Malam Sebutir Bintang dalam Kenangan berlangsung dengan meriah dan lancar. Seperti yang diharapkan cuaca dingin sekali kerana pada petangnya hujan telah turun. Walaupun kipas tidak dapat disediakan untuk semua tempat tetapi kedinginan selepas hujan turun cukup untuk mendinginkan hati yang hadir untuk terus berada dan terpaku di bangku masing-masing.
Kehadiran penonton untuk memeriahkan acara amat memuaskan sekali dan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Razali Ismail (Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia), Dato Dr. Wan Hashim Wan Teh (Pengerusi ITNM) dan Dato’ Abdul Aziz Abdul Rahman (Mantan Pengerusi ITNM) telah disambut oleh kami termasuk Pengerusi ITNM Mohd Khair Ngadiron yang telah bersedia sejak dari petang lagi.
Aku telah diletakkan dalam pasukan penyambut tetamu bagi mengalu-alukan kedatangan hadirin. Suatu ketika aku menjadi panik kerana tempat-tempat strategik telah pun penuh dan aku melihat penyanyi pujaan hatiku yang pernah menyinar dahulu Uji Rashid dan anak bujangnya Cico datang sejurus sebelum VVIP mengambil tempat.
Nasib baik aku cepat merasakan masih ada tempat paling hadapan di sebelah kiri pentas. Di situ juga pelakon Danny X-Factor berada tetapi kemudiannya berpindah ke tempat duduk belakang. Aku akhirnya bersama teman mengambil tempat di barisan kedua belakang tempat duduk Uji Rashid menyaksikan persembahan(dengan harapan dapat mendengar dia menyanyi-nyanyi kecil-tetapi sudahnya aku aje yang duk menyanyi lagu-lagunya dalam hati).
Terdetik juga kekecewaan kerana beberapa nama yang ada dalam fikiranku yang telah ku kirimkan pesanan ringkas tidak memunculkan diri walaupun pada awalnya berjanji untuk hadir. Tidak mengapalah bukan rezeki mereka untuk menikmati seni pada malam itu. Untuk melahirkan seni perlukan keikhlasan dan untuk menghayati seni juga perlukan keikhlasan. Biarlah mereka yang benar-benar ikhlas yang ada pada malam itu.
Ketika pertengahan persembahan rakan ku mencuit bahuku menunjukkan arah sebelah kanan pentas sedang berdiri Pyanhabib. Namun ketika itu aku sudah tidak dapat berbuat apa-apa kerana tempat telah betul-betul penuh dan untuk menyeberang ke sana adalah sesuatu yang mustahil kerana majlis telahpun bermula.
Antara yang menjadi memori ialah tayangan video dan sedutan beberapa puisi ciptaan Allahyarham sepanjang penglibatannya dalam bidang sastera. Sungguh tinggi gubahan bahasa-bahasa puisinya dan besar dan sensitifnya pemikiran Allahyarham terhadap isu-isu semasa tempatan dan sejagat, semuanya terakam dalam karya-karyanya. Itulah dia sastera merakamkan sejarah budaya dan peradapan masyarakat pada satu-satu waktu.
Selepas itu ucapan dari itu anak Allahyarham tampil ke pentas untuk membuat ucapan. Tetapi dek kerana terkesan dengan tayangan video menyebabkan hatinya tersentuh dan ketika berada di atas pentas matanya masih tergenang dengan airmata. Puan Haslina memohon maaf kerana emosinya tersentuh dan mengambil masa beberapa saat dan mengesat airmata yang hadir dan tidak mampu ditahannya. Sambil mengakhiri ucapan dengan berterima kasih kepada ITNM kerana sudi bekerjasama beliau berharap dua buah buku yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada malam itu, Jiwa Hamba The Enslaved Soul dan Scattered Bones mendapat sambutan dari masyarakat sebagai sokongan kepada perjuangan seni bapanya.
Aku tidak berkesempatan untuk melihat buku-buku tersebut pada malam tadi kerana tidak mahu terlepas menikmati keindahan bahasa-bahasa puitis dalam acara-acara yang dihidangkan. Makan pun terpaksa curi-curi waktu dan ala kadar sahaja itupun di akhir waktu saat-saat caterer sedang mengemaskan semua hidangan dan majlis hampir ke penghujungnya.
Di lain post aku akan siarkan wajah kedua-dua buku tersebut untuk tatapan anda. Dan jangan lupa dapatkan pesanan anda.
Satu perkataan tentulah tidak dapat menerangkan apa yang terdapat dalam satu gambar itu. Dengan itu lihat sahaja gambar menarik sekitar persembahan malam tadi.
No comments:
Post a Comment