Senja adalah waktu yang paling syahdu bagiku dan senja jika dapat mendengar azan adalah suatu ketenangan. Sejak dari kecil aku dilatih berada dirumah sebelum azan maghrib. Ketika itu suasana di rumah akan menjadi kelam kabut kerana masing-masing seperti ada pekerjaan yang hendak dibuat. Ibu dan kakak di dapur. Dan yang lain lain sibuk berebut bilik air. Ada yang nak ambil wudu’ dan ada yang nak mandi.
Tapi apa yang membuatkan aku syahdu jika dapat melihat azan maghrib di TV1 ialah terjemahan Inggeris selain terjemahan bahasa Melayunya. Aku lebih tertarik dengan terjemahan Inggeris kerana mengingatkan aku pada seseorang yang telah tiada lagi di dunia ini. Beliau ialah Allahyarham Siti Hawa binti Sudin.
ALLAH THE ALMIGHTY, ALLAH THE ALMIGHTY
I BEAR WITNESS THAT THERE IS NO GOD TO BE WORSHIPPED EXCEPT ALLAH
I BEAR WITNESS THAT THERE IS NO GOD TO BE WORSHIPPED EXCEPT ALLAH
I BEAR WITNESS THAT NABI MUHAMMAD IS THE MESSENGER OF ALLAH
I BEAR WITNESS THAT NABI MUHAMMAD IS THE MESSENGER OF ALLAH
LET US PERFORM THE SOLAH, LET US PERFORM THE SOLAH
LET US ENJOIN THE SUCCES OF THIS WORLD AND HEREAFTER
LET US ENJOIN THE SUCCES OF THIS WORLD AND HEREAFTER
ALLAH THE ALMIGHTY, ALLAH THE ALMIGHTY
THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH.
Dalam post yang lepas Imbauan-Berlayar ke Wangsa Maju. Ada aku nyatakan aku akan meneruskan sambungan coretan itu dan inilah ceritanya. Beliau sempat berada di dalam bahtera yang berlayar ke Wangsa Maju itu dan tatkala bahtera itu berlabuh-berkampung di sini beberapa tahun beliaupun menamatkan perkhidmatannya.
Allahyarham merupakan penterjemah di unit terjemahan ketika ITNM beroperasi di bangunan Menara Pengkalen yang sangat komited dan teliti dengan kerja-kerja terjemahan. Yang diketahui beliau merupakan bekas guru.
Terjemahan ini telah diminta oleh pihak JAKIM menyediakannya. Suatu tugasan yang berat . Aku dapat merasakan kegusaran beliau sewaktu menterjemahannya. Walaupun terjemahan itu nampak ringkas namun berhari-hari beliau melakukan rujukan bagi memastikan terjemahan itu betul-betul menepati maksud asal dalam bahasa Arabnya.
Dan waktu itu ada seorang penterjemah bahasa Arab-Sdr.Chiar Hijazi. Kami memanggilnya Pak Chiar sahaja dan bukan panggilan ‘Ustaz’ seperti sekarang kepada penterjemah bahasa Arab. Pak Chiar ni bukan setua gelarannya. Yalah macam kedengaran Ustaz-seorang yang berumur. Usia Pak Chiar dalam lingkungan pertengahan dua puluhan. Beliau berasal dari Indonesia. Belajar di Negara Arab dan juga Pakistan.
Waktu itu aku selalu nampak Allahyarham selalu mendampingi Pak Chiar bagi memahami secara mendalam apakah maksud di dalam azan itu. Nasib baiklah Pak Chiar ini seorang yang penyabar dan terbuka waktunya.Sentiasa senyum jika berborak dengannya.
Sewaktu lalu lalang melewati stesen kerja Allahyarham aku selalu mendengar ada sahaja perkataan atau ayat yang dibincangkan atau diperkatakan tentang terjemahan yang dilakukan itu.
Sedekad telah berlalu hari ini azan itu berulang-ulang saban hari di kumandangkan aku merasakan Allahyarham ‘hadir’ untuk melihat azan itu-itulah perasaanku. Alangkah bahagianya beliau dapat melakarkan sesuatu sepanjang hidupnya (ketika bekerja) dan mendapat pahala setiap kali azan itu diudarakan.
Semoga Rohnya di tempatkan bersama orang-orang yang soleh dan dikasihi. Amin
No comments:
Post a Comment