06 March, 2009

Sesi ESQ




Dalam suram cahaya perantarapun memperkenalkan pembimbing kursus (tetapi beliau sendiri lebih gemar dianggap sebagai juruterbang) kerana beliau hanya pengendali tetapi yang membimbing adalah diri anda sendiri katanya. Lalu Sdr. Legisan Sugimin keluar membacakan

demi matahari
dan sinarnya di pagi hari
demi bulan apabila ia mengiringi

demi siang hari
bila menampakkan dirinya
demi malam apabila ia menutupi

demi langit beserta seluruh binaannya
demi bulan serta yang ada dihamparannya
demi jiwa dan seluruh penyempurnaannya


Bacaan itu sangat lunak diiringi muzik yang menenangkan dan sangat menyentuh jiwa. Ia diikuti dengan makna surah Al Iqra'lalu bermulalah sesi ESQ sebenarnya kepada peserta baru. Katanya- Tiadalah daun jatuh ditengah malam tanpa izin Allah dan tiadalah debu berterbangan tanpa izin Allah. Jika ada empat orang Allah adalah yang ke lima dan jika ada lima orang Allah adalah yang keenam, jika ada yang ramai atau lebih ramai atau terkurang dari jumlah itu Allah tetap ada di situ. Allah di mana-mana dan bersama kita.

Permulaan itu mengajak kita berfikir mengenai kewujudan alam semesta, galaksi, cakerawala serta segala ciptaanNya. Semakin jauh peserta dibawa untuk melihat asal kejadian segala ciptaan dengan kebesaranNya. Pendekatan yang cuba membetulkan persepsi bahawa IQ bukan segala-galanya untuk berjaya contohnya Matshushita di Jepun.

Kekuatan ESQ banyak bergantung kepada bantuan alat multimedia Audio dan Visual dan ia sangat memberi kesan. Sebanyak empat layar gergasi ditempatkan di hadapan peserta dan AudioVisual itu tidak pernah putus sepanjang kursus itu berlangsung. Peserta cuba diberi keadaan sunyi seketika tanpa muzik sebagaimana lazim keadaan kursus dijalankan dan ia ternyata sangat membosankan.

AudioVisual itu ternyata benar-benar membantu selain peranan cahaya di dalam dewan yang di malap malah waktu-waktunya ia dipadamkan terus dan permainan imaginasi yang sangat memberikan kesan sehingga peserta menangis. Pembimbing dibantu oleh ramai krew yang cepat bertindak apabila diperlukan oleh pembimbing dan keadaan di situ. Di situlah letaknya keluarbiasaan ESQ dari kursus-kursus yang yang pernah dihadiri. Kesan yang jarang-jarang dapat dirasai inilah yang mungkin dimaksudkan oleh rakan-rakanku sebagai sangat beruntung mereka dapat berada di situ!

Mood peserta dapat dikesan dengan pantas oleh pembimbing lalu beberapa gerakan ulangan fizikal untuk mengelakkan mereka merasa bosan dan mengantuk dibuat. Hasilnya peserta sentiasa terfokus kepada apa yang hendak sampaikan.

Seperti melihat sebuah persembahan teater anda sendiri menjadi pelakon di dalam kursus ini dan ia adalah sememangnya lakonan anda di dunia yang nyata. Kerana itu peserta diminta untuk tidak menahan rasa insaf sedih serta berdoa secara terbuka di atas kesilapan diri sendiri atas dosa yang dilakukan selama ini.

Sesuatu juga yang amat berlainan apabila peserta digalakkan salam semut iaitu bersalam dan memeluk kiri dan kanan setiap rakan yang ada di sekeliling mereka. Aku cuba bayangkan alangkah baik dan indahnya keadaan itu jika yang hadir itu adalah semua rakan-rakanku. Tentunya akan terjalin ukhuwah seperti yang dikehendaki oleh semua majikan di dunia di kalangan pekerjanya dan tentu akan runtuh banyak tembok-tembok keegoaan yang wujud di kalangan pekerja . Ini tentunya akan memudahkan pekerjaan mereka dan urusan organisasi keseluruhannya.

Menurut Dato Hussamuddin keberkesanan kursus itu melihatkan bagaimana surau yang sunyi di tempat kerjanya telah penuh dengan jamaah dan sembahyang terpaksa dibuat sebanyak empat pusingan. Kini usaha untuk membesarkan surau pula sedang dijalankan.

No comments: