Sepohon Kayu
(Saujana)
Sepohon kayu daunnya rimbun
Lebat bunganya serta buahnya
Walaupun hidup seribu tahun
Kalau tak sembahyang apa gunanya...
Tentu anda merasa hairan dengan lirik lagu tersebut. Ia bukanlah sebuah lagu baru malah ketika dinyanyikan semula oleh kumpulan Saujana lagu ini sudah pun popular ketika zaman kecilku. Sering dinyanyikan oleh kumpulan nasyid ketika pertandingan Musabaqah membaca Al Quran (sekarang di panggil Tilawah Al Quran).Untuk apa aku panggil dia ke sini?
Sepohon kayu seperti mengapai ingatan ku ketika aku mendengar sebuah puisi Allahyarham Usman Awang-Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya yang dibacakan oleh puteri-puteri Dr. Victor A. Pogadaev. Sebenarnya cerita sepohon kayu telah lama ada dibenak fikiranku. Setiap hari aku melalui laman sekangkang kera milik sepohon kayu di pangsapuriku.
Dan setiap kali melalui laman pohon kayu itu aku seolah-olah mendengar ucapan terima kasih dan seakan-akan ia mengucap salam kepadaku setiap hari. Aku bukanlah manusia maksum sehinggakan boleh mendengar dan merasakan semua itu. Tetapi aku dapat merasakan kedamaian itu setiap kali melaluinya dan merasa redup di bawahnya.
Tidak pernah aku ceritakan pada sesiapa hal ini. Kerana bimbang aku dikatakan... Tetapi setelah aku menghadiri satu kursus yang ada menyentuh mengenai Amalan Berkasih Sayang Sesama Insan tempoh hari barulah aku diingatkan kembali tentang tanggungjawab kita terhadap alam sekitar.
Mengingatkan kembali kata-kata Ustazah kepada mereka yang suka merokok (maaflah teman-teman yang merokok ya anggap saja aku tak sengaja menyatakan ini semua dan korang pekakkan telinga sambil teruskan bacaan ini).
Besok bila kita telah meninggal dunia dan ketika semua amalan telah dihitung lalu kita berjalan masuk ke Syurga tiba-tiba udara bersuara “Ya Allah tahan orang itu dari masuk syurga kerana ia telah merosakkan aku ketika di dunia!” aku tersentak mendengarnya. Begitukah sekali keadaannya?
Allahualam. Cerita sepohon kayu ku masih belum bermula. Tujuh tahun dahulu ketika baru berpindah ke kediamanku, biasalah landskap perumahan ku ditanam dengan pohon-pohon yang remaja. Pelbagai jenis di pelbagai sudut. Namun yang menjadi perhatian ku setiap hari ialah terhadap pohon kayu di hadapan rumah ku.
Si pohon ini menerima pelbagai dugaan untuk hidup seperti anak-anak penyu yang baru dilepaskan ke laut. Setiap hari pohon yang setinggi dua kali kanak-kanak dengan batang yang masih lembut di dera oleh kanak-kanak yang tinggal atau datang ke situ.
Pernah suatu ketika pohon itu diliutkan pucuknya hingga menyembah bumi. Dan ibu bapa kanak-kanak tersebut cuma memandang sahaja kelakuan nakal anak-anaknya. Aku yang kebetulan ada di situ terus terasa panas dengan pemandangan itu
“Dik tak boleh tengok pokok tu tumbuh cantik ke?”
Aku tahu tentulah kanak-kanak tidak faham dengan bahasa berkias tu. Tetapi ibu bapanya yang ada memerhatikan dari tadi terus melarang anaknya tiba-tiba. Mungkin terasa aku memerlinya. Tak apalah aku bersikap keras sedikit terhadap orang yang tiada kesedaran terhadap alam sekelilingnya.
Allah tidak jadikan sesuatu dengan sia-sia. Kita perlukan tanaman dan tanaman juga perlukan kita. Tanaman memberikan sesuatu yang kita tidak nampak kepada kita setiap hari dan yang tidak nampak itulah sebenarnya menyambung nyawa kita untuk terus hidup. Tetapi kita lupa kerana tanaman tidak pernah minta untuk bersuara dan melakukan protes terhadap kita.
Dan yang paling mudah saja untuk difikirkan untuk apa pohon itu ditanamkan di situ dan untuk apa pula diupah orang menyiramnya saban minggu? Semua itu barang kali amat remeh untuk difikirkan
Siri penderaan ke atas pohon tadi tidak berterusan di situ sahaja. Ada ketikanya juga remaja-remaja yang aku dah tak tahu nak panggil perempuan ke apa sanggup memanjat pohon kayu yang muda itu juga sehingga bergegar-gegar pohon itu menangis. Bukan seorang tetapi tiga orang. Kali ini aku jerit sahaja dan bergelimpangan mereka turun dan melarikan diri.
Sejak itu aku tidak lagi melihat ada musuh-musuh pohon kayu itu datang walaupun mereka mungkin datang untuk menyakiti pohon kayu itu ketika aku keluar bekerja. Pernah juga aku melihat kesuraman pohon itu dan bila aku dekati kulihat kulit-kulit pohon itu tersiat dek tangan-tangan nakal. Lalu aku palitkan lumpur pada lukanya kerana itu sahaja yang aku mampu.
Kini pohon itu telah dewasa, sudah tegap dan rimbun daunnya sudah boleh meredupkan ibuku di bawahnya yang datang sekali sekala ke sini. Sudah pandai berbunga dan berbuah. Pohon itu sudah comel dan sudah boleh berdikari.
Aku cuma ingin tunggu pohon itu dewasa sedikit dan bertanyakan mengenai pemanasan global dan apa yang pohon itu boleh buat?
No comments:
Post a Comment