30 Januari 2009
Sesekali aku terfikir alangkah baiknya juga jikalau aku meletakkan hasil kerja seni tampak yang telah aku tinggalkan sekian lama dahulu. Lama sungguh sudah aku tinggalkan berus dan cat warna sedangkan dahulu itulah kegemaranku. Jika hendak dikira tahun ia mungkin sudah melebihi 15 tahun semenjak aku meninggalkan DBP.
Di alam remajaku dan di sekolah, akulah Sang Juara dengan berus dan warna dan pernah beberapa kali aku memenangi pertandingan lukisan di peringkat negeri dan kebangsaan. Kemanisan kemenangan itu menjadi memori yang tidak pernah aku lupakan. Sehingga aku pernah menjadi guru kepada rakan-rakan, kakak dan abangku sendiri yang ingin mengambil peperiksaan di dalam subjek itu.
Minggu itu entah kenapa naluriku seperti memaksa aku melakukan kegemaran yang telah lama aku tinggalkan. Seperti ingin memberitahuku bahawa aku telah melupakan suatu anugerah yang telah diberikan kepadaku. Aku mengikut kata hati keluar pada pagi itu dan singgah di kedai yang menjual alat-alat lukisan di Taman Melawati.
Setelah berjaya membeli apa yang dihajati aku tersenyum puas melihat barangan itu walau aku belum pun memulakan langkah menghasilkan catan. Teruja, suspen dan gerun pun ada untuk melihat hasil pertama setelah lama bertapa! Nanti kita lihat apa hasilnya.
No comments:
Post a Comment