Sabtu yang berlalu adalah hari yang paling sibuk bagiku kerana aku mempunyai dua acara. Satu acara seawal 8.30 pagi di Hotel Putra bersebelahan Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak. Seminar Penghayatan dan Perlaksanaan Hibah, Hikmah Surah Yaasin dan Amalan berkasih Sayang Sesama Insan. Dan kedua pada sebelah malamnya adalah Malam pengucapan puisi yang dinamakan Malam Baca Naskhah Sindiket Sol-Jah dan Kawan-kawan yang Kita Suka (MASKARA) yang diadakan di Rumah PENA seperti yang aku nyatakan dalam post yang terdahulu-ini adalah janji buat sinaganaga atau yang kudengar dipanggil Sinaga.
Terima kasih Sinaga kerana sudi menjemput dan yang pasti ucapan ini juga untuk yang turut terlibat menjayakan malam itu sebagai penaja seperti Sekretariat Penulis-penulis Blog, PENA, PTS dan lain-lain lagi.Tak lupa MC malam tu yang selamba dan kelakar Sdr. Matjan.
Kali ini acara sedikit berbeza tidak seperti yang aku hadir sebelum ini Suara Puisi Dunia. Aku difahamkan bahawa Sindiket Sol-Jah adalah sayap kepada PENA dan digerakkan oleh tenaga muda. Jadi tentulah corak persembahannya berbeza sesuai dengan tenaga kerja dan khalayak yang hadir. Antara nafas baharu itu ialah diselit pembacaan naskhah novel/cerpen dan persembahan sketsa.
Boleh aku katakan bahawa aku gembira melihat perubahan yang ada bahawa peminat dan pendokong sastera kini bukan lagi mereka yang sudah berusia malah turut digemari oleh golongan belia. Syabas.
Dan dari pengamatanku semua yang hadir terdiri dari pemblog (blogger), Ah betul ke istilah ini macam kahwin campur je. kebanyakan yang hadir adalah belia yang muda remaja termasuklah diriku Auw! Sastera telah menawan pemblog atau pemblog sudah menawan sastera? Mana satupun aku tidak pasti. Tapi apapun harapanku agar sastera tetap sastera tidak digadai untuk diperdagangkan.
Jika sebelum ini majlis pengucapan puisi diadakan di ruang terbuka di sebelah bangunan rumah PENA tapi malam itu di adakan di dalam bangunan PENA. Mungkin kerana faktor cuaca yang tidak menentu barangkali maka majlis itu diadakan di dalam bangunan. Bimbang majlis akan berlangsung dengan suasana agak kaku tetapi sangkaanku meleset kerana faktor pencahayaan juga diambil berat oleh penganjur Sindiket Sol-Jah.
Lampu dipadamkan dalam ruang berlangsungnya pengucapan dan cuma terfokus di bahagian utama pembacaan sahaja. Ada gelas berair merah dan lilin yang di bakar di dalamnya. Menimbulkan mood syahdu malam itu dan patung soldadu kecil berselang seli di celahan gelas-gelas itu.
Aku dan 'teman-teman setia (J&L)' yang sentiasa memberi sokongan pada dunia seniku mengambil tempat di bahagian kerusi paling depan. Sementara adik-adik yang lain duduk santai bersila dan bersimpuh di hadapan kami selesanya seperti mereka berada di rumah.
Tak sangka ruang itu menjadi terlalu kecil malam tadi kerana ada yang tidak dapat melabuhkan punggung di dalam ruang kecil dan mengambil tempat di luar bangunan dan menontonnya melalui tingkap-tingkap! Mungkin bangunan itu perlukan pengubahsuaian dan imej yang baru supaya lebih segar tetapi tetap memelihara keaslian reka bentuk bangunan lamanya.
Yang pasti aku sangat teruja ketika melihat poster namaku tercatat sebagai 'ENCHE-penyair dari UK perdana' akan membacakan puisi bersama 'orang lama tidur dalam puisi' PYANHABIB- goodfather sindiket sol-jah.
Sudah lama rindu dengan gelagat pembacaan selamba beliau. Dulu beliau pernah turut sama menjayakan Malam Persembahan PUISI di UITM (ketika itu ITM) sewaktu aku mengambil kokurikulum Kebudayaan-Puisi. Itulah pertama kali aku melihat Pyanhabib membaca puisi
Pastinya aku terhibur.
(bersambung)
2 comments:
nice poem bro!
terima kasih
Post a Comment