11 March, 2009

Gajah Mati Meninggalkan Tulang, Harimau Mati meninggalkan Belang dan Manusia Mati Meninggalkan Nama


Gambar atas kanan: Ialah puisi karya Dr. Ibrahim Ghaffar yang dibacakan sendiri olehnya dan dihadiahkan kepada anakandanya. Gambar atas kanan: Anakanda Allahyarham Sdr.Hassanudin. Gambar bawah: Hadirin dalam majlis tahlil.

Telah tiba masanya para ilmuan yang mempunyai sarjana membuat kajian terhadap karya Arena Wati dan didokumentasi dalam berbagai bentuk seperti tesis kata Dato' Wan Hashim Wan Teh di dalam ucapan aluan dalam majlis Tahlil Sasterawan Negara (SN) Allahyarham (DR) Arena Wati di Wisma ITNM hari ini.

ITNM memang telah merancang untuk menerbitkan semula karya-karya Sasterawan Negara dan Pemenang SEA Write Award yang diterjemahkan ke bahasa asing dan akan menyaksikan dalam tempoh terdekat penerbitan itu menjadi nyata. Dua karya SEA Write Award atau empat karya Sasterawan Negara setiap seorang akan diterbitkan dalam tempoh rancangan Malaysia ke-9. Untuk SN Dr. Arena Wati karya-karya yang telah dipilih ialah Panrita, Lingkaran dan Sukma Angin(Yang diterjemah ke dalam dua bahasa).

Pemergian Allahyarham sangat dirasakan dalam dunia persuratan Melayu dan Dato' Wan Hashim membacakan pepatah Melayu seperti 'Gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama.

Sementara itu anakanda Allahyarham Sdr. Hassanudin ketika berucap mewakili keluarganya berharap agar semua amalan yang dibacakan tadi akan mendapat keredaan Allah S. W.T. Beliau merakamkan ucapan setinggi terima kasih atas usaha yang dilakukan oleh ITNM dan PENA kerana belum ada lagi organisasi yang melakukan usaha yang sedemikian walaupun menyedari perjuangan Arwah bapanya bukan untuk gelaran atau disanjung-sanjung. Beliau berharap Allah akan memberikan sebaik-baik balasan kepada organisasi terlibat serta merahmatinya.

Sdr. Hassanudin menyatakan sehingga Arwah bapanya meninggal dalam usia 84 tahun beliau menyedari perjuangan bapanya cuma satu warna. "Ayah bukan Melayu Politik, Ayah bukan korporat. Ayah ialah Melayu darah." Itulah perjuangan satu warna yang dimaksudkan anakanda beliau yang memetik kata-kata terakhir ayahandanya.

Beliau gigih membela nusantara. Kalau sebelumnya arwahnya berjuang menggunakan tombak dan sigai tetapi selepas itu beliau berjuang menggunakan pena dan kertas pula menyalurkan ideanya.Majlis kemudiannya diserikan dengan bacaan puisi dari karyawan-karyawan khususnya dari PENA. Ia itu Dr. Ahmad Razali dan Dr. Ibrahim Ghaffar.

Kak Norz terima kasih kerana sudi datang tapi kenapa balik awal tak sempat nak cit cat lagi. Dan selepas majlis itu juga aku begitu terperanjat bila di dekati oleh seorang lelaki yang bertanya sama ada aku ini Alumni ESQ! dan terus kami bersalam semut. Wah Bagaimana dia mengenaliku sedangkan dia ESQ dari Jakarta.

No comments: