15 January, 2009

Seronok atau Panik?




Pagi semalam aku tidak dapat mengesan emosiku bagaimana, seronok, bingung, terperanjat atau panik? Semuanya kerana seawal jam 8.00 pagi ketika melangkah ke kereta aku dikejutkan dengan kelibat seekor kera yang berjalan turun dan melintas jalan dari blok hadapanku ke blok yang aku tinggal.

Selama tinggal di situ 7 tahun lalu aku tidak pernah melihat haiwan itu di mana-mana kecuali mendengar cerita ia banyak berkeliaran di kediaman temanku di Sri Melor. Kera-kera itu bukan sahaja berkeliaran malah pandai masuk ke dalam rumah mengambil makanan dan meninggalkan sisa yang bersepah di dalam rumah.

Cerita seekor kera berjalan melintas jalan dan sebelum itu sempat memanjat Pokok Tanjung memetik buahnya sebelum meneruskan perjalanannya ke blok hadapan telah mencuri perhatianku untuk terus melekat di dalam kereta beberapa ketika. Aku menoleh ke kiri dan ke kanan untuk berkongsi apa yang aku lihat.

Malang sekali tiada siapa di kiri dan kananku. Dari seekor kera aku melihat ada 5 ekor lagi yang berbaris-baris pagi itu menuju ketempat yang sama. Aku menjadi risau bagaimana kalau kera itu bertindak nakal memanjat dan masuk kedalam rumah jiranku yang kebetulan tingkapnya ternganga luas pagi itu.

Aku tahu ada seorang suri rumah bersama seorang anak kecil di dalam rumah itu. Si suami kulihat berjalan menuju ke keretanya yang berhampiran dengan keretaku. Lalu aku mengambil kesempatan melambainya dan terus menunjukkan ke arah kera-kera yang sedang berpesta dengan memanjat saluran air di bangunan Sri Kayangan.

Melihat keadaan itu Si suami terus menjerit-jerit memanggil Si isteri agar segera menutup tingkapnya. Bayangkan apa yang akan terjadi kepada anda ketika sedang anda nyenyak menyambung tidur di pagi hari tetiba beberapa ekor kera memberi salam dan melompat-lompat di katil anda?

Jangan mudah panik kerana perbuatan tersebut hanya membuatkan haiwan tersebut merasa terancam. Haiwan apa sekalipun akan bertindak ganas dan melawan bagi mempertahankan dirinya dalam keadaan terdesak. Cubalah bertenang dan carilah sesuatu dan jadikan senjata. Buka pintu rumah atau tingkap yang lain dan halau perlahan-lahan.

No comments: