Salam Bonda apa khabar. Biar bonda tak mungkin dapat membaca blog anaknda ini tapi anaknda tetap merasakan bonda mempunyai gerakhati yang kuat bahawa anaknda tetap mengingati bonda. Pagi tadi sempat menelefon bonda kerana rindu dan rasa bersalah. Mendengar nada bonda sakit anaknda merasa sangat susah hati. Lemah sekali bunyinya. Bonda kata baru sahaja lepas muntah dan kepalanya pening. Esah (penjaga bonda) ada diluar dan bonda keseorangan di dalam bilik air. Bonda kata Abang Li dah tahu bonda tak sihat.
Cerita pasal gerak hati bonda yang sangat kuat. Suatu pagi ketika aku bersama adinda Akram, Zita dan anak-anak mahu bertolak pulang ke KL. Sedih sangat sangat nak meninggalkan bonda. Pagi itu ada seseorang meninggalkan satu beg buah limau di pagar rumah bonda. Bonda tak tahu siapapun yang letak tapi bonda ambil limau dan bahagi-bahagikan limau itu kepada kami yang ada. Aku tanya pada bonda siapa yang beri. Aku susah nak makan kalau tak tahu siapa yang beri begitu juga iparku adinda Khalilah. Kami pandang sama sendiri dan seperti bertanya mengapa bonda begitu berani nak makan makanan yang tak tahu siapa yang bagi. Bonda dengan yakin berkata lagi
"Anak beranak kita yang beri tu kejap lagi dia telefon lah dan beritahu."
Memang benar tak sampai setengah jam aku dapat sms dari adinda Sal mengatakan dia yang gantung limau pada pagar rumah bonda.
"Maaf tak sempat nak beritahu sebab nak cepat."
Aku kehairanan bagaimana bonda boleh rasa itu semua. Naluri Ibu.
Gambar diambil ketika bonda di hadapan pasar raya Kamdar Jalan Tunku Abdul Rahman bersama burung merpati Kuala Lumpur. Semoga Bonda lekas sembuh.
No comments:
Post a Comment