28 October, 2008

Rempah Ratusku

Gambar kiri bonda mahu bergambar sebelum meninggalkan rumahku pada hari terakhir dan di kiri adalah gambar kami di dalam pesawat MAS menuju ke Kelantan.

Kebelakangan ini banyak perkara yang aku lalui. Sehingga ruang untuk menulis aku rasakan amat terhad. Jika tidak sudah tentu ruang blogku ini akan menjadi seperti sebuah novel.

Walau apapun yang menarik aku tetap catatkan di dalam memori handphone atau ku catat ia di mana-mana agar aku tidak lupa. Semuanya kerana anda pembaca blog yang budiman.

Hujung minggu yang lepas aku telahpun menghantar bonda pulang ke Kelantan. Mungkin di sana bonda lebih banyak peluang untuk berubat kerana saudara-saudaraku ramai di sana. Banyak cerita menarik yang terakam di sana tetapi waktulah yang akan menjemput cerita-cerita itu hadir ke dalam blog ini.

Hari ini sesuatu yang malang telah berlaku kepadaku apabila air dari radiator keretaku telah tersembur keluar dan mengenai sebahagian dari wajahku. Semuanya bermula apabila aku mendapati temprature kereta ku naik secara tiba-tiba.

Aku sudah biasa membuka tutup temprature itu ketika ia masih panas dengan kaedah yang khas. Tetapi entah kenapa hari itu kaedah itu tidak berjaya bagiku. Aku gagal mengesan tekanan yang masih ada di dalam radiator itu dan terjadilah episod malangku.

Pada awalnya memang terasa seperti kena semburan air panas sahaja. Tetapi beberapa minit selepas itu kulit mukaku terasa sangat perit dan berdenyut. Peritnya tidak berhenti-henti walaupun beberapa jam telah berlalu.

Nasib baik ada teman yang menemaniku dan mengawal aku supaya tidak panik sehingga tiba di klinik untuk diberi rawatan. Sebahagian besar yang terkena itu adalah wajahku. Aduh...

Aku sudah membayangkan kecacatan yang bakal aku hadapi nanti. Barangkali pagi tadi itulah wajahku yang sempurna aku lihat dan selepas ini...Tapi aku memujuk hati agar tidak berfikir yang bukan-bukan. Aku kena kuat mental untuk menghadapi semua ini.

Dan akhirnya aku menjadi lega sedikit apabila doktor memberitahu insyaAllah ia tidak sampai ke peringkat yang serius. Amin.


Wajahku nyaris melecur. Lihatlah kesan merah di sekeliling mata. Mudah-mudahan ia tidak mengelembung.Untuk dua tiga hari ini doktor menasihatkan aku memakai krim khusus untuk mengelakkan dia berair.

No comments: