16 September, 2008

Jejak Kasih! Dua Kawan Lama Bertemu


Dua kawan lama bertemu kembali. Shahrizan Ahmad dan Suhaimi Abd. Rahman. Siapa Shahrizan Ahmad tentu tiada yang mengenalinya tetapi jika di sebut Abon semua orang kenal. Keduanya pernah berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Jejak Kasih kali ini berjaya menemukan kedua mereka setelah 15 tahun terpisah.

Suhaimi menamatkan perkhidmatan pada 1993 dengan DBP dan Shahrizan beberapa tahun selepas itu. Mereka di antara orang-orang yang aktif dengan persembahan kerana DBP ada kumpulan teater, kumpulan gamelan, sukan dan berbagai persembahan lagi. Sesuatu yang menarik apabila bertugas di DBP ialah mengenai aktiviti di luar waktu pejabat. Setiap seorang dari stafnya mesti pernah terlibat dengan satu persembahan yang mereka cenderung. Dan kebanyakannya dibuat dengan sukarela kerana minat.

Abon bermula dengan aktiviti teater DBP dan antara persembahan yang masih diingati ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Beliau ketika itu adalah rakan-rakan seangkatan dengan Imuda dan Sabri Yunus yang juga berkhidmat dengan DBP (Imuda dan Sabri juga adalah rakanku yang bertugas di Bahagian yang sama).

Suhaimi pula bertugas di Jabatan Bahasa pernah terlibat dengan teater Malam Ini Penyu Menangis dengan bermain gamelan. Menyertai Kumpulan Gamelan DBP dan kali pertama bermain gamelan mengiringi SN Muhammad Haji Salleh menerima Anugerah Sasterawan Negara di Parlimen.

Kami bertiga pernah terlibat dalam satu Persembahan Malam Sekalung Seni 1992 DBP. Suhaimi terlibat dengan Persembahan Boria sementara aku dan Abon dalam segmen Pertandingan Pakaian Beragam, Abon menang di tempat pertama dan aku di tempat kedua.

Aku bertemu sekali lagi dengan Abon kali ini di gelanggang pantun pada tahun 1993. Abon mewakili Bahagian Terjemahan dan aku mewakili Bahagian Reka Bentuk. Kali ini aku puas bila kumpulan Abon tewas dan mendapat tempat kedua dan kumpulan aku jadi juara dan aku memang pemantun terbaik.

No comments: