Lucah? Anda senyum melihatnya? Tiada noda pada gambar pancaindera yang indah itu. Ia diberi ilusi yang 'kotor' hanya dengan memusingkan kedudukannya. Sekali imbas jika dilihat ia memang seperti kelihatan lucah. Hakikat realiti gambar dipesong dan dilihat dari perspektif yang salah maka akan melahirkan kekeliruan dari 'hakikat' sebenarnya kecuali jika si pemerhati masih peka dan tidak terganggu fikirannya serta fokusnya masih kekal dan faham tujuan saya di sebalik itu.
Soalnya berapa ramai yang mempunyai kekuatan boleh selamat dari gamitan saya. Yang paling kecewa dan menjadi mangsa ialah jurufotonya yang ingin menyampai mesej 'suci' yang terlintas di sanubarinya tentang keindahan dan kebesaran Tuhan! Yang mendapat kelebihan ialah saya kerana anda seperti telah memberi sokongan kepada saya melalui fikiran yang telah saya 'nodai'.
Mengapa harus dilihat dari perspektif yang salah? Apa tujuannya supaya ia dilihat lucah. Mengapa saya harus mengajak orang lain melihat dari sudut pandangan saya, sedangkan itu hanyalah ilusi saya sahaja sebelum saya mengubah kedudukan gambar yang tiada apa-apa kepada sesuatu yang mungkin memalukan kepada semua orang yang diajak untuk melihatnya.
Jawapan yang mudah kerana dalam fikiran saya sudah tergambar isyarat bahawa saya boleh 'memperdayakan' orang lain yang melihatnya seperti apa yang ia tergambar di fikiran sedangkan orang lain tidak pernah terfikir akan hal itu. Mengapa saya harus mengajak orang lain melihat seperti apa yang saya lihat tentulah membingungkan anda. Hanya saya sahaja yang ada jawapannya.
Begitulah dalam kehidupan ini jika kita melihat sesuatu dan sering mengajak orang lain melihat seperti apa yang kita fikirkan. Kita sebenarnya mempengaruhi mereka yang belum bersedia dengan memusatkan fikiran mereka kepada hakikat sebenarnya. Kita menidakkan kebebasan berfikir. Kita sebenarnya membina pengaruh di atas kelemahan orang-orang yang tidak bersedia, tidak fokus malah tidak tahupun lalu kita mengejutkan mereka yang sedang lena dan menerima apa sahaja yang kita utarakan. Kita mengeksploitasi keadaan dan kita sebenarnya mencipta keadaan seperti apa yang kita harapkan ketika kita lebih dahulu menemuinya dan merasakan ia adalah suatu peluang. Adakah anda orang yang seperti itu? (Opotunis)
Anda bersetuju dengan saya?
No comments:
Post a Comment