Misteri I
Aku selamat sampai di KL central. Jam menunjukkan tepat pukul 10.15 pagi. Ketika aku melangkah keluar dari LRT Putra. Sebentar tadi aku dihantar oleh seorang teman ke stesen LRT. Tanpa melengahkan masa aku berjalan pantas mencari terminal SKY Bus yang akan membawa aku ke LCCT. Aku mesti tiba di sana satu jam sebelum waktu berlepas iaitu 1.40 petang. Alhamdulillah semuanya seperti dirancang
Empat jam selepas itu aku tiba Lapangan terbang Sultan Ismail Kota Bharu. Cepat-cepat aku mencari telefon bimbitku untuk dihidupkan.
Assalamualaikum. Sarah anak kepada Nain/Julie telah meninggal dunia tengahari tadi di hospital damai Melawati. Minta tolong sampaikan pada kenalan yang lain (28/06/2008. 1:31pm. Bud).
Mesej pertama aku dapat. Innalillah…
Sarah tu anak Abang Nain yang ke 3 meninggal ketika kanak-kanak. Dan dalam usia yang hampir sama. Bila aku menelefon Bud katanya penyakit yang sama seperti arwah abang-abangnya iaitu masalah berkaitan jantung!
Salam Takziah Abang Nain. Maafkan aku di Kampung sekarang.
Misteri 2
Dari lapangan terbang aku dijemput oleh adik dan iparku. Hari sabtu kebetulan dia sibuk mengambil dan menghantar anak-anaknya ke tusyen jadi kesempatan itu aku dapat berjumpa dengan semua anak-anak saudara kesayanganku.
Tiba di rumah aku memberi salam. Kakakku telah lama menunggu di rumah untuk berjumpa denganku. selepas bersalam dengannya aku melihat Umi terbaring di ruang tamu. Aku mendekatinya dan duduk di tempat perbaringannya. Siksa aku melihat penderitaan sakit belakangnya setiap kali dia ingin bangun dan baring. Kucium tangan dan pipi Umi. Kulihat bibir dan gusi Umi biru. Kali ni aku dapat rasakan sakitnya tidak seperti selalu. Aku dengar apa yang cuba Umi katakan walaupun kadang-kadang aku tak faham.
9-30 malam aku sudah tak tahan lagi. Kepala ku dah mulai sakit kerana menahan mengantuk. Adik perempuan ku Saba datang pun aku dah tak larat untuk bangun lagi. Kepalaku betul-betul sudah pusing!
Esoknya apabila bangun aku menelefon Saba memohon maaf. Takpe. Katanya dia faham. Semalam katanya ada tetamu datang bersama abangku yang sulung, merawat batin untuk Umi setelah beberapa siri rawatan moden kurang memberi kesan pada kesihatan Umi. Patutlah pagi ni aku lihat Umi bangun seawal pagi membuat kerja-kerja ringan di dapur. Lain sungguh dengan Umi yang aku jumpa petang semalam dan sebelum tidurku. Sungguh berbeza. Bibirnya tidak lagi biru. Sudah berselera makan. Alhamdulillah.
Misteri 3
Hari ke-2 aku mengambil keputusan untuk bertemu dengan rakan lama. Kebetulan pejabatnya tidak jauh dari rumahku. Boleh berjalan kaki sahaja ke pejabatnya. Hampir sejam menunggu di kedai mamak yang ‘tidak menyediakan hidangan berasaskan daging’ akhirnya kawan lama itu muncul ketika minuman teh O ku sudah hampir habis.
Lama juga berborak. Dia berkata hidupnya sudah jauh berubah dari kehidupan dahulu akhirnya dia mahu berkongsi cerita denganku saat dia ‘kehilangan nyata’ buat beberapa saat di suatu malam. Sambil meminta aku tidak menghebahkannya kerana segan (tapi aku berfikir apa salahnya jika kita berkongsi bagaimana jalan ‘hidayah’ itu Allah berikan. Seperti Ogy Ahmad Daud mendapat hidayah apabila mendengar suara ketika berada di Kaabah.) Ketika mendapat kembali 'nafasnya' ia seperti satu peluang semula dan kehidupan baru baginya.
Saat itu memang tidak bisa dilupakannya hingga ke hari ini. Katanya malam itu dia tidak bisa melelapkan mata. Terjaga dari lena pasti dia akan mengerjakan sembahyang sunat dan bersulam zikir. Sudah tidak begitu ghairah dengan kesementaraan ini!
Itulah misteri-misteri alam. Jika anda mempunyai misteri untuk dikongsi hubungilah Jabatan Hal Ehwal Misteri Negara di wwwenche.blogspot.com. Sekadar coretan supaya anda tahu di sebalik yang nyata tersirat sesuatu untuk selalu difikirkan.
No comments:
Post a Comment