Banyak perkara yang dilalui sepanjang minggu yang berat ini. Akupun tak tahu mengapa aku harus memberatkan kepala untuk merasakan minggu ini sungguh berat semata-mata kerana orang kata minggu ini adalah minggu yang berat. Apapun semua yang berat-berat dah berlalu dan aku dah letak tepi untuk menikmati hari minggu yang aku nantikan ini.
Minggu lepas aku dikunjungi kekanda kandung sekeluarga di rumah, Jadi pemandu pelancong untuk dia dan anak-anak. Rindu juga lama tak jumpa kekanda yang sudah menetap di Terengganu itu. Anak-anak diapun dah besar kali ini bila bertemu tapi masih mengenali PakCiknya. Begitulah kehidupan kita- kecil membesar bersama, bila dewasa membawa haluan masing-masing. Sekali sekala jumpa terimbas masa lalu yang 'manis' walaupun kita sebenarnya membesar dalam kegetiran yang hanya ibubapa sahaja tahu.
Kekandaku- Abang Mat. Aku rasa Abang Mat masih ingat lagi tempat main kejar-kejar di paya, petang yang sangat meriah. Aku sangat degil dan bengis suka melawan cakapnya. Itupun aku tahu bila aku dah dewasa dan mengimbas semula kenangan lalu. Aku baling kotak pensil pada perut Abang Mat kerana sikap 'kurang waras' aku. Aku tak akan lupa aku jadi panik bila sedar dari tidur Abang Mat sakit perut (gastrik) aku bergegas turun dari loteng untuk beritahu Umi Abah - Abang Mat 'sakit perut' hingga doktor datang merawat ke rumah.
Bila Abah dah 'pergi' aku mula rasa sunyi, Abang Mat keluar rumah kerja jauh cari rezeki. Tiap bulan Abang Mat hantar duit kat umi dan Abang Li untuk tambah sara aku dan adik-adik yang masih belajar. Hujung minggu Abang Mat balik kadang-kadang dua minggu sekali. Aku sudah dewasa dan sudah tahu erti sayang dan rindu padanya.
Ada lagi yang aku tak akan lupa sampai bila-bila. Aku dapat belajar di ITM(sekarang UiTM) Abang Mat pun turut sama belajar dan datang ke Kuala Lumpur. Aku keluar dari asrama datang ke Pesta Buku di PWTC, aku tak ada duit nak beli buku buku ilustrasi tu harganya RM70 setelah diberi diskaun 50% aku ada RM20 sahaja. Bukan Tak ada duit cuma waktu dulu kemudahan untuk menunaikan duit dari bank tidak seperti sekarang. Sekarang mesin ATM merata-rata dan urusan bila-bila masa sahaja.
Aku telefon Abang Mat, Abang Mat sanggup datang dari PJ Old Town bagi duit untuk aku beli buku. Lepas Abang Mat balik dengan motor aku masih tercegat di perkarangan PWTC lihat Abang Mat balik dengan motor Yamaha hingga hilang dari pandangan dan mata aku seperti berkaca-kaca kerana terharu.
Semua itu tak akan padam dari ingatanku. Jadi mana yang ada abang dan kakak tu janganlah degil. Jangan melawan cakap mereka sebab abang itu sentiasa buat untuk kebaikan kita. Mana abang mahu lihat adiknya susah? Jika marah pada abang kenangkan kebaikan yang pernah dia buat pada kita dahulu. Kita kadang-kadang cepat lupa. Seperti kata Tun Mahathir Melayu Mudah Lupa. Tapi aku lupa sebab nombor pada umur aku dah banyak (bukannya tua. hehe)
Gambar atas kekandaku bersama anakndanya dan isteri. Kekanda bawa anakndanya sekeluarga pusing-pusing tasik Putrajaya dengan tambang pakej RM104. Tapi yang tak puashati sepanjang perjalanan itu halwa telingaku dihidangkan dengan lagu-lagu tamil dari radio siaran tamil. Kerana penjaganya seorang India. Haiyo. Bukan tak suka dengan lagu tamil tapi itu produk pelancongan Malaysia. Harus berwajah Malaysia. Semua lagu-lagunya lagu tamil tak ada satupun lagu Melayu.Rasanya pihak Putrajaya Cruise harus lebih peka untuk perkara-perkara kecil tetapi impaknya besar. Nanti Pelancong ingat mereka berada di India pulak.
No comments:
Post a Comment