02 March, 2009

Kanvas kehidupan - Jika anda di sapa Alam

Apa yang anda faham jika saya kata di sapa alam? Maksudnya begini jika anda berjalan di bawah pohon pinang tiba-tiba sebiji buah pinang jatuh di hadapan anda. Atau jika anda duduk atau berada berhampiran dengan sebuah pohon tiba-tiba sehelai daun jatuh di riba anda tentu anda akan berfikir dan berfikir sehingga anda gagal menemui apakah maksudnya.

Saya pernah dihinggapi seekor kupu-kupu ketika sedang berbicara dengan teman. Apa lagi saya terus terasa diri saya sungguh sempurna ketika itu kerana kupu-kupu yang cantik pun suka dan hinggap di bahu.

Lain pula dengan peristiwa seorang teman yang sedang berjalan dengan saya tiba-tiba diberak oleh seekor burung gagak di atas kepalanya. Saya terdetik di dalam hati seperti sial akan menimpa dia hari itu. Tapi itu cuma anggapan kita sahaja. Saya tidak pula ingin mengetahui apakah benar anggapan saya itu setelah hari itu berlalu kepada teman saya.

Pernah suatu hari sedang saya makan di sebuah kedai kerana asyik menikmati makanan itu saya menanggalkan sebelah dari sandal saya ketika itu datang seekor kucing menggeselkan badannya pada betis saya. Kucing manja fikir saya. Dan lebih dari itu saya fikir kucing itu akan duduk di atas sandal saya kerana kedinginan malam. Sangkaan saya meleset sekali kerana kucing itu datang menjadikan sandal saya sebagai tandasnya. Dia kencing di atas sandal saya!
Saya cuma melihat dan tidak menendang kucing itu. Pelanggan lain turut memandang peristiwa itu dan mereka senyum sahaja. Anda tahu kenapa saya tidak menendang kucing itu kerana arwah bapa saya pernah bercerita kepada saya mengenai cerita rasulullah ketika hendak mengerjakan solat di sudut sehelai sejadah ada seekor kucing sedang tidur. Lalu Baginda mengambil gunting dan menggunting bahagian tempat kucing itu tidur dan baginda mengambil sejadah itu dan bersembahyang di tempat lain.

No comments: