Angka pada statcounter itu sudah menjejak ke 9,000 pada minggu ini. Bermakna itulah jumlah pengunjung yang hadir ke blog ini. Saya sentiasa memantau nombor dan topiknya setiap hari untuk melihat kecenderungan mereka ke sini mencari apa. Setiap hari pengunjungnya lebih dari 150 dan mencapai 200 pengunjung.
Bagi blogger yang baru belajar menjadi blogger saya dan rakan-rakan yang baru sering bertukar-tukar pengalaman mengenai dunia blog yang baru dan menyeronok ini. Satu hari tidak cukup untuk menyelami apa yang ditulis dalam blog-blog yang ada. Ia ibarat menyelami fikiran kerana blogger menyatakan apa yang ada di dalam fikirannya. Membaca blog samalah seperti membaca fikiran pemilik blog. Adakah benar begitu?
Pada peringkat awal memang ada rasa malu kerana saya merasakan orang akan mengetahui apa yang saya fikirkan tetapi apa yang lebih baik ialah saya dapat berkongsi pengalaman dan ilmu yang ada dengan pengunjung. Tidak rugi mencurahkan apa yang kita tahu kerana berkongsi ilmu itu adalah perbuatan yang mulia. Ilmu dapat dipanjangkan dan selama itu kita mendapat pahala kerananya.
Saya pernah tersenyum (malah tergelak) bila rakan yang membina blog menceritakan bahawa dia terasa sangat malu apabila suaminya membaca blognya. Lalu Sang Suami bertanya untuk apa dia membuat blog kalau tidak mahu ia dibaca orang, lebih baik tulis sahaja dalam diari. Walaupun menyedari kebenaran itu sampai sekarang blog yang 'baru' dibina itu masih tetap kosong kerana dia masih mahu menjaga 'kesucian' blognya. Haha. Maaf ya teman. Ayuh marilah kita berkongsi rasa tak rugi. Alah bisa tegal biasa. Ular menyusur akar takkan hilang bisanya.
Berbalik kepada soal nombor pada statcounter itu ia bukan lah bertujuan untuk saya menarik minat pengunjung hadir dan menjadi pengunjung yang ke 10,000. Mereka tetap akan hadir ke sini jika tiada tawaran dari sayapun. Tetapi itulah cara saya mahu berinteraksi dengan pengunjungi yang datang ke blog ini. Kerana ramai yang hadir lebih suka membaca dan tidak mahu 'berbicara'. Komunikasi dua hala itu sebenarnya lebih menyeronokkan. Mungkin selepas ini saya sudah tidak mahu lagi menjadi hamba kepada nombor-nombor itu.
Saya sebenarnya cemburu dengan blogger-blogger senior dan rakan saya sinaganaga yang pernah tercatat sebagai blog 70 paling yang popular tahun lepas(2007). Tidak banyak artikel yang dipost tetapi mendapat banyak respon yang banyak untuk setiap post. Saya lihat itulah yang diamalkan oleh kebanyakan blogger atau pemblog. Tetapi mungkin tujuannya membina blog berbeza dengan tujuan saya untuk memberitahu dan bercerita.
Boleh saya katakan dari mesin feedjit yang diletakkan itu memberitahu saya bahawa sebahagian yang masuk ke sini kerana mereka memang berniat untuk masuk kes sini dan sebahagian lagi kerana carian. Sesuatu yang sangat menyeronokkan saya ialah pada anggapan saya sebelum ini masyarakat sudah tidak berminat dengan pantun tetapi anggapan itu meleset.
Setiap hari ada sahaja carian terhadap pantun direkodkan. Dan yang mengejutkan saya bahawa carian itu datangnya dari luar Malaysia. Dan saya juga mengetahui bahawa pantun juga wujud dan popular di Indonesia. Tetapi saya tidak pernah melihat orang-orang Indonesia berpantun dalam sinetron dan filem mereka sejak dari dahulu. Saya juga tahu orang Indonesia sangat cinta kepada puisi berdasarkan carian mereka.
Kesempatan ini saya ingin mengucapkan apa khabar kepada pengunjung setia blog enche's dari Santa Clara, California yang saban minggu mengunjungi blog ini untuk post Indahnya Pantun, begitu juga pengunjung dari Indonesia dan Malaysia. Insya Allah saya bukannya pakar pantun tetapi saya peminat pantun, akan menampilkan pantun-pantun baru setiap minggu untuk dikongsi bersama anda. Tidak mustahil kita juga boleh berbalas pantun jika anda sudi.
Melalui blog ini juga saya diberitahu mereka yang pernah muncul di sini dapat bertemu semula dengan rakan-rakan lama mereka apabila membuat carian secara tidak sengaja. Saya juga dihubungi rakan lama hanya kerana blog enche's. Saya mendapat kenalan baru yang tidak pernah saya jangkakan dan saya dapat merasakan dunia saya mula berubah biarpun saya lebih kerap dilihat berada di hadapan komputer kerana mengemaskini blog setiap hari. Tapi saya rasa sangat gembira dapat melakukan semua itu.
Akhir kata terima kasih kerana sudi menjengah ke sini dan selamat berkongsi rasa.
No comments:
Post a Comment