09 June, 2009

Seminar Pemikiran SN Arena Wati DBP

Hangat berseminar!
Kalau bercakap mengenai seminar rasanya siapa yang pernah berseminar dah tahu keadaannya. Ia adalah klise dan standard tetapi hari ini seminar yang saya ikuti mungkin berbeda sedikit kerana ada adegan panas.

Seperti yang kita maklum Allahyarham Arena Wati berasal dari Makasar-bugis. Dalam sesi yang berlangsung hari ini maka rombongan dari Makasar seramai 16 orang telah datang kerana kecintaan mereka terhadap Pak Arena termasuk Prof Dr. Nurhayati dari Universiti Makasar yang memang rapat dengan Allahyarham. Beliau memang pernah secara langung berdampingan dengan allahyarham ketika arwah ke sana bagi mendapatkan fakta-fakta untuk penulisannya.

Hari ini dalam sesi soal jawab maka bangunlah seorang peserta dari sana dan bercakap mengenai falsafah orang Makasar iaitu ujung lidah, ujung pena dan ujung kemaluan dan mengaitkan falsafah itu telah digunakan oleh Arena Wati dan berjaya menjadikan seorang yang sukses.

Tidak disangka-sangka selepas beberapa ketika bangun pula anak Arena Wati yang tersinggung dengan falsafah itu (falsafah yang ketiga itu) lalu menuntut peserta itu memohon maaf kepada ibu Halimah balu Allahyarham yang juga hadir hari ini. Suasana di balai seminar hening dan kaku melihat kejadian lantaran perbezaan budaya. Begitu juga saya yang simpati kepada keduanya lebih-lebih lagi peserta itu yang terpaksa melutut dan memohon maaf kepada ibu Halimah. Belum pun tamat sesi pada pagi itu saya tidak nampak lagi kelibat peserta itu.

Maka begitulah keadaannya apabila miscommunicatian kata Prof Dr. Nurhayati (dari Makasar juga) yang memohon maaf bagi pihak. Pepatah Melayu ada mengatakan kerana mulut badan binasa. Saya sendiri orang kelantan menyedari ada perkataan-perkataan dialek kelantan yang jika dituturkan akan memberikan kesan negatif kepada pendengar dari negeri lain.

Sebagai contoh saya mengatakan patat puyuk bermakna pantat periuk-ia merujuk kepada dasar periuk dan bukan sesuatu yang mencarut. Nasib saya baik kerana budaya saya hampir dengan dengan budaya di tempat saya bekerja sekarang. Saya dengan cepat dapat menyesuaikan atau mengelakkan perkataan itu jika saya fikir ia memalukan orang mendengarnya. Tetapi amat malang bagi peserta tadi tidak dapat mengelaknya dan telah menimbulkan kemarahan waris Allahyarham.

Saya melihat ibu Halimah sangat pintar dan berhemah kerana mengambil kesempatan selepas kejadian itu bangun dan menasihati yang ada ketika itu supaya tidak mudah mengikut nafsu amarah yang ada kerana perbezaan budaya dan falsafah. Perkahwinannya adalah perkahwinan dua negara, dua budaya. Dan perkahwinan itu merupakan jambatan persahabatan Tanah Melayu dan Indonesia supaya dua negara dapat berhubungan bukan sahaja melalui sastera. Beliau tidak mahu hanya kerana sedikit pertelingkahan akan menjejaskan hubungan yang sedia ada.

Saya
tersenyum melihat Suriani ketakutan kerana beliau paling hampir dengan kejadian itu. Lain kali duduk jauh sikit dari microphone! Nasib baik tak ada adegan belasah-belasah.