25 September, 2008

Tahukah Anda - Koleksi Minda Tun Mahathir

Sebahagian dari buku koleksi Minda Tun Mahathir


Buku `Koleksi Minda Dr. Mahathir' telah dilancar oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 13 Mei 2003.


PUTRAJAYA 13 Mei - Koleksi buku bertajuk "Koleksi Minda Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad" yang mengandungi ucapan Perdana Menteri dan cetusan pemikiran beliau yang disifatkan sesetengah intelek sebagai "Mahathirisme", dilancarkan pada tahun 2003. Gabungan cetusan pemikiran Tun Dr. Mahathir itu adalah warisan beliau kepada rakyat negara ini yang patut dijadikan jatidiri bagi menahan gelombang kolonialisme kedua dan juga pengubat rindu setelah persaraan Tun Dr. Mahathir pada Oktober 2003.

Koleksi kumpulan ucapan Tun Dr. Mahathir antara tahun 1993 hingga 1999 itu merangkumi tema kontemporari seperti globalisasi, serantau, pengurusan ekonomi, politik, ekonomi digital, demokrasi dan Asia baru serta dimensi Islam yang disampaikan di 113 lokasi di dalam dan luar negara.

Majlis pelancaran koleksi 14 buah buku itu telah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu - Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail. Seri Paduka diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Perdana Menteri dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali turut hadir pada majlis pelancaran berkenaan. Ketika ditemui wartawan kemudian, Dr. Mahathir berkata, beliau terkejut dengan penerbitan buku itu.

"Saya surprise juga la, diterbitnya sampai 14 buah buku,'' katanya. Mengenai cadangan agar institusi pengajian tinggi tempatan menggunakan koleksi minda itu sebagai rujukan, Tun Dr. Mahathir berkata, itu terserah kepada institusi pengajian berkenaan sendiri. Pengerusi Institut Terjemahan Negara Berhad (ITNM) ketika itu, Datuk Abdul Aziz Rahman mencadangkan agar semua institusi pendidikan menggunakan pemikiran Tun Dr. Mahathir bagi membolehkan bangsa Malaysia sama taraf dengan bangsa-bangsa lain di dunia.

Usaha menterjemahkan ucapan berkenaan ke dalam bahasa Melayu dari ucapan asal dalam bahasa Inggeris dibuat oleh pasukan penterjemah ITNM dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Koleksi itu diterbitkan bersama oleh Utusan Publications & Distrubutors Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat Kumpulan Utusan, sebagai pencetak dan pengedar. Ia dibukukan mengikut topik yang disentuh Perdana Menteri dalam ucapannya seperti politik, ekonomi dan juga agama.

No comments: