20 July, 2008

Separuh Gila Menyelami Anak Mat Lela Gila!

Sudah lama aku mendengar judulnya. Puluhan tahun dahulu sewaktu belajar sastera di sekolah. Antara novel yang dihasilkan selepas merdeka. Namun tidak pernah terserempak dengan novel itu di mana-mana, jadi nama cuma tinggal nama di fikiranku. Tetapi sejak mengendalikan katalog buku-buku umum dan sastera untuk dibawa ke Fankfurt (Jerman) Oktober ini, aku berpeluang melihat karya sastera dari nama-nama besar Malaysia. Ada di antaranya sedang diterjemahkan ke bahasa Inggeris yang dianggap sudah tiba masanya sastera kita dinikmati oleh masyarakat dunia sebagaimana kita menikmati sastera mereka dalam bahasa Melayu.

Apa yang aku ingin ceritakan di sini ialah keperitan di sebalik penyediaan katalog tersebut betapa pengorbanan terpaksa dilakukan kerana setiap judul mesti disertakan sinopsis yang kemudiannya akan diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Tidak semua buku mempunyai sinopsis cerita di belakangnya. Nampak sahaja seperti sinopsis tetapi sebenarnya ia adalah biodata penulis atau penterjemah.

Begitulah halnya dengan buku Anak Mat Lela Gila ini. Puasku belek buku yang tiada kata-kata pendahuluan atau prakata ini, Ia menuntut aku mengorbankan waktu hujung mingguku. Nak tak nak terpaksalah aku membaca dan mengikuti kisah yang ingin disampai oleh penulis ini.

Ia adalah sebuah karya Ishak Haji Muhammad yang diterbitkan pada tahun 1960. Menceritakan kisah seorang pemuda yang dianggap gila oleh penduduk kampung. Suka membersihkan laman masjid tetapi tidak pernah menjengah kedalamnya. Novel ini jika dibelai dengan penuh perhatian yang mendalam ada banyak maksud tersirat di dalamnya. Seperti kritik sosial. Walaupun di sampaikan dalam gaya bahasa lama namun tidaklah sukar memahaminya.

Ishak walaupun 40 tahun yang lalu membuat novel ini seperti sudah tahu penyakit yang akan di hadapi oleh generasi sekarang. Lihat sahaja petikan ini sewaktu mendodoikan Bulat anak angkatnya.

“Tidurlah engkau puas-puas sekarang kerana apabila sudah besar pula aku berani bertaruh engkau tiadakan dapat tidur lagi dengan begini tenang dan cendera kerana banyak perkara-perkara yang engkau akan susahkan, runsing dan bosankan – hal hidup engkau, makanan, pakaian, tempat tinggal, itu ini dan berbagai-bagai hal lagi. Orang zaman yang akan datang banyak akan mengidap sakit tak mahu tidur”.

Kalau dalam bidang perubatan ia dikatakan insomnia.

Kegemaran Mat lela agak aneh kerana dia gemar mengukir daripada kayu gambar kemaluan lelaki. Maka banyaklah yang diukir-ukir dan diberi kepada kanak-kanak untuk dibuat bermain dan seronoklah kanak-kanak mendapatnya dan yang perempuan apabila melihatnya menyumpah-nyumpah pula.

Ada mesej yang Ishak ingin sampaikan perhatikan perenggan ini ketika Mat Lela memberikan kepada anak angkatnya ukiran kemaluan lelaki itu.

“Cuba lihat apa bendanya ini engkau pun ada, tetapi kerana engkau masih kecil benar apalah yang engkau tahu, engkau sedarpun tidak. Akan tetapi jaga baik-baik apabila engkau sudah besar pula peliharalah dia dengan cermat. Dalam masa yang akan datang benda ini akan menjadikan orang banayk gila, susah, porak peranda dan miskin merana. Benda ini harus menimbulkan macam-macam kacau-bilau. Engkau mesti ingat baik-baik”.

Begitulah Mat Lela yang Gila itu menasihati anak angkatnya. Mat Lela memelihara anak di dalam sebuah rumah batu kecil yang tidak berpintu. Begitu hebat Mat Lela membina rumah kecil dari batu sedangkan waktu itu belum ada rumah batu. Mat Lela mendahului zamannya tetapi dia gila. Bagaimana itu? Seorang gila boleh melukis dan meniru not kertas. Penulis mahu menyampaikan mesej bahawa masyarakat kita masih memandang rendah kepada keupayaan anak bangsa sendiri jika dapat berbuat sesuatu dan gah kepada keupayaan masyarakat luar. Begitu halus penyampaian Ishak.

Walau bagaimanapun anak angkat Mat Lela, Si Bulat akhirnya telah dicuri oleh sepasang suami isteri yang tidak mempunyai anak. Akibat terlalu sedih dengan kehilangan anak itu Mat Lela telah kembali ke rahmatullah. Namun sebelum meninggal Mat Lela sempat menghanyutkan sebiji labu yang mengandungi barang-barang yang ditinggalkan oleh ibu Si Bulat di dalam sebuah sungai dan labu itu ditemui oleh seorang alim yang bernama Tuan Haji Osman.

Manakala Si Bulat telah mengetahui ia adalah anak angkat menjadi sedih sedangkan sewaktu bayi kanak-kanak itu tidak pernah menangis sehingga ia dikenali sebagai anak orang bunian. Apakah kesudahan cerita Anak Mat Lela Gila ini? Bacalah sendiri!

5 comments:

Anonymous said...

bro,

kat mana aku boleh dapatkan buku anak mat lela gila?

terima kasih

Unknown said...

Saya tidak pasti ada edisi baru yang dijual. Saya membaca salinan naskah cetakan asalnya yang dipinjam dari Perpustakaan Negara.Jika saudara ingin membacanya mungkin boleh mendapatkannya di sana atau di Perpustakaan DBP.

Anonymous said...

ok bro thanks for the info.

medusa said...

Biasanya saya cari buku-buku Novel Hunt, Ipoh (menjual buku terpakai namun setengahnya ada yang baru tapi dijual dengan sangat murah). Buku Anak Mat Lela saya beli dengan harga RM 3 (kulit tebal-ada jacket)dengan beberapa buah buku sasterawan negara yang lain (pun harganya sekitar RM 2.50-RM 4).

Dalam hati, saya sedih sebab nilainya sangat rendah sebaliknya mengandung nilai falsafah yang tinggi.Saya terfikir, jika di Hollywood... kemungkinan novel ini sudah di angkat ke layar perak.

Kaseh Esmiralda said...

saya baru habis membacanya. terima kasih pada ITBN yang telah menerbitkan semula karya2 lama yang tinggi nilainya seperti AMLG ini.