14 March, 2009

Tercuit dengan tulisan Dato' Baha

Tercuit dengan tulisan Dato' BahaZain dalam blognya mengenai isu PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dlm Bahasa Inggeris) saya pun turut merasakan kekesalan dengan apa yang berlaku. Isu bahasa sama seperti isu agama dan isu budaya.

Bahasa kebangsaan sudah jelas dinyatakan kedudukannya dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan namun apa yang berlaku sekarang bukanlah seperti semangat yang dinyatakan di dalamnya. Maka pada siapa kita berharap bahasa kebangsaan akan terus menjadi bahasa utama di negara sendiri. Usaha mesti dilakukan untuk memartabatkannya sebagaimana kegemilangan Bahasa Melayu menjadi bahasa perantara di nusantara suatu masa dahulu.

Amatlah membimbangkan jika kita membiarkan keadaan ini berterusan. Pengajaran beberapa mata pelajaran di dalam bahasa Inggeris tidak akan terhenti sendiri jika ia tidak dihentikan. Bukan kita tidak suka melihat anak bangsa fasih dan pandai bertutur di dalam bahasa Inggeris tetapi dalam jangkamasa panjang kepentingan bahasa Melayu akan terhakis. Bahasa Melayu akan terpinggir.

Suatu kenyataan semalam saya ke sebuah kedai yang menyediakan perkhidmatan percetakan digital. Di situ kedengaran seorang wanita muda berbicara dalam bahasa Inggeris kedengarannya seperti sempurna sekali. Saya menoleh untuk melihat wajahnya. Oh anak tempatan seorang wanita India (seorang pelajar IPTS saya agak kerana bahan yang hendak dicetaknya) hati saya yang tadi ingatkan dia orang asing terus merudum kerana ia tidak cinta kepada bahasa di mana dia memijak buminya.

Kemudian temannya membalas dalam bahasa Inggeris juga oh wanita Melayu. Sekali lagi hati saya jatuh dilantai mengapa begitu sekali bahasa ibundanya dipinggirkan sedangkan saya melihat tugasan yang hendak dicetak dan perbualannya mengenai hal itu adalah dalam bahasa Melayu juga. Adakah ia akan melambangkan kekelasannya atau intelektualnya? Sudah tentu pembelajaran subjek itu dalam bahasa Melayu kerana tugasan itu ditulis di dalam bahasa Melayu.

Biarlah bahasa Inggeris itu cuma di dalam pembelajarannya sahaja dan berbicarapun kerana keadaan yang sesuai dengannya sahaja. Jika alasan matematik dan sains itu datangnya dari barat maka halnya sama dengan pelajaran agama Islam bukankah ia elok diajarkan dalam bahasa Arab kerana ianya asalnya dari Tanah Arab! Lebih tepat tetapi kita telah mempunyai banyak istilah dalam bidang agama Islam mengenainya. Begitu juga istilah-istilah dalam bidang matematik dan sains kita juga telah ada. Jika berkurangan kita tambah apa gunanya Dewan Bahasa dan Pustaka menghasilkan berpuluh ribu istilah-istilah baru dalam pelbagai bidang tetapi dinafikan kewujudannya. Usaha itu cuma usaha sia-sia dan buang masa cerdik pandai di situ menggubalnya jika ia tidak mahu digunakan.

Memang sifat bahasa itu hidup dan ia sentiasa berkembang bukanlah bermakna tiada istilah mengenainya ia haruskan ditinggalkan. Bahasa Melayu jika tidak digunakan ia akan mati sebagaimana matinya bahasa Hebrew suatu ketika dahulu tetapi atas inisiatif bangsa Israel bahasa itu dihidupkan kembali hingga sekarang.

Mungkin kita lupa kepada Dasar Pandang ke Timur suatu masa dahulu. Apakah kerana dasar itu tidak berjaya. Saya rasa tidak. Penggunaan Kad Perakam Waktu Kerja (Punch Card), Penggunaan Tanda Nama (Name Tag), Penubuhan Pasukan Meningkat Mutu Kerja (QCC), Konsep Pejabat Terbuka, Perkhidmatan Kaunter/Perkhidmatan Pembayaran Bil Setempat, Fail Meja dan Manual Prosedur Kerja tenyata masih dikekalkan sehingga sekarang dan kita juga berbangga dengan kewujudan kereta nasional hasil dari itu.

Sesuatu yang kita lupa orang-orang Jepun tidak mengagung-agung bahasa lain selain dari bahasa ibundanya sendiri tetapi mereka tetap maju. Saya masih teringat dengan nasib beberapa teman yang dihantar belajar ke sana mereka pada awalnya sukar berkomunikasi kerana semuanya dalam bahasa Jepun. Dan mereka lebih menghargai kita jika kita bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Tetapi mereka adalah bangsa yang maju!

Saya juga teringat suatu peristiwa di jalan raya tak lama dahulu berlaku kemalangan di antara seorang pemuda Cina dan India. Mereka keluar bergaduh dan berbincang di dalam bahasa Melayu bahasa ibundanya sendiri. Walaupun keadaan itu suatu keadaan yang tidak selesa untuk dipandang tetapi harmoni itu ada di situ.

Seperti komen saya di blog Dato Baha - Bahasa Jiwa Bangsa. Melalui bahasa orang akan mengenal budayanya sendiri. Membiarkan Bahasa Melayu dipinggirkan seolah-olah membiarkan anak bangsa melupakan budaya dan jati dirinya juga. Janganlah kita mewariskan nama Melayu kepada anak cucu kita tanpa ada jati dirinya di kemudian hari. Fikirlah sebelum terlambat semuanya bermula pada hari ini.


Merdekakanlah fikiran kita dari belenggu bahasa sebagaimana lahiriahnya kita telah merdeka. Bahasa Melayu jika berkembang yang untungnya adalah kita juga kerana orang akan mempelajari budaya kita. Lihatlah Youtube ini sebagai hiburan dan di situ ada banyak yang anda boleh fikirkan. Orang Arab yang bertutur dalam bahasa Melayu. Tekan di sini.

3 comments:

Anonymous said...

PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SAINS DAN MATEMATIK DALAM BAHASA INGGERIS (PPSMI)

By Dr. Mahathir Mohamad on March 13, 2009 6:48 PM

1. Saya berasa amat sedih apabila membaca laporan berkenaan demonstrasi yang dipimpin oleh tokoh sastera Melayu menentang pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.

2. Kononnya ini akan menidakkan kebolehan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam ilmu ini. Konon ia akan mengurangkan perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

3. Kita harus ingat bahawa pelajaran bukan semata-mata untuk memaju atau mengembangkan bahasa. Pelajaran adalah untuk penguasaan ilmu, pelbagai jenis ilmu.


4. Yang boleh meningkatkan taraf dan kemajuan bahasa ialah matapelajaran bahasa itu sendiri dan diperingkat yang lebih tinggi mata pelajaran sastera.

5. Sains dan matematik tidak mungkin menolong kemajuan bahasa, khususnya bahasa Melayu.

6. Ini disebabkan bahasa sains dan matematik bukan daripada bahasa Melayu. Sebahagian besar daripada perkataan-perkataan dalam mata pelajaran ini adalah dalam bahasa Latin yang di-Inggeriskan.

7. Memang benar kita boleh Melayu-kan perkataan-perkataan ini, seperti juga kita Melayu-kan perkataan daripada lain-lain bahasa.

8. Memang boleh tetapi perkataan-perkataan sains bukan satu dua tapi beratus-ratus. Dan perkataan ini menjadi asas kepada perkataan yang mempunyai makna yang amat berlainan.

9. Umpamanya perkataan Oxygen (Oksigen) - satu jenis gas. Derivative (cabang) daripada perkataan ini adalah seperti berikut;

• Oxygenation

• Oxidation

• Oxide

• Oxidants

• Deoxydation

• Oxidise

• Oxidification

• Dioxide

• Monoxide

• Peroxide

10. Ini hanya bagi satu elemen daripada sebanyak 120 (118) elemen.

11. Tiap satu mempunyai banyak derivative. Tetapi ada perkataan-perkataan lain yang hanya untuk ilmu sains. Jika semuanya nak di-Melayukan, bahasa Melayu akan bertukar menjadi bahasa Inggeris, ejaan lain bunyi semacam. Sebenarnya ia bukan bahasa Melayu lagi.

12. Ilmu sains dan matematik bukan ilmu yang statik. Ilmu-ilmu ini berkembang sepanjang masa. Tiap hari ada hasil kaji selidik, penerokaan, ciptaan dan perluasan yang diperkenal melalui ratusan kertas-kertas yang ditulis.

13. Hampir semua ditulis dalam bahasa Inggeris. Untuk menterjemah tulisan ini kita perlu orang yang fasih dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan faham ilmu yang hendak diterjemah.

14. Kita ada beberapa kerat sahaja orang yang berkebolehan seperti ini. Itupun dalam dua tiga bidang sahaja. Orang yang layak seperti ini tidak berminat menjadi penterjemah seumur hidup. Apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Melayu, orang seperti ini tidak akan ada lagi. Bagaimanakah kita hendak ikuti perkembangan ilmu sains?

15. Sebaliknya kertas ilmiah akan terus dikeluarkan beratus-ratus lagi, semuanya dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa lain. Maka tanpa kebolehan menterjemah semua ilmu baru ini akan tertinggallah orang Melayu dalam bidang ilmu yang amat penting di zaman ini.

16. Kalau kita masih tidak dapat menerima kenyataan di atas, kaji sahaja jumlah Phd dalam bidang sains yang hanya belajar sains dalam bahasa Melayu dan tidak faham bahasa Inggeris. Berapa ramaikah daripada pakar dalam bidang perubatan yang hanya belajar dalam bahasa Melayu, tanpa buku dalam bahasa Inggeris sebagai buku teks.

17. Apakah penuntut luar bandar tidak dapat menguasai bahasa Inggeris?

18. Sekali lagi perhitungan perlu dibuat berkenaan jumlah mereka yang dari kampung yang memegang jawatan tinggi dalam Kerajaan dan swasta kerana lulus dalam bahasa Inggeris dan mampu berhujah dalam bahasa berkenaan. Yang menentang PPSMI pun dari kampung juga tetapi dapat kelulusan bahasa Inggeris. Bahkan mereka sering berbahasa Inggeris.

19. Duta dan diplomat kita, berapa ramaikah yang hanya boleh bertutur kata dalam bahasa Melayu yang memegang jawatan penting dalam Kementerian Luar?

20. Pakar sains dan perubatan dan juga pegawai tinggi Kerajaan sering dikehendaki mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa. Apakah mereka dapat berhujah dan mengambil bahagian secara berkesan dengan mengguna hanya bahasa Melayu?

21. Saya bukan hendak memandang rendah bahasa bangsa saya sendiri. Tetapi saya perlu terima hakikat yang sebenar.

22. Bahasa sesuatu bangsa akan dipelajari oleh orang asing jika bangsa itu amat maju dan terkenal dengan ilmu yang dimiliki dan diterokai olehnya. Demikian sebelum abad ke-15 Masihi orang Eropah terpaksa belajar bahasa Arab kerana tamadun Islam pada masa itu gah dan amat dihormati. Tetapi selepas orang Islam ketepikan sains, ilmu perubatan dan hisab, orang Eropah tidak lagi mempelajari bahasa Arab. Sebaliknya orang Arab dan Islam terpaksa belajar bahasa Eropah.

23. Jika kita ingin bahasa Melayu digunakan dengan meluas kita perlu majukan diri kita dalam semua bidang terutama bidang ilmu dahulu. Sebelum daripada itu minat untuk belajar bahasa Melayu akan terhad kepada sekumpulan kecil sahaja.

24. Kita belajar sains dan matematik untuk memajukan bangsa kita supaya satu hari mungkin kita akan terkenal berkenaan dengan penerokaan dan kajiselidik oleh kita dan orang lain akan belajar bahasa kita untuk mendapat ilmu yang diteroka oleh kita.

25. Penguasaan ilmu amat penting bagi masa depan seseorang. Janganlah kita perjudikan masa depan anak orang kerana kononnya kita seorang nasionalis yang begitu sayang kepada bahasa kita. Sayang bahasa tidak boleh melebihi sayang bangsa. Mereka yang sayang bangsa mereka ingin lihat bangsa mereka maju, berilmu dan dihormati dunia. Hanya kerana boleh bertuturkata dalam bahasa sendiri tidak akan menjadikan bangsa kita dihormati dan disegani orang.

26. Akan rosaklah bangsa dan negara jika dasar negara ditentukan oleh orang yang berdemonstrasi. Lebih rosak lagi jika yang berdemonstrasi didalangi oleh politik pembangkang

AnTakTau said...

bagi saya, anda silap kerana berkata

Jika alasan matematik dan sains itu datangnya dari barat maka halnya sama dengan pelajaran agama Islam bukankah ia elok diajarkan dalam bahasa Arab kerana ianya asalnya dari Tanah Arab!

Ini kerana kita mempunyai banyak ulama dan guru-guru agama yang mempunyai ilmu setaraf dengan ulama dan guru-guru agama di tanah arab.

Memang banyak pensyarah diMalaysia, dan bukanlah bermaksud merendahkan taraf pensyarah di Malaysia, tetapi lihatlah sahaja dimana Malaysia di dalam bidang sains dan teknologi? malah Malaysia telah jauh terkebelakang dari Thailand dalam bidang pertanian!

Kita mempunyai asas ilmu (yang sudah berusia berpuluh malah beratus tahun dahulu) yang setaraf dengan negara barat, tetapi inovasi dan penciptaan yang baru itu tidak setaraf mereka.

Kita hanya pengguna kepada teknologi mereka. Lihatlah apa sudah terjadi kepada M-Mobile, MakCik PC, kereta-kereta Proton dan banyak lagi hasil ciptaan Malaysia. Semua ini tidak dapat menandingi mahupun menyamai taraf negara barat.

Universiti-universiti di Malaysia boleh berbangga dengan Pingat-pingat dan Medal-medal emas yang dimenangi di peringkat antarabangsa. Tetapi persoalan timbul, adakah rakyat Malaysia tahu taraf pameran 'antarabangsa' yang disertai universiti Malaysia?

Ia seperti membandingkan Golden Globe Awards dengan Festival Filem Cannes. Hanya mereka yang didalam bidang itu sahaja yang paham, perbezaan taraf dan kualiti pertandingan tersebut...

p/s: ini pandangan dari seorang mahasiswa. diharap sebarang percanggahan pendapat tidak menimbulkan kemarahan. Saya sedang mempelajari 'ilmu kehidupan dunia sebenar'..

sinaganaga said...

Untuk info: Bahasa Manx juga telah pupus.

***

Kalau tiada buku-buku ilmu di dalam bahasa Melayu adalah alasannya - berikan sahaja 5.2 juta ringgit itu kepada ITNM untuk menterjemah buku-buku ilmu dalam pelbagai bahasa ke dalam bahasa Melayu.

Susah sangat ke?