15 June, 2009

Di Malam The Frankincense-Mana Setangginya dilancarkan



Gambar atas: Pengerusi ITNM dan SN Prof. Muhammad Haji Salleh, Pn Jurina dan Pn Siti Rafiah. Gambar 2 kiri: Pelakon yang menjayakan persembahan teater Mana Setangginya. Gambar 3 kanan: SN Dato' Noordin Hassan sewaktu pelancaran Mana Setangginya.

Pelancaran Buku The Frankincense karya Dato' Noordin Hassan telah disempurnakan oleh Dato' Saifuddin Abdullah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di pentas teater Panggung Sari, Istana Budaya.

Dengan gimik pelancaran yang sederhana buku itu dilancarkan oleh Dato' Saifuddin Abdullah yang kerap memberi sokongan kepada pelancaran buku dan program anjuran ITNM. Sebelum itu Encik Mohd Khair Ngadiron dalam ucapan awal menyifatkan Dato' Noordin mempunyai semangat seorang pejuang yang menang setelah sepuluh tahun teater Mana Setangginya kembali semula ke Istana Budaya.

Terjemahan The Frankincense merupakan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 di mana ITNM akan menterjemahkan seratus judul karya sastera ke bahasa asing untuk di ketengahkan ke peringkat antarabangsa.

Apa yang membanggakan ialah naskhah Mana Setangginya ini dapat diterjemahkan dalam waktu tidak sampai sebulan setelah mengetahui naskhah Mana Setangginya akan dipentaskan. Ucapan tahniah disampaikan kepada dua penterjemahnya Sdr. Mohd Bahadun dan Sdr. Malim Ghozali Pk. Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada penaja tiket iaitu Attin Press dan 3F Resources untuk jemputan.

Yang Berhormat Dato' Saifuddin dalam ucapannya pula berkata bukan mudah mencari aktivis yang tahan lama untuk berkarya dan lebih sukar lagi mencari pemikir seperti Dato' Noordin Hassan. Ia adalah langkah yang tepat apabila ITNM menterjemah dan membawanya ke persada antarabangsa.

Proses penterjemahan berlaku dengak agak menarik apabila dalam masa tidak sampai sebulan buku dapat diterbitkan. Dato' Saifuddin menyeru semangat dan kecekapan tiga pihak ini ( ITNM, IB dan Dato' Nordin) dapat dicontohi oleh ahli-ahli politik yang lain.

Pementasan Mana setangginya selepas itu ditonton oleh Sasterawan Negara lain yang hadir seperti Prof. Muhammad Haji Salleh dan sebahagian pemenang S.E.A Write Award yang lain seperti Dato' Baha zain, Dato' Anwar Ridhwan, Dato' Kemala, Dr. Zurina Hassan, Sdr. Zakaria Ariffin, Azizi Haji Abdullah dan lain-lain penulis.