11 December, 2008

Buku Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia Dilancarkan










Seawal pagi aku bangun hari ini seperti hendak pergi menoreh. Aku difahamkan kena berada di Lobi Parlimen pada jam 7.00 pagi. Tetapi aku rasa amat mustahil kerana badan ini sangat lesu. Malam tadi baru tiba dari Kelantan kerana menjengah bonda dan beraya. 10 jam berada dalam kereta amatlah membosankan nasib baik ada Yad, Damia dan Ajwad yang kenik2 pergi mari dalam kereta tu. Adalah juga permainan dalam perjalanan.


Walaupun demikian aku gagahkan juga untuk sepagi mungkin dan nasibku amat baik kerana berjaya tiba antara yang terawal dan menyiapkan apa yang patut di Booth ITNM

Menghampiri Jam 9.00 pagi majlis yang dinantikan pun bermula.


Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia tiba dan selepas beberapa ucapan beliau melancarkan buku terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bertajuk ``Perjanjian dan Dokumen Lama Malaysia'' di lobi Parlimen. Turut hadir sama pada majlis itu ialah Yang Berhormat Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Pelajaran Malaysia .

Buku tersebut yang diterbitkan dalam dwi bahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris, memaparkan 26 perjanjian lama dari 1791 sehingga ke saat Akta Perlembagaan Malaysia (Pindaan Singapura) pada 1965.

Buku tersebut merupakan sebuah naskhah yang pertama kali diterbitkan di Malaysia dan yang keempat seumpamanya di dunia.

Sila klik di sini untuk mendapatkan sinopsisnya


Bila di Parlimen etika berpakaian pun mestilah tertib. Terutamanya bagi lelaki. Yang dah biasa dengan suit, bertali leher itu sudah perkara biasa. Bagi yang belum maka terperasan lah segaknya bagai putera raja. Lihat sahaja gambarnya di bawah nanti. Seronok tengok buku ini laris dibeli selepas dilancarkan.



Aku termangu ketika ditegur kawan sekolej dahulu di situ yang sudah lama tidak kutemui. Dia masih boleh mengecam aku yang katanya masih belum berubah walaupun 20 tahun berlalu! Minggu lepas aku terserempak dengan kawan sekolej juga tetapi di pejabat. Kawan itu juga menegurku dengan yakin tapi aku tidak dapat mengenaliku kerana wajahnya sangat, sangat, sangat jauh berbeza. Ampunkan aku kawan!

1 comment:

Anonymous said...

Bagus la, buku sejarah perjanjian tersebut. Siapakah orang yang membuahkan idea projek ini?

Osmera Ngah