Sudah lama aku tidak menyambung bicara tentang sejarah yang terhenti itu dalam post Salam Perkenalan 2. Aku hanya ingin menyambung cerita itu dalam tajuk yang berlainan pula ya lah takkan asyik berkenalan saja.
Dalam post yang lepas cuma kisah masa Prof.Dr Ahmad Zaki sahaja. Tiga tahun Dr. Zaki bersama ITNM kemudian beliau kembali menyambungkan khidmatnya di UTM . Selepas itu Dato’ Mahpor pula datang. Masa itu banyaklah buku-buku terjemahan diterbitkan. Dan masa ini juga kami warga ITNM berpindah dari lorong Ceylon ke kaki bukit Wangsa Maju.
Tidak dapat aku bayangkan waktu itu meninggalkan ITNM di Menara Pengkalen yang banyak memori indah di situ. Seperti ‘Kapal Pecah’ itu yang dapat aku gambarkan pejabat lama ITNM. Sungguh terharu. ITNM terpaksa melakukan kerana ITNM cuma menyewa disitu dan kosnya penyewaannya bukan kepalang mahalnya. Sudah ada bangunan sendiri apa nak tunggu lama-lama. Nahkoda sudah mengarahkan kapal berlayar semua anak-anak kapal masuk dalam bantera dan kami berlayar ke Wangsa Maju. Perjalanan yang begitu sukar-1997.
Masa kami pindah tak ada letrik tapi bekalan air dah ada. Jadi lif pun tak boleh digunakan.Tanggalah yang jadi jalan kami. Bayangkan setiap kali menggunakan tangga untuk turun naik. Telefon pun tak ada. Nasib baik aku ada telefon bimbit. Dan itulah yang menjadi talian hayat kawan kawan yang ada untuk dihubungi.
Barang-barang dipunggah menggunakan kren masuk ikut tingkap. Kami macam buruh kasar membantu apa yang boleh walaupun ada pekerja yang diupah. Ya lah takkan nak tengok sahaja kalau dah depan matakan? Seminggu sebelum itu dokumen-dokumen telah dihantar terlebih dahulu menggunakan lori ke bangunan yang baru.
Sekali lagi kami berhadapan dengan ‘tongkang pecah’. Timbunan dokumen terpaksa disusun semula. Kalau dibangunan lama keadaan fizikalnya tidaklah sukar kerana ITNM menyewa 1 tingkat sahaja iaitu tingkat 3. Tetapi di bangunan baru ITNM ada 5 tingkat. Aduh.
Dalam pelan awal aku dan kawan-kawan di letakkan di tingkat 5 tetiba ruang di situ sempit jadi kami dipindahkan ke tingkat 1 beberapa minggu selepas itu. Sakit badan terasa kerana bulan itu ialah bulan buruh kasar. Lebih kurang sebulan jugalah kami seperti tak keruan. Yang berhubungan dengan pelanggan terpaksalah meneruskan perjuangan dalam kesukaran.
Nak cari makan untuk makan tengahari adalah sesuatu yang sukar. Masa tu bukan semua kawan-kawan ada kenderaan dan tempat makan tidak banyak seperti hari ini. Kalau ada jauh. Sekarang dah ada pilihan kalau nak berjalan kakipun boleh.
Jadi untuk mengatasi masalah itu buat sementara waktu kami pakat-pakat bawa bekalan, lauk pauk untuk dimakan bersama waktu tengah hari. Itulah keseronokannya bila menjelang waktu makan dari sukar jadi seronok.Macam keluarga besar. Staf waktu itupun tak ramai aku rasa dalam 40 orang.( ITNM pun cuma menggunakan 2 tingkat sahaja waktu itu iaitu bawah, tingkat satu dan tingkat 5). Dan bila petang ada bubur pula dihidang bila ada‘seseorang’ yang rajin menyediakannya dan peminat utama bubur petang itu ialah Allahyarham Puan Siti Hawa.
Nantilah aku nak ceritakan mengenai Allahyarham ni di lain post. Untuk itu marilah kita sama-sama sedekahkan Al Fatihah kepada Allahyarham Puan Siti Hawa yang telah bekerja sambil beribadah dan hasilnya sehingga sekarang setiap hari masih kita menyaksikannya. Al Fatihah.
No comments:
Post a Comment