09 July, 2008

Sebulan sudah

̣9 Julai 2008. Hari ini genaplah sebulan usia blog ini. Siapa sangka. Akhirnya ia menjadi satu kenyataan. Umpama seorang bayi, jika dilahirkan biarlah ia diberi peluang untuk terus hidup dan jika hidup biarlah menjadi sesuatu yang baik memakmurkan persekitarannya. Hidup mati manusia tuhan yang menentukan tetapi hidup mati blog ini adakah aku yang menentukan? Sukar meramalkannya.

Tempoh satu bulan boleh menjadi singkat dan satu bulan oleh menjadi terlalu lama, bergantung kepada pengisiannya. Aku masih mencari pengisian yang lebih bermakna dari yang anda lihat.
Banyak yang berlegar di dalam kepala ini yang inginku muatkan tetapi waktu menjadi halangan utamaku. Tetapi bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Sedar tak sedar sudah ada 51 isu dan mendapat tak kurang 100 kunjungan dalam seminggu (tak kiralah ye Atie ke Ija ke, 2-3 kali masuk sehari).

Ketika kali pertama berfikir untuk memulakan blog ini sebulan yang lalu aku juga terfikir di mana aku harus mencari ruang untuk menulis (kerana penulisanku seharusnya tidak mengganggu waktu tuntutan wajib yang lain) sedangkan sebulan yang lalu waktunya sama seperti setahun yang lepas. Di mana aku juga sibuk tetapi selepas memulakannya jari jemariku sentiasa tidak mahu berhenti untuk terus menulis. Ada-ada saja ideanya. Aku percaya ada sesuatu yang menggerakkanya. Ia menuntut anda setia dengannya.

Beralih kepada penglibatan dalam blog ini. Suatu waktu dahulu minat untuk melayari blog juga hampir tiada dan kadang-kadang melewati blog ‘orang’ pun aku tidak sedar dan hanya terjadi sewaktu membuat carian di dalam google merujuk kepada beberapa perkataan. Tetapi kini aku menjadi lebih peka adakah sumber itu dari blog atau tidak.

Aku percaya untuk apa dan apa yang kita nak daripada blog itu kita sendiri yang mencorakkannya. Kepada yang masih teragak-agak untuk memulakan blog jangan biarkan waktu terus berlalu kerana waktu tidak akan pernah menunggu kita.
Mungkin blog boleh mencapai hajat yang anda inginkan. Jika tujuanku supaya anda dapat mengenali dengan lebih dekat rakan-rakan sepejabat anda, anda lihat aku telah buktikan blog memberi jalan yang mudah ke arah itu kerana orang tak akan cari Sdr. Aisyah dan bertanya macam mana beliau bertemu jodoh dan orang tak akan cari Sdr. Sakri untuk bertanya kisah lampau beliau kecuali ketika berada dalam situasi yang betul-betul sesuai.
Dengan mengorbankan sedikit waktu anda untuk membaca apa lagi jika anda mahu berusaha mempunyai blog segalanya mungkin akan tercapai. Atau setidak-tidaknya bereaksi dengan blog.(jangan terperanjat sedikit waktu blog ini menjadi alat untuk aku melelong barangan!-tidak mustahil dengan apa yang anda fikirkan).

Sewaktu menghadiri MASKARA 9 di rumah pena sabtu lepas telah menemukan aku kepada sesuatu yang aku fikirkan selama ini. Memang Allah menjadikan apa yang manusia fikirkan sesuai dengan keupayaannya. Umpamanya dahulu manusia ingin terbang dan sekarang memang manusia boleh terbang. Aku sendiri pernah terfikir sepuluh tahun dahulu ketika teknologi telefon bimbit mula menular kepopularannya, mengapa tidak dicipta komunikasi yang tidak hanya dapat mendengar suara tetapi juga kita dapat melihat dengan siapa kita berbual. Dan pertanyaan itu terjawab hari ini.

Tentu anda tertanya-tanya apa kaitan MASKARA 9 dengan apa yang aku fikirkan. Aku pernah berfikir untuk membukukan apa yang tertulis diblog sebagai bahan komersial tetapi hal itu telah dibuktikan oleh persatuan penulis-penulis blog malam itu. Aku telah menyaksikan sendiri buku-buku dari blog seperti Sabotaj 3, Kudeta, Kalashnikov atau K-Eight (sekadar beberapa contoh) dijual dan dibeli macam goreng pisang panas oleh pemblog atau pengunjung blog yang bukan sedikit khalayaknya.

http://sol-jah.blogspot.com/search/label/Buku

Tepuk dada tanyalah selera!
Terima kasih yang sudi memberi komen, teguran dan respon untuk blog ini.

2 comments:

Atie_sl said...

Kadang-kadang untuk mengenali dan memahami seseorang, tidak perlu bertentang mata. Hanya dengan membaca tulisannya sahaja kita akan dapat "mengenali" penulis tersebut. Sekurang-kurangnya kita tahu tentang personalitinya atau pemikirannya.

Walaupun saya mengenali saudara hampir 15 tahun, tetapi kerana kurangnya interaksi dan pertemuan (walaupun beza 3 no. lif aje)menyebabkan ia semakin jauh dan keakraban itu semakin hilang. Namun, dalam sebulan ini saya membaca setiap baris perkataan yang ada dalam blog ini dan saya mula mengenali insan yang berjiwa halus ini.... (oppsss.. jangan perasan lebih-lebih aarrr).

Unknown said...

Bila nak buat blog?