Bonda selalu sedekahkan Al Fatihah kepadanya. Walaupun bonda hanya kenal di kaca televisyen tapi kalau bonda suka bonda buat macam saudara mara (selalu sedekah Al Fatihah sambil dia baring). Tambahan rentetan dan berita kematiannya aku sampaikan pada bonda tak lama dulu. Kematian Allahyarham Hani Mohsin begitu menyentuh hati bonda ketika Allayharham hendak membawa anaknya bercuti .
Kataku rumah dia (Allahyarham) tak jauh dari rumah kita (di Bukit Antarabangsa) dan dia di kebumikan tak jauh dari kawasan rumah kami di kawasan Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat.
Sejak itu bila nampak masjid bonda selalu tanya itukah masjidnya. Dan aku tetap menjawabnya walaupun berpuluh kali bonda bertanya setiap kali melintas di situ.
Ramadan yang lalu walaupun kurang sihat dan dapat berjalan-jalan aku bawa bonda di tanah perkuburan itu. Gagah bonda berjalan merapati kuburan itu dan kami dua beranak duduk di hadapan kubur Allahyarham.
Lalu aku teringatkan Allahyarham yang sekolej denganku di ITM dahulu dan selepas ia bergelar pelakon kami pernah bersalaman di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (aku pasti Allahyarham tidak mengenali aku kerana siapalah aku). Dan hari itu sekali lagi aku menemuinya tetapi dalam keadaan yang berbeda.
Semoga Allah mengampunimu dan merahmatimu serta menempatkanmu bersama orang-orang yang di kasihiNya. Amin.
No comments:
Post a Comment