Kita memang tidak pernah tahu apa yang akan berlaku. Kerana itu adalah rahsia dari langit. Kadang-kadang kita mengimpikan sesuatu kerana terlintas di fikiran sahaja. Begitulah aku.
Di hening pagi Syawal aku teringatkan kemeriahan Syawal sewaktu di alam kanak-kanak. Terbayang teman sebaya yang menjadi jiranku.
Tapi sudah pergi menyahut seruan Ilahi kerana penyakit deman kuning. Itupun aku mendengar khabarnya sahaja dari keluargaku apabila pulang ke kampung. Satu-satunya jiran yang hampir sebaya denganku tetapi sangat nakal di waktu kecil.
Masih ingat dengan post Puasa-Senyum? Yang telah aku post dua minggu lepas itu sebenarnya kisah benar yang telah aku adaptasikan agar kita dapat kongsi rencah hidup bersama.Watak adik dalam cerita itu adalah temanku yang telah meninggal dan apa yang aku ingin bercerita adalah mengenai kakaknya.
Raya yang kedua aku membawa bonda yang bosan di rumah untuk keluar ke Kota Kuala Lumpur. Memang sejak aku mencoretkan kisah senyum itu aku selalu teringat kepada kakaknya yang pernah kutemui di Kuala Lumpur dahulu.
Tanpa kuduga bonda menyuruh aku mencari tandas awam di tepi highway. Lalu aku singgah di sebuah stesen minyak kerana itu yang paling mudah. Kupimpin bonda ke tandas kerana bonda memang dah tak stabil bila berjalan.
Sedang aku dalam perjalanan balik ke kereta aku lihat seorang wanita bertudung yang keluar dari kereta dan berdiri memerhatikan aku dan bonda sementara seorang lelaki sedang mengisi minyak. Kulihat dia teragak-agak antara mahu meluru kepadaku atau kekal memerhatikan sahaja.
Wajahnya sudah jauh berbeza dari waktu mudanya. Aku tahu dia ada sesuatu hajat dengan kami. Lalu aku memberikan senyuman kepadanya. Dengan senyuman itu barulah dia berani mendekati kami dan menyebut kami timanganku diwaktu kecil. Ops! Korang nak tahu ke nama tu? Em rasanya tak payahlah kerana aku punya banyak nama timangan sepanjang hidupku.dan ianya berbeza-beza mengikut tempat aku dibesarkan.
“Ini ‘X’kan?” dia bertanya kepadaku.
“Ya” jawabku
“Kalau macam tu ni Umi lah kan?”tanya wanita itu.
Aku senyum mengangguk .
“Ini Normah ya?” Aku bertanya kepadanya.
Kerana kerinduan itu Normahpun bersalam memeluk dan mencium Bonda. Saat itu aku merasakan Normah rindukan arwah ibunya yang juga kawan bonda di sebelah rumah. Ku dapat lihat mereka sebak dapat bertemu. Macam Jejak Kasih drama swasta pula kat stesen minyak.
Sungguh tak sangka kami berjiran di bandar Kota Bharu lebih 30 tahun lalu kemudian keluarga kami berpindah ke kawasan lain, juga di Kota Bharu. Kemudian aku berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja. Sejak dari itu cuma khabar berita sahaja yang aku dengar. Dan di Lebaran yang mulia kami ditemukan kembali.
Lalu dari satu lembaran ke satu lembaran kami buka cerita dan aku mengajukan beberapa soalan yang aku ingin tahu darinya. Dan aku terperanjat saat aku menanyakan kakaknya yang sulung rupanya kakaknya pun telah pergi menemui Ilahi...
No comments:
Post a Comment