemandunya membuat temujanji dengan seseorang dan anda adalah orang itu apa perasaan anda menerima berita itu dan apa nasihat anda kepadanya jika anda tahu ianya akan berlaku?

Selamat Berbahagia hingga ke Akhir Hayat- Firdouse

2 Februari 2009



Selamat Pengantin baru kepada teman sepejabat Firdouse dan isteri. Semoga jodoh anda berkekalan hingga ke akhir hayat. Terlambat sedikit menyiarkan post ini. Pertama kerana saya memang lupa nak catat nama isterinya. Saya tercari-cari kad jemputan itu dan baru teringat kad itu cuma satu sahaja dan di kongsi bersama rakan-rakan yang lain dan kad itu di tampal di papan kenyataan di unit penerbitan.

Dari hari ke hari asyik terlupa sahaja nak membelek kad itu. Al maklum sahajalah di pejabat sekarang kalau melangkah masuk sahaja akan lupa untuk hal-hal lain kerana 'Unit Penerbitan' sedang dilanda taufan kecil sekarang!

Nasib baik tarikh kenduri itu saya tidak lupa. Kebetulan masih berada di Kuala Lumpur saya mengambil kesempatan itu bersama anak saudara menghadiri kenduri Fir. Saya tiba jam 3.00 petang dan suasananya seperti lengang dan lesu sahaja seperti wajah kedua pengantin. Mungkin kemeriahan itu telah berlalu dan saya mendapat suasana 'hujung-hujung' sahaja.

Sempat bersalaman dengan Fir dan mengucapkan tahniah. Kata Fir tak ramai teman sepejabat yang datang. Saya fikir mungkin ramai yang bercuti apatah lagi cuti panjang sempena Tahun Baru Cina ada yang balik kampung untuk 'beraya' sama.

Sekali lagi untuk Fir 'Selamat Pengantin Baru'.