27 July, 2008

Kebetulan dan Kuasa Minda Separuh Sedar!

Sesuatu yang tidak di sangka
seringkali mendatangi kita
inikah suratan atau kebetulan....

Begitulah lirik lagu popular pada tahun 80an nyanyian Kenny, Remy dan Martin. Kebetulan memang selalu berlalu di dalam hidup kita. Contohnya kita baru berniat nak telefon seseorang tetiba orang yang hendak kita panggil itu menelefon kita atau kita terserempak beberapa saat dengannya selepas itu.

Kebetulan yang membuatkan hati kita susah hati apabila kita berjumpa dengan orang yang kita berhutang atau kita berjalan dengan seseorang dan berjumpa dengan seseorang yang banyak tahu mengenai rahsia kita.

Saya lebih percaya kebetulan banyak akan berlaku dan memudahkan kita jika kita berfikiran positif dan banyak berdoa. Allah s.w.t akan sentiasa memudahkan urusan pekerjaan kita.

Cerita seorang Ustaz bagaimana kebetulan itu menyenangkan urusannya pada suatu hari. Katanya amalan membaca yaasin di waktu subuh akan memudahkan urusan manusia sepanjang siang hari. Dan amalan membaca yaasin selepas solat maghrib akan memudahkan urusan dan Allah akan memelihara kehidupannya sekeluarga dan jiran tetangganya juga.

Jadi suatu hari Ustaz yang tinggal di Kuala Lumpur mempunyai janji temu dengan kawannya di Shah Alam pada waktu awal pagi. Sedang dalam perjalanan menuju ke Shah Alam tayar keretanya telah pancit. Kebingungan dan paniklah sebentar si Ustaz bersama dengan isterinya di dalam keretanya. Namun ketidaktenteraman itu cuma sebentar sahaja kerana tempat berlaku kejadian itu tidak berapa jauh dari kedai tayar dan beliau cuma menunggu 5 minit tayar keretanya siap ditampal!

Ini cuma cerita mengenai kebetulan. Jika kita mahu berfikir lebih dari itu kebetulan akan ada banyak sebab-sebabnya mengapa ia berlaku. Ia mungkin disebabkan qadar, doa, harapan atau kuasa minda kita yang berinteraksi. (Wah kuasa minda pula. Sebenarnya saya ada membaca buku mengenai kuasa minda iaitu kuasa luar sedar yang jarang digunakan oleh kebanyakkan dari kita.)


Gambar ini kelihatan seperti staf ITNM terpaksa
memakai pakaian seragam berwarna biru padahal
ianya cuma kebetulan. (Duduk dari depan Deknon Bolkiah,
Deknon Nizan dan Deknon Iznee. Di belakang diriku dan
Deknon Saiful).

Lihat sahaja gambar ini ia juga suratan dalam kebetulan. Semua rakan-rakan sepejabat berbaju biru, ini tidak di rancang. Saya pernah masuk di dalam lif sewaktu bekerja di tempat lama. Semua orang di dalam lif senyum seperti sesuatu yang lucu berlaku dan apabila saya melangkah masuk kelucuan itu bertambah lagi kerana semua yang berada di dalam lif memakai baju berwarna ungu!

Menyentuh mengenai interaksi kuasa minda tadi kejadian ini pernah berlaku pada hidup saya dahulu. Sewaktu di kampung ketika itu belum ada telefon bimbit. Suatu petang saya menerima panggilan telefon di rumah. Apabila saya mengangkat ganggang dan bersuara tiada jawapan. Saya meletakkan telefon. Telefon berdering lagi beberapa kali saya bersuara sehingga timbul rasa marah dan saya hampir menghempaskan ganggang telefon. Tetapi sebenarnya yang menelefon itu ialah adik saya yang sedang belajar di luar dari kampung saya. Mungkin untuk melepaskan rindu pada keluarga lalu dia menelefon tetapi telefon pondok itu rosak pula cuma dia boleh mendengar suara saya tetapi percakapannya tidak dapat saya dengar.

Saya tidak tahu bagaimana ia berlaku tetapi minda kami dapat berinteraksi itu yang dapat saya rasakan. Lalu saya mencipta satu kaedah berinteraksi dengannya ketika itu. Saya sahaja yang bercakap dan saya mahu dia membalasnya dengan menekan sebarang punat. Saya mahu dia menjawab ya atau tidak dengan menekan sekali bermakna ya dan dua kali bermakna tidak.

Lalu sayapun berkomunikasilah dengannya hampir setengah jam dengan menanyakan soalan berbentuk objektif itu, seperti adakah dia sihat jawapan ya atau tidak, sudah makan atau belum, adakah dia merasa seronok belajar. Dan bayangkan bagaimana dia menceritakan ketika balik ke kampung pada minggu berikutnya lucunya kejadian itu kerana sewaktu berkomunikasi dengan kaedah luar biasa itu telah ramai orang yang telah beratur untuk menggunakan telefon itu. Beberapa kali dia cuba memberitahu kepada mereka yang beratur bahawa telefon rosak dan tidak boleh digunakan namun mereka tetap setia menunggu. Adik tidak mahu dianggap pentingkan diri sendiri terus menamatkan telefon dan memberi peluang orang pula menggunakan telefon!

Bayangkanlah apa yang berlaku selepas itu? Mungkin adik dianggap orang terakhir menggunakan telefon dan telah merosakkan kemudahan awam tersebut.

No comments: