01 January, 2009

Selamat Tinggal 2008 dan Selamat datang 2009

Tahun 2008 telah melabuhkan tirainya dan 2009 menanti kita untuk mencorakkan warna dan cerita di atasnya. Soalan lazim ditanya menjelang tahun baru ialah mengenai azam. Dan jawapan standard yang diterima tentulah inginkan sesuatu yang lebih baik dari tahun sebelumnya.

Biarlah soalan dan jawapan itu sebab kita sentiasa mahu yang lebih baik. Tetapi saya tetap percaya setiap dari kita mempunyai impian di hati apa yang ingin diperolehi pada tahun ini. Cuma tidak dinyatakan apa yang sebenarnya bimbang tidak tercapai kerana itulah lahir jawapan yang klise itu.

Berapa ramai sebenarnya yang mengejar cita-cita yang dipasang sewaktu menjelang tahun baru itu? Dan berapa ramai pula yang cuma menjadikan impian diawal tahun baru sekadar syarat jawapan kepada soalan yang ditanya!

Pernahkah anda mendengar jawapan seperti azam tahun baru ialah untuk mencapai cita-cita yang belum tercapai pada tahun lepas dan jika tidak tercapai pada tahun ini ia akan dibawa pada tahun hadapan. Seperti hutang yang tidak pernah langsai.

Mungkin lebih baik kita kita melupakan sahaja cerita pada tahun lepas dan buka lembaran baru jalan cerita yang baru. Kerana jika kita menyambung-nyambung cerita yang lama ia akan menjadikan kita terus berkhayal dengan kejayaan lama dan kedukaan lama dan ini 'Never Ending Story'.

Saya juga tertanya-tanya mengapa setiap kali menjelang tahun baru orang akan sibuk dengan azam. Siapa yang ingin semak sama ada anda berjaya atau tidak. Diri sendiri sahaja yang tahu dan tidak perlu diheboh-hebohkan. Soalan mengenainya menjadi sinonim dengan ketibaan tahun baru.

Daripada sibuk berfikir perkara yang indah-indah yang bakal dicapai di hari yang akan datang mungkin lebih berfaedah jika kita bermuhasabah diri mengenangkan apa yang telah kita lakukan pada tahun lepas. Menginsafi kekurangan dan kelemahan diri yang menyebabkan orang lain menjadi tidak berpuashati terhadap diri kita.

Akhir kata saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2009 kepada semua pembaca blog enche's. Tolehlah ke belakang dan lihatlah lompang-lompang yang tinggal. Berjalan terus pada tahun ini dan pastikan anda tidak meninggalkan lompang-lompang lagi. Sentiasalah berdoa agar kita terus hidup di dalam keberkatan dan mendapat rahmat dariNya selalu.

Mohon maaf seandainya ada perkara yang disentuh di dalam blog ini sepanjang tahun 2008 mengguris hati dan nurani anda. Aku insan biasa. Ucapan terima kasih juga di atas sokongan berbentuk kritikan dan sumbangan idea dari anda.

Enche's

No comments: