30 July, 2008

Patriot di Istana Budaya


Hari itu saya berkesempatan hadir ke pratonton teater Muzikal Patriot untuk media di Istana Budaya. Saya menerima jemputan dari pelakon teater tersebut. Dalam waktu yang amat terhad saya bersetuju untuk hadir bersama dua orang lagi rakan.

Melihatkan judulnya Patriot tentunya saya membayangkan ia sebuah naskhah yang hebat sempena sambutan hari pahlawan dan menjelang negara menyambut kemerdekaan yang ke 51, tentunya akan membawa kisah anak bangsa dengan semangat juang mempertahankan negara tercinta dari penjajahan orang asing. Dengan anggapan ia sarat dengan mesej perjuangan. Namun hingga ke separuh masa kedua saya masih tercari-cari di mana bahagian patriotik itu hingga saya bercakap sendirian kerana kedua-dua rakan telah tertidur dengan nyenyak sekali. Itulah kelucuan saya sewaktu menonton teater itu.

Kisah berlatarbelakang waktu sebelum merdeka di mana Parti Komunis masih wujud dan menjadi ancaman kepada negara selain penjajahan British di Tanah Melayu. Apa yang lebih ditonjolkan ialah kisah percintaan di antara Sapura dan Yahaya. Yahaya seorang tentera mencintai Sapura tetapi ibu bapa Sapura lebih menyukai Zul dan mengahwinkan Sapura dengan Zul. Yahaya kecewa tetapi terus cekal berjuang menentang musuh dalam askar tanah melayu hingga ke titisan darah terakhir. Yahaya meninggal di saat Sapura melangsungkan perkahwinan dan Zul ditangkap kerana menjadi tali barut kepada Komunis.

Di akhir pementasan ditayangkan gambar bekas-bekas perajurit yang telah menaburkan bakti sewaktu zaman itu. Tidaklah saya tahu adakah gambar itu releven dengan watak dalam pementasan itu atau ia cuma sekadar satu tempelan. Walau bagaimanapun pujian harus diberi kepada semua pihak atas daya usaha untuk pementasan menyanjung dan mengenang perajurit kita di tengah ketandusan persembahan teater seperti ini dan membudayakan teater kepada rakyat di negara ini.

Pelakon-pelakon terdiri dari Ashraf Muslim, Muhamad Syukor Ibrahim, Mama Rina, Ziela Bakhrin, Raja Farah, Mahmud Ali Basha, Datuk Jalaluddin Hassan, Zaibo, Baharudin Omar, Umi Nurfadhilah, Aishah Atan dan lain lain. Teater arahan Rahman Adam yang juga menulis skripnya dan diterbitkan oleh Arena Communications Sdn. Bhd Teater yang turut disokong oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ini turut menampilkan kehebatan lagu-lagu ciptaan Datuk Suhaimi Md. Zain yang lebih dikenali sebagai Pak Ngah sebagai pengarah muzik dan Lokman Ghani sebagai pengarah artistik.

Pementasan akan berlangsung dari 29 Julai 2008 hingga 3 Ogos 2008.

No comments: