18 June, 2009

Kanvas Kehidupan- Jerat Tidak pernah lupakan Pelanduk

Aini baru sahaja meletakkan ganggang telefonnya. Tapi sejak meletakkan telefon itu dia termenung sahaja. Konsentrasinya terhadap kerjanya tadi telah terganggu. Malah hilang langsung. Dia terkulat-kulat di stesen kerjanya tidak tahu apa yang dia nak buat.

Fikirannya melayang teringatkan suara kenalan lamanya tadi di telefon, Mastura. Lebih sepuluh tahun dia tidak sepejabat dengan Mastura. Rezekinya di tempat kerja barunya sekarang. Suami Mastura - Zul baru sahaja bekerja di tempatnya. Sejak itu Mastura sering menelefon untuk bercakap dengan suaminya Zul.

Ada sesuatu yang terbuku di hati Aini dengan Mastura. Beberapa tahun lalu Mastura pernah menelefon ke pejabat Aini hendak bercakap dengan ketua Aini. Malangnya ketua Aini tiada dan Ainilah yang menjawab bagi pihak ketuanya. Aini memang tahu permasalahan yang diperkatakan oleh Mastura sebab itu dia berani menjawab masalah yang dikemukakan Mastura.

Sayangnya Mastura bukan bertujuan baik dia menelefon semata-mata untuk menyalahkan syarikat tempat Aini bekerja. Apabila Aini cuba menerangkan kedudukan masalahnya Mastura tidak mahu mendengarnya dan dia terus meletakkan telefonnya. Aini menjadi sangat-sangat tidak berpuas hati dan terbuku di hatinya terhadap teman lama yang bertindak melulu begitu.

Imbuhan kepada kesabarannya yang cuba menerangkan masalah sebenar kepada sahabatnya hanya berbalas dengan sakit hati. Itulah yang di simpan oleh Aini dan dia tidak akan dapat melupakan sampai bila-bila.

Sebab itulah apabila berbual dengan Mastura tadi nadanya tidak lagi begitu mesra sebagaimana dahulu walaupun dia tahu dan kenal benar dengan suara Mastura. Dia cuma melayan seadanya sahaja. Pernah Zul datang kepadanya dan bertanya sama ada Aini cam dengan suara Mastura. Aini mengangguk tanda dia kenal. Dan pernah Zul berbisik kepadanya katanya "Jika Aini tahu itu suara Mastura pasti nadanya tidak seperti itu." Aini cuma tersenyum kelat membuatkan Zul bertambah hairan!

Begitulah ceritanya apabila kita melukakan hati sesorang kita pasti tidak akan mengingatinya tetapi orang yang pernah terguris dek perbuatan kita tidak akan pernah lupa dengan apa yang kita buat meskipun dia telah memaafkannya seperti kata pepatah " Jerat tidak pernah lupakan pelanduk meskipun pelanduk selalu lupakan jerat!