23 September, 2008

Ucapan Pengarah Urusan ITNM di Majlis Pelancaran Katalog Malaysia ke Frankfurt

UCAPAN ENCIK MOHD KHAIR
Pengarah Urusan ITNM di Majlis Pelancaran Katalog Malaysia ke Frankurt Book Fair,
MALAYSIAN STORY: TOLD THROUGH OUR BOOKS
23 SEPTEMBER 2008
di Kementerian Pelajaran Malaysia

Pengarah Urusan ITNM En. Mohd Khair Ngadiron dalam ucapannya menyampaikan ucapan berbanyak terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin di atas kesudian hadir dan menyempurnakan pelancaran katalog Katanya lagi kehadiran Yang Berhormat Dato Seri Hishamuddin amat besar maknanya kerana menjadi simbolik kepada sokongan Yang Berhormat Dato serta Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya terhadap usaha yang sedang dilakukan oleh ITNM iaitu misi penting mengantarabangsakan karya tempatan ke peringkat global.

Dalam majlis itu juga beliau menambah tanggungjawab membina dan mengembangkan karya penulis tempatan ke peringkat dunia bukanlah satu usaha mudah, sebaliknya banyak pengorbanan perlu dibuat dan banyak usaha perlu dilaksanakan. Bagaimanapun, usaha ini sewajarnya menerima sokongan semua pihak, khususnya pemain industri buku Negara, kerana mengantarabangsakan karya tempatan ini juga secara tidak langsung akan turut sama mengantarabangsakan bahasa serta budaya Melayu. Sebagaimana yang kita semua ketahui, Malaysia sejak dahulu lagi mempunyai banyak hasil sastera bermutu yang setanding dengan penerbitan antarabangsa.

Tapi sayangnya, disebabkan pelbagai halangan dan kekangan, kebanyakan di antaranya tidak sampai ke peringkat dunia dan sekadar mampu menjadi jaguh di kampung sendiri. Inilah yang seharusnya kita beri perhatian, kerana sudah tiba waktunya kita menggerakkan usaha membawa dan memperkenalkan karya tempatan kepada dunia, serentak dan selari dengan cita-cita kita untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam acuannya yang tersendiri.

Industri buku serta dunia sastera Malaysia tidak lagi boleh kita pinggirkan dengan memandangnya sebelah mata. la tidak boleh dikepompongkan dan dibiarkan berterusan menjadi sajian masyarakat kita semata-mata. Industri buku serta dunia sastera Malaysia tidak seharusnya menjadi milik eksklusif mana-mana pihak sebaliknya perlu dikongsi dengan seramai mungkin khalayak, khususnya di peringkat global terutamanya.

Dalam usaha mengantarabangsakan buku serta sastera tempatan, kita perlu menghasilkan serta mengetengahkan koleksi besar yang diyakini mampu menarik minat penerbit luar untuk menterjemahkannya ke pelbagai bahasa dunia. Usaha ini amat penting kerana sekadar berasa besar dalam lingkungan kita sendiri tidak akan mampu membawa kita ke mana-mana. Justeru itulah, karya yang kuat itu perlu kita ketengahkan ke peringkat antarabangsa dan seterusnya dipromosikan bagi menarik minat penerbit asing bekerjasama menterjemahkan karya-karya ini untuk pasaran Negara masing-masing. Hanya dengan cara ini saja kita akan dapat menawarkan sastera kita kepada khalayak antarabangsa, sekali gus memperkasakan kewujudannya, baik di tanah air sendiri, mahupun di peringkat dunia.

Ketika melakukan kunjungan hormat bertemu dengan Yang Berhormat Dato Seri Hishammuddin pada 15 Januari lalu, En. Khair berkata Yang Berhormat Dato Seri ada berpesan supaya beliau melihat dan mencari jalan bagaimana ITNM boleh bergerak di arena antarabangsa. Mengambil nasihat tersebut dan juga pandangan Yang Berbahagia Pengerusi ITNM serta Dato Baha Zain, beliau dan staf ITNM merasa terpanggil untuk segera merealisasikannya dengan matlamat supaya idea dan pemikiran rakyat Malaysia dapat diketengahkan ke persada dunia. Itulah sebenarnya titik awal yang bersungguh-sungguh mendorong ITNM untuk mengambil bahagian di Frankfurt Book Fair 2008 dengan misi untuk mengantarabangsakan karya-karya Malaysia. Alhamdulillah, beliau juga ingin merakamkan penghargaan terima kasih di atas sokongan penuh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Bahagian Buku Teks KPM, MATRADE , DBP dan semestinya kalangan penerbit tempatan yang memberi kepercayaan kepada kami untuk mempromosikan buku-buku mereka kepada penerbit asing luar negara.

Usaha mengantarabangsakan karya-karya Malaysia ke persada antarabangsa bukanlah satu misi mudah. ITNM memerlukan dana khususnya bagi tujuan membina jaringan yang kukuh, dan ITNM juga memerlukan strategi yang teratur serta berterusan kerana hasil daripada usaha ini tidak akan perolehi dalam sekelip mata, sebaliknya akan membabitkan tempoh panjang - mungkin lima tahun, 10 tahun atau mungkin lebih pendek, terutama jika strategi serta perlaksanaannya dapat diatur secara kemas dan terancang. Bagaimanapun, seperti yang telah beliau katakan awal tadi, semua ini memerlukan banyak pengorbanan, dan setiap pihak yang berkaitan perlu bersatu tenaga menyumbang idea, kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing.

ITNM sangat komited mahu melihat usaha ini berjaya, dan atas dasar itulah maka ITNM mengambil langkah permulaan mengatur strategi untuk memperkasakan usaha ini. Justeru itulah, komitmen ITNM di Frankfurt, Jerman menerusi Frankfurt Book Fair 2008 ini adalah untuk memperkenalkan 103 judul buku karya penulis Malaysia yang dikumpul daripada 44 penerbit seluruh Malaysia yang telah dikatalogkan semuanya - lengkap bersama sinopsis serta maklumat asasnya untuk dijadikan pertimbangan puluhan ribu penerbit antarabangsa yang bakal berhimpun di pesta buku terbesar dunia itu dari 15 hingga 19 Oktober ini. Sambil itu, pihaknya juga akan menimba pengalaman daripada kejayaan negara lain menggunakan pesta buku tersebut sebagai platform terbaik mereka untuk mempromosi, membangunkan serta meluaskan industri buku serta sastera mereka masing-masing.

Ringkasnya, buku dan sastera pada khalayak antarabangsa tidak sekadar dilihat sebagai satu khazanah bangsa dan negara, malah juga mencerminkan jiwa dan tamadun bangsa. Semakin banyak hasil karya kita diketengahkan, semakin gah martabat bangsa kita dan semakin menyerlah wajah bangsa dan negara kita. Justeru, adalah menjadi harapan ITNM, semoga usaha yang akan kami mulakan menerusi pesta buku itu pada tahun ini, mampu dilihat sebagai pembuka jalan bagi mencuri perhatian khalayak buku antarabangsa, sekaligus menyedarkan mereka bahawa Malaysia juga berpotensi muncul sebagai pemain utama industri buku antarabangsa suatu hari nanti. Justeru, kami sangat berharap supaya akan sentiasa ada dokongan dan sokongan yang berterusan daripada Yang Berhormat Dato Seri khususnya, dan Kementerian Pelajaran amnya, dalam usaha ITNM mempromosikan karya-karya Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Buku Kampong Boy dalam versi Jerman

Beliau juga bertuah kerana pada majlis itu turut dihadiri Dato' Mohd Nor Khalid atau lebih terkenal sebagai LAT. Beliau mengucapkan terima kasih Dato' kerana sudi turun dari Ipoh semata-mata untuk hadir ke majlis kita pagi ini. Dan untuk makluman semua, relevannya Dato' Lat dengan majlis ini adalah kerana ITNM bakal melancarkan buku Kampung Boy tulisan Dato' Lat bagi edisi bahasa Jerman di Frankfurt Book Fair pada 16 Oktober ini. Dan jika ada yang bertanya mengapa buku Kampung Boy, alasannya mudah iaitu kerana Dato' Lat menepati ciri-ciri medium "towering personality" sebagaimana yang disarankan oleh Kerajaan. Dato Lat adalah personaliti yang sudah dikenali ramai di peringkat antarabangsa, dan buku Kampung Boy adalah satu antara penyebab utamanya. Buku ini yang mula diterbitkan pada 1977 sehingga kini telah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia, antaranya Jepun, Perancis, Belanda, Itali, Amerika, Korea dan terkini adalah Jerman. Justeru itulah, tidak menghairankan apabila Dato Lat berjaya menghimpun kelompok peminatnya yang tersendiri, termasuklah Mark Groaning, pengasas siri kartun popular The Simpsons. Sehubungan itu, kami melihat Dato Lat serta buku Kampung Boy itu sendiri sebagai elemen terbaik untuk kita menumpang bagi membantu memperkenalkan Malaysia kepada khalayak antarabangsa di Frankfurt kelak. Sebagai contoh, rakan penerbit kami di Jerman iaitu Horlemann Verlag turut memaklumkan mengenai beberapa pihak di Jerman yang begitu teruja sebaik diberitahu mengenai kedatangan Dato' Lat ke sana, termasuklah pihak media dan pertubuhan tertentu yang mempunyai pertalian hubungan sosial serta dagang dengan Malaysia.

Justeru, memilih karya Dato Lat untuk dilancarkan di platform antarabangsa jelas satu keputusan yang tepat, selain pada masa yang sama bakal mengangkat martabat karya Malaysia apabila buku tersebut sudah terbukti mencecah piawaian global biarpun isi kandungannya bertitik tolak daripada akar budaya Malaysia dan fenomena serta idealogi masyarakat Melayu. Selain itu, kami juga bertuah kerana mendapat kerjasama serta sokongan padu daripada Pejabat Konsul Malaysia di Frankfurt serta Pejabat Kedutaan Malaysia ke Jerman di Berlin, apabila mereka juga bakal turun padang untuk bersama-sama kami mempromosikan karya Malaysia kepada pihak-pihak yang berkaitan di negara tersebut. Sesungguhnya, sokongan yang kami terima setakat ini temyata sungguh memberangsangkan, dan harapan kami semoga komitmen ITNM untuk mengusahakan misi mengantarabangsakan sastera tempatan ini akan berterusan beroleh sokongan dan galakan daripada semua pihak, khususnya Kerajaan.

Akhirnya beliau sekali lagi mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato Seri kerana yang sentiasa peka dan memberi perhatian kepada usaha-usaha yang dilaksanakan oleh ITNM. Segala tunjuk ajar dan dorongan Yang Berhormat Dato Seri amat beliau sanjung tinggi.


Sdr. Suziana dan Jurina yang hadir ketika Majlis pelancaran Katalog."Usaha murni ITNM memperkenalkan karya tempatan di mata dunia dan mengantarabangsakannya melalui penerbitan katalog harus dipuji. Dengan ini budaya Malaysia dapat diperkenalkan ke peringkat yang lebih Universal selaras dengan tanggungjawab sosial untuk memartabatkan industri perbukuan di Malaysia."-kata Sdr. Suziana.
Katalog ini akan menjadi duta kecil yang memperkenalkan Malaysia kepada dunia luar melalui karya tempatan yang bersifat Malaysiana. Ia juga mencerminkan betapa karya tempatan kita sebenarnya setanding dengan karya-karya antarabangsa dan wajar diketengahkan. Sememangnya "Frankfurt Book Fair" merupakan tempat yang tepat untuk mengetengahkan karya tempatan kita. Kata Puan Jurina

Sdr.Shaharwati dan Sdr.Ridhwan sedang memerhatikan katalog yang baru dilancarkan. Gambar kanan Sdr. Saraswathy dan Sdr. Farhana sedang menunjukkan Katalog. "ITNM telah menggunakan peluang yang baik memperkenalkan karya tempatan dalam "Frankfurt Book Fair". Walaupun melibatkan kos yang ditanggung sepenuhnya oleh ITNM tetapi ia merupakan pelaburan kita di masa hadapan. Katalog ini memang berwajah Malaysia!"Kata Sdr. Farhana.

No comments: