14 June, 2008

Ayahandanya sudah tiada - Aizar

Jam menunjukkan tepat jam 10.05 minit malam. Telefon ku berbunyi "mengalir airnya". Pantas aku membuka mesej untuk di baca. Dan aku terpaku dalam kelesuan apabila menatap mesej yang berbunyi...

Tuan2, ayahanda saya Hj Kamsah baru sahaja meninggal dunia pada pukul 8.45pm. Wasalam.

Baharu sahaja beberapa hari lepas aku menerima berita kematian kenalan lama sekarang berita sama pula berulang. Sesungguhnya kematian itu tidak pernah lupa pada kita. Cuma kita yang kadang-kadang lupa dengan kematian.

Masih anda ingat dengan Sdr. Mohd Aizar Kamsah? Beliau pernah berkhidmat di ITNM awal 90an dahulu. Semalam Ayahandanya telah kembali ke rahmatullah.

Ketika menerima mesej itu aku masih lagi dengan pakaian pejabat. Baru pulang dari pejabat dan terus dinner. Antara teragak untuk menziarahi malam itu juga atau esok pagi akhirnya aku mengambil keputusan untuk menziarahi malam tadi juga kerana bimbang aku terpaksa melakukan banyak perkara lain pada pagi ini.

Kebetulan rumahnya tidak jauh dari Ukay Perdana kediamanku aku mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk sampai ke situ. Pada fikiranku tentulah mudah untuk mencari rumahnya yang kali terakhir aku kunjungi bertahun-tahun yang lalu ketika kenduri perkahwinannya. Kebiasaannya rumah si mati akan ramai orang.

Aku mula mencari rumah yang ramai orang tetapi dua kali pusingan aku mula berputus asa dan berfikir mungkin jenazahnya di tempat lain. Aku malas nak bertanya melalui telefon bimbit kerana berfikir dia tentu sedang bersedih dan 'sibuk' malam itu. Aku mengambil keputusan pusing sekali lagi sebelum pulang dan kali ini usahaku berjaya apabila aku cuba memasuki lorong yang tidak aku lalui tadi.

Sewaktu menziarahinya malam tadi Sdr. Aizar kelihatan tenang sahaja dan sibuk menguruskan jenazah untuk dimandikan. Walaupun hampir larut malam rumah beliau di 33 Jalan Au4/5 Keramat masih menerima kunjungan jiran tetangga dan sanak saudara. Ketika sempat berbual dalam kesibukan itu Sdr. Aizar memberitahu Arwah mengidap penyakit kanser kelenjar sejak 3 tahun yang lalu. Tidak banyak yang dapat dibualkan kerana beliau memang benar sibuk.

Kali terakhir berjumpa dengan Aizar beberapa tahun lepas pada hari kematian ayahanda saudara Zaidan. Ketika itu di Masjid Keramat. Pada saat semalam aku mula berfikir adakah aku akan berjumpa dengan rakan-rakan lamaku apabila ada kematian, tahlil kalau tidakpun pada majlis jamuan Hari Raya? Mengapa aku mesti bertemu dalam keadaan yang demikian? Apakah aku tiada pilihan untuk bertemu dalam keadaan yang lebih baik? Kerana bertemu dalam keadaan berduka tidak banyak yang dapat dibicarakan!


Sama-samalah kita sedekahkan Al Fatihah kepada roh ayanhandanya.

Enche's

No comments: