03 January, 2009

Yad Menjalani Pembedahan Kecil




Hari ini Yad (Ziyad-anak saudara yang manja denganku) melalui pembedahan kecil membuang ketumbuhan pada lengan sebelah kiri. Ketumbuhan itu semakin lama semakin membesar dan nampak seperti semakin memudaratkannya. Tepat jam 2.30 petang Yad dimasukkan ke Operation Theatre Complex dan 4.06 petang dia dikeluarkan dari situ.

Pada mula untuk membuang ketumbuhan sahaja pada bahu/lengan kiri tetapi atas cadangan Doktor, Yad disunatkan sekali memandangkan Yad dibius dan tidak sedarkan diri. Kagum dengan Yad (5 tahun) sedikitpun tidak menunjukkan rasa gentar ketika menjejakkan kaki ke Hospital Pakar di Bangi.

Aku dan ibubapanya beberapa kali bertanya kepadanya untuk mengetahui sama ada dia faham tujuan dia di bawa ke situ. Memang dia faham 'Nak buang sini' sambil menunjukkan pada lengan 'dan nak potong sini' sambil tunjukkan pada 'burungnya'.

Sedar dari pengsan Yad kelihatan lemah dan masih pening. Yad tidak menangis walaupun ubat bius makin menghilang dan kesakitan makin terasa. Yad cuma pejam mata menahan sakit dan untuk pertama kali Yad minta air kosong setelah dipaksa berpuasa dari pagi.

Maafkan Ayah Lah kerana terpaksa pulang awal. Ayah Lah ada jemputan kawan Ayah Lah buka restoran malam ni. Ayah Lah doa agar Yad cepat sembuh dan cepat dewasa. Ayah Lah sayang Yad dan adik adik.

No comments: