22 June, 2009

Kanvas Kehidupan - Hutang

Jijah memang kepoh. Jijah juga yang mencadangkan Temah meminjam dari Kiah sebab Jijah kata dia tak ada duit. Sebenarnya kalau orang tengok Jijah orang tak kata Jijah tak ada duit sebab pakaian Jijah, kereta Jijah dan cakap besar Jijah memang macam orang kaya. Yang pelik bila orang nak pinjam duit Jijah halakan pada Kiah. Jijah kata Kiah banyak duit.

Padahal Kiah itu macam biasa-biasa sahaja. Entah betul ataupun tidak siapapun tak tahu sebab Kiah memang tak suka nunjuk-nunjuk atau Kiah yang kedekut pada diri sendiri. Kiah tak tahu Temah datang padanya sebab Jijah yang suruh. Temah dah pinjam dari Kiah sebab Kiah kasihan lihat muka seposen Temah yang datang kepadanya.

Hari ini dah dua tahun Temah meminjam dan dia tak ingat-ingat nak bayar balik pada Kiah. Temah pun memang suka melaram. Dia pun nak ikut Jijah juga. Kiah memang nampak orang kelilingnya macam banyak duit termasuk orang-orang yang berhutang dengannya tapi Kiah bukan jenis orang yang datang tuntut hutang.

Kiah kuat dengan pegangan agama walaupun mulutnya kadang-kala pedas. Kata Kiah orang Islam wajib tolong saudaranya yang susah. Tetapi bukanlah tanggungjawab si pemiutang pergi menuntut hutang pula. Sebab pemiutang tidak akan pernah tahu keadaan kewangan penghutangnya.

Hari itu Jijah rasa dengki bila dengar Temah ada banyak duit sebab dapat rezeki terpijak. Temah bilang dia nak beli barang kemas. Jijah jadi dengki. Dia pergi tanya pada Kiah sama ada Temah dah bayar hutang Kiah. Kiah Terperanjat sebab dari mana Jijah tahu Temah berhutang dengannya. Sah-sahlah Jijah yang suruh Temah berhutang dengannya suatu waktu dahulu.

Petang itu tembelang Jijah pecah. Jijah malu dan minta maaf pada Kiah. Jijah kasihan pada Kiah. Kasihan atau dengki pada Temah sebenarnya? Jijah suruh Kiah pergi tuntut hutang pada Temah. Tapi Kiah tidak mahu. Kiah cakap itu bukan dirinya pergi menagih hutang.Tapi Kiah tetap sabar dan ingin lihat sahaja sama ada Temah akan datang dan bayar hutang kepadanya. Tinggallah Jijah dalam keadaan serba salah!

No comments: