24 June, 2008

Akhirnya Dato’ Lat di ITNM!


Hari ini entah kenapa aku sedar awal dari biasa. Jam 5.00 pagi sudah memaksa aku supaya jangan pejam mata lagi. Apa yang aku fikirkan pun aku tak pasti. Tidak mungkin kekacauan itu datang kerana majlis yang akan diadakan di ITNM pagi ini. Kerana aku memang dah biasa pun dengan majlis yang akan diadakan di ITNM yang akan menyebabkan ‘rebut kecil’ dan ‘hujan sedikit-sedikit’ berlaku di beberapa tempat.


Kepala ku terasa berpusing ketika berada di dalam bilik air. Aku lupakan saja ‘rasa’ yang datang itu kerana ia perkara yang biasa sahaja. Pagi ini persiapan ke pejabat berlainan sedikit aku mahu pastikan aku tidak tertinggal kamera digitalku. Sejak dari semalam aku sudah meletakkannya di atas meja. Hari ini ada sejarah nak aku rakamkan dan kongsi bersama.

Tiba di perkarangan pejabat Pak Cik Joe sudah bersedia mengarahkan semua kenderaan staf dan yang tidak berkaitan dengan majlis pagi ini meletakkannya di luar kawasan ITNM. Sebenarnya aku telah menerima arahan itu dari semalam melalui emel dan juga Cik Mat yang bertugas semalam.

Kesesakan biasa sebulan yang lalu ialah kawasan ini penuh dengan kenderaan peserta Kursus GIRN anjuran SAPURA untuk kakitangan kerajaan. Menyebabkan kereta aku dah lama tak mencium bau ITNM. Tetapi kesesakan pagi ini akan berganda lagi kerana kehadiran kartunis Dato’ Lat, pihak penerbit buku dari Jerman-Horlemann-Verlag dan sudah pasti media-media elektronik dan media cetak yang akan membuat liputan.

Aku bersarapan dahulu kerana hari ini aku tiba awal dari biasa dan selepas itu aku memulakan rutin kerja seperti biasa dan bersedia dengan kejutan-kejutan persediaan di saat-saat akhir majlis. Dan memang seperti di duga kejutan itu memang ada.

Lupakan semua kekalutan itu menghampiri jam 11.00 pagi aku menuju ke tingkat 3 di mana majlis akan berlangsung. Touch up mana yang patut sebelum ianya bermula. Seperti yang dinantikan kemunculan kartunis pujaan hatiku pun menjadi nyata. Dengan memakai baju batik Dato Lat yang menjadi tumpuan mencari tempat di tengah pentas bersama Pengarah Urusan ITNM (Encik Mohd Khair Ngadiron) dan Encik Micheal Adrian dari Horlemann (penerbit). Melihat itu aku pasti 'Buku Pelawat' yang aku sediakan semalam (kaligrafi) dengan judul di bawah telah ditandatangan.

Sempena Majlis
Menandatangani Kontrak
Kerjasama Penerbitan Buku
Kampung Boy
Edisi Bahasa Jerman
24 Jun 2008

Atur cara berjalan lancar sehinggalah ucapara menandatangani kontrak. Kesabaranku yang luar biasa kali ini ialah menahan ‘rasa pening’ yang datang pada awal pagi tadi. Aku harus berada di sini kerana peluang ini cuma sekali seumur hidupku. Malam tadi aku membelek-belek koleksi buku di rak kerana aku ada membeli naskah ‘Budak Kampung’ itu pada 25 September 1992 di jualan Berita Publishing ketika itu di Bangsar. Agak klasik warna buku itu aku simpan dan pagi ini buku itu harus menemui tuannya untuk ditandatangani. Penantian 16 tahun!

Setelah semuanya selesai pengacara majlis menjemput hadirin untuk menikmati hidangan yang ada. Dan aku tercari-cari ruang untuk berjumpa dengan Dato’ Lat bagi mendapat tandatangannya. Ketika naluriku tertanya-tanya tetiba Deknon Nizan mendorong dan mengiringi aku ke meja santapan. Ketika itu Pengarah Urusan ku berada di sebelah beliau dan saat aku menghulurkan buku usang itu kedengaran Pengarah Urusan berbisik-aku pasti akan berkongsi ini semua di dalam blogku. Jawapannya ia sudah pasti. Tapi biarlah aku tatapi tandatangan itu puas-puas ya!

1 comment:

Aku Azman said...

bila mau scan itu autograf...nanti depa tak percaya lak....hehehe -Azman ITNM